PETALING JAYA – Kekerapan berlakunya keganasan rumah tangga sehingga ada yang meragut nyawa mendorong orang ramai mencadangkan agar pasangan yang ingin berkahwin diwajibkan untuk menjalani saringan dan ujian kesihatan mental.
Menurut mereka, setiap individu terutama mereka yang ingin mendirikan rumah tangga perlu mengetahui tahap kesihatan mental pasangan masing-masing bagi menjamin kesempurnaan hidup berkeluarga.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! Ahad, orang ramai mengakui keganasan rumah tangga yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada kegagalan pasangan untuk mengawal emosi dan mental, sehingga ada yang tergamak untuk membunuh.
Seorang penjawat awam yang mahu dikenali Farzana, 35, berkata, isu kesihatan mental ini perlu dipandang serius kerana kesannya kepada kehidupan berkeluarga sangat perit.
Ujarnya, dia sendiri pernah menyaksikan keluarga terdekatnya mengalami krisis rumah tangga akibat masalah mental yang dihadapi oleh si isteri.
“Sepupu saya berkahwin dengan seorang wanita yang disyaki ada masalah mental. Dia memang sudah tahu sejak dari awal perkenalan, tetapi ketika itu masalah itu tidak terlalu serius.
“Keluarga perempuan pula seperti nak percepatkan perkahwinan sebab tidak mampu jaga anak mereka. Lebih memburukkan keadaan, bila sudah kahwin, keadaan isteri makin teruk.
“Dia pernah cuba untuk membunuh diri dan berkali-kali keluar masuk hospital untuk dapatkan rawatan. Sampai satu tahap, dia juga pernah ugut ingin bunuh anak sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambah Farzana, masalah mental bukan hanya berpunca daripada individu itu, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh rasa trauma atau ketidakseimbangan kimia dalam otak.
Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh pasangan adalah mencari penyelesaian dengan merawat masalah mental tersebut dari awal.
“Kalau sudah buat pemeriksaan, penyakit mental itu boleh dirawat dari awal. Bukannya sudah kahwin baru nak rawat, orang sekeliling yang tidak bersalah akan terkena tempias,” katanya.
Sementara itu, seorang penyampai radio, Ahmad Irfan, 28, berkata, pemeriksaan mental wajar dilakukan bagi kedua-dua pasangan bagi memastikan mereka tahu keadaan masing-masing.
Ujarnya, ia bagi mengelak terjadinya pergaduhan antara pasangan yang seterusnya akan menyebabkan penceraian dan lebih teruk lagi tercetusnya keganasan rumah tangga.
“Bila berkahwin, kita akan berkongsi hidup. Mungkin semasa bercinta ada pasangan yang tidak berkongsi sepenuhnya tentang masalah peribadi dan keadaan mental kerana malu.
“Bila buat pemeriksaan awal, kita boleh kesan awal. Mungkin dari sebelum kahwin lagi boleh ikhtiar untuk dapatkan rawatan, sebab masing-masing sudah tahu.
“Pemeriksaan mental bukan menandakan kita sakit. Tetapi untuk kesihatan diri sendiri juga. Banyak kes kita dengar, lepas cederakan isteri sehingga membunuh, barulah mengaku ada masalah mental,” ujarnya.
Bagi seorang guru tadika, Sarah Nuraihan, 25, dia mengakui pemeriksaan mental tidak boleh dilakukan seperti ujian saringan HIV kerana masalah itu tidak boleh dikesan melalui air kencing atau ujian darah.
Malah katanya, pemeriksaan kesihatan mental juga perlu dibuat secara terapi atau pemerhatian jangka masa panjang.
“Pihak kerajaan boleh mewajibkan pasangan sebelum kahwin untuk buat ujian awal kesihatan mental sebab ramai yang tidak tahu khidmat sedemikian sebenarnya ada.
“Namun, apabila buat pemeriksaan dalam jangka masa panjang, ia akan menyukarkan bakal pasangan pengantin untuk berkahwin dan kemungkinan akan mendorong kepada penyakit mental yang lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE














