fbpx

Lima pembekal bakal didakwa jual barang melebihi harga kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TING HAN (kiri) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai lima pembekal ayam yang sengaja menaikkan harga jualan melebihi harga kawalan terima padah apabila dikenakan tindakan undang-undang termasuk dituduh di mahkamah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil tindakan kompaun kepada enam pembekal dan lima peruncit di negeri ini sejak awal Ramadan ini.

Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor tidak akan teragak-agak untuk terus mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

“Bagi aduan berkaitan harga ayam dijual mahal daripada harga kawalan, kita sudah ambil tindakan. Peruncit yang menjual melebihi harga siling iaitu RM9.40 sekilogram telah dikenakan tindakan kompaun.

“Sementara itu, pembekal yang menjual bekalan ayam kepada peruncit melebihi RM8.10 turut dikenakan tindakan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk menghadapkan lima daripada enam pembekal di mahkamah,” katanya pada majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak kementerian melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari lalu, sebanyak 347 kes telah dikenakan tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM134,200.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah 38 kes tidak meletakkan tanda harga, tidak meletakkan ‘tag merah jambu’ (237) dan melanggar harga kawalan (71) dengan nilai rampasan bernilai RM41,380.

Mengenai SHMMP Hari Raya Puasa, beliau berharap peniaga akan mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

“Sebanyak 35 kes dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM4,600 telah dihasilkan sepanjang pelaksanaan skim harga berkenaan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI