BERKALI-KALI dicurangi Aliff Aziz sehingga pernah bercerai-berai, namun kembali menyatu, episod luka itu tidak melunturkan cinta kasih Bella Astillah untuk terus mengukuhkan mahligai bahagia bersama suami.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Barangkali itulah yang cuba disampaikan pelakon dan penyanyi jelita, Bella Astillah tentang krisis rumah tangganya yang sempat ‘singgah’ dalam senarai kontroversi dunia hiburan baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu memaklumkan, apa yang berlaku melibatkan dia, suaminya, Aliff Aziz dan pelakon Sophia AlBarakbah biarlah menjadi pengajaran bukan sahaja terhadap dirinya, bahkan buat pasangan yang rumah tangga mereka sedang diuji.
“Semoga apa yang berlaku kepada saya, tidak menimpa rumah tangga orang lain,” demikian kata Bella, 29, kepada HibGlam.

‘Doa baik-baik’
Meskipun jauh di dalam hati pelakon bertubuh genit itu, agak sukar untuk melupakan apa yang pernah menimpa dirinya. Apatah lagi bukan sekali, namun berkali-kali, tetapi Bella berlapang dada dan positif bahawa dalam kehidupan, kalau tiada ujian maka bukanlah manusia namanya.
“Saya dan Aliff sekarang mencuba yang terbaik untuk meneruskan kehidupan rumah tangga kami dengan baik. Ujian akan sentiasa datang pada bila-bila masa.
“Cuma, saya minta doa yang baik-baik daripada orang ramai agar hati saya dikuatkan dan perkahwinan kami terus mekar mewangi sampai bila-bila.
“Saya tak nak pandang benda yang lepas kerana bagi saya, semua orang ada khilaf masing-masing. Kita manusia memang tak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Kita cuba buat yang terbaik, namun yang menentukan segalanya adalah Dia,” tutur.
Anak seni kelahiran Sandakan, Sabah itu nyata tidak pernah lekang senyuman.
Menyaksikan ramai pasangan selebriti bercerai-berai bahkan sedang ‘berjuang’ di mahkamah, situasi sebegitu mengundang trauma buat Bella yang pernah berhadapan kisah sama sehingga rumah tangganya dengan Aliff pernah digegarkan dengan perceraian pada Mei 2019.

‘Hanya yang merasai tahu’
“Doakan saya dan Aliff ya. Sebab bila tengok berita sekarang, saya shaking (menggigil-gigil). Tiba-tiba bercerai apa semua. Takut sangat.
“Mereka yang pernah mengharungi perkara itu sahaja tahu betapa sakit dan pedih rasa hati.
“Buka media sosial, kisah pasangan bercerai. Saya trauma. Apa pun, saya doakan agar rumah tangga kawan-kawan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT. Ujian ini buat kita kuat sebenarnya,” katanya.
Melanjutkan bicara, bekas peserta program realiti, Famili Duo itu berkata, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya begitulah juga dalam kehidupan berumah tangga.
Dia tidak mahu menangguk di air yang keruh dengan bercerita tentang kisah lama dan terbaharu, ‘krisis’ melibatkan dirinya dengan Sophia.
“Saya tak nak selak cerita lama dah. Apa yang penting, saya cuma boleh cakap, hanya Allah SWT tahu apa sebenarnya yang terjadi.
“Saya dah maafkan dia atas apa yang terjadi, namun sukar untuk saya melupakan. Saya cuma harap tidak berulang lagi. Itu sahaja, insya-Allah,” katanya.

Tolak berlakon bersama Sophia
Ditanya sama ada sekiranya ada peluang bekerjasama dengan aktres itu pada masa akan datang termasuk dalam projek lakonan, Bella berfikir panjang, namun menjawab: “Saya dah berbincang dengan Aliff. Tiada lagi kerjasama dengan pelakon itu selepas ini. Itu untuk dia.
“Untuk saya pula? Buat masa sekarang, rasa tidak kot (nak berlakon sama). Apa pun, saya doakan yang terbaik buat dia (Sophia).”
Tambahnya lagi, dia memanjatkan doa agar Sophia segera dipertemukan jodoh sehingga membawa ke jenjang pelamin.
Dikhabarkan aktres putih gebu itu kini sedang bahagia dilamun cinta dengan teman lelaki yang merupakan seorang doktor bernama Akashah Ismail.
“Saya doakan semoga dia bahagia. Semoga kekal hingga ke jenjang pelamin dan jannah, insya-Allah.
“Apa yang dia buat (merujuk Sophia) adalah di luar kemampuan saya. Saya doakan yang terbaik buatnya. Kalau berkait dengan suami saya, rasanya Aliff sendiri dah cakap sebelum ini apa pendiriannya,” ulasnya.
Membuka lembaran baharu dalam hidup, Bella hanya inginkan satu perihal iaitu sentiasa dipeluk rasa bahagia.
Pada masa sama, terus hidup di bawah rahmat dan berkat Allah SWT.
“Semua dah get back on track (kembali seperti biasa). Kita pun dah ke depan. Apa yang dah berlalu, biarlah berlalu.
“Cuma bila ada orang cakap apa yang berlaku kepada rumah tangga kami adalah ‘marketing’, saya menafikan sekeras-kerasnya.
“Takkanlah saya nak buat sampai begitu melibatkan rumah tangga. Demi Allah, bukan ‘marketing’ tapi alhamdulillah, saya dan Aliff dapat lalui fasa tersebut (krisis perkahwinan),” tutupnya.















