PETALING JAYA – Dikelilingi etnik Rohingya sebagai jiran tetangga bagaikan mimpi ngeri buat rakyat negara ini apabila ramai tidak senang dengan kehadiran mereka yang disifatkan pengotor, biadap dan tidak menghormati rakyat tempatan.
Bukan itu sahaja, kehadiran mereka yang dilihat semakin bertambah menyebabkan penduduk tempatan tidak lagi berasa selamat di negara sendiri.
Hamid Salleh, 36, yang tinggal di sebuah flat di Kuala Lumpur selama hampir 15 tahun kini sudah tidak mahu tinggal di situ kerana kawasan berkenaan boleh diibaratkan seperti perkampungan Rohingya.
“Saya sudah lama duduk dan berkeluarga di sini. Awal dulu tiada masalah tapi sejak mereka (Rohingya) datang dan bertambah, saya rimas, rasa tak selamat.
“Bayangkan ada masa senggang mereka suka berkumpul beramai-ramai buat bising dan gemar mengunyah sirih dan meludah merata-rata sesuka hati.
“Keadaan itu menyebabkan persekitaran kotor dan berbau. Pernah ada yang tegur tapi mereka melawan, mungkin ‘besar kepala’ sebab berada dalam kumpulan,” ujarnya.
Lain pula ceritanya dengan Hanis Halim, 29, apabila terpaksa bersabar dengan sikap pemalas dan pengotor ‘jiran’ Rohingya di belakang rumah teres dua tingkatnya.
“Mereka tinggal di lot kedai belakang rumah saya. Sudah beberapa kali saya nampak mereka buang sampah ke bawah dari tingkat satu.
“Sampah yang dicampak tu tak masuk dalam tong sampah menyebabkan sisa makanan bertaburan di atas jalan menjadikan kawasan itu busuk, penuh lalat, malah tikus juga.
“Suami saya pernah marah atas tindakan tak bertanggungjawab mereka tapi tak diendahkan. Memang ada yang okey tapi majoriti mereka memang pemalas, pengotor dan tak hormat rakyat tempatan,” kongsinya.
Bagi pemandu grab Shah Razak, 31, isterinya sering mengadu ketakutan dan tidak selesa untuk keluar rumah apabila pergerakannya ‘diperhatikan’.
“Ramai juga warga Rohingya tinggal di kejiranan kami. Masalahnya mereka duduk menyewa ramai-ramai.
“Memang kuat rasa mahu pindah dari sini tetapi saya masih belum mampu dari segi kewangan,” katanya.
Seorang pekerja am dikenali sebagai Razak, 45, pula menzahirkan rasa bimbang kerana Rohingya yang tinggal di kawasan kediamannya kini ada yang memiliki kenderaan sendiri seperti motosikal dan kereta.
“Kami penduduk sekitar bimbang kejadian tak diingini berlaku ketika anak-anak berada di luar rumah kerana mereka membawa kenderaan sesuka hati tanpa lesen,” jelasnya.














