KUALA LUMPUR – Hampir 1,000 gelandangan di ibu kota menjadi tempat lambakan makanan yang tidak habis dijual di bazar-bazar Ramadan sehingga sebahagian besarnya ditinggalkan begitu sahaja di kaki lima kedai dan bahu jalan.
Lambakan juadah iftar berlaku apabila rakyat kini kurang berbelanja di bazar-bazar Ramadan dan sekadar membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa.
Selain itu, makanan yang tidak habis dimakan di bufet Ramadan dari restoran-restoran juga disedekahkan kepada gelandangan sehingga berlaku lambakan juadah berbuka puasa yang kemudian bertukar menjadi sampah sarap.
Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, pembaziran juadah berbuka puasa pernah berlaku sebelum ini, namun pada bulan Ramadan kali ini lebih ketara.
Menurutnya, sejak ibadah puasa bermula 23 Mac lalu, ramai pihak menghantar makanan kepada gelandangan pada waktu malam dengan niat untuk bersedekah.
“Tanpa mereka sedar, setiap gelandangan menerima sumbangan makanan sehingga 20 pek. Bayangkan seorang individu makan 20 pek makanan. Seorang gelandangan paling banyak pun boleh habiskan dua pek sahaja.
“Selebihnya buang begitu sahaja di tepi jalan. Ini pembaziran yang serius, niat buat baik, jadi berdosa pula.
“Sumbangan makanan ini termasuk juadah yang tidak habis dimakan di bufet-bufet Ramadan dan juga yang tidak habis dijual di bazar-bazar Ramadan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Ashraff memberitahu, keadaan itu berlaku kerana rata-rata yang memberi sumbangan makanan kepada gelandangan kurang menyedari terdapat golongan lain yang turut memerlukan bantuan makanan.
Katanya, banyak golongan miskin tegar atau mereka dalam kumpulan B40 yang sedang terkesan dengan masalah ekonomi amat mengalu-alukan sumbangan makanan untuk keluarga mereka di bulan Ramadan.
“Sumbangan makanan juga boleh diberikan kepada pekerja-pekerja kawalan keselamatan, petugas hospital atau waris pesakit yang menunggu ahli keluarga sedang dirawat di hospital.
“Isu ini tidak pernah selesai. Kerajaan pun sudah sediakan pusat transit gelandangan, boleh sahaja bekerjasama dengan pusat ini untuk mengelakkan pembaziran.
“Boleh juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) kerana kita ada kenalan pengawal keselamatan, pekerja pembersihan untuk mengelakkan pembaziran.
“Isu pembaziran makanan ini turut mengundang isu kekotoran apabila makanan yang sudah dimakan atau tidak habis dimakan dibuang bersepah-sepah,” ujarnya.
Beliau berkata, antara lokasi utama pemberian makanan kepada gelandangan di ibu negara adalah di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Pudu, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Raja Laut.
Katanya, selain makanan, ada juga pihak memberi wang tunai kepada gelandangan sehingga seorang gelandangan boleh memperoleh RM200 hingga RM300 dalam satu malam.
“Ramai golongan miskin dan B40 juga sedang bergelut untuk menyediakan makanan untuk keluarga, bukan gelandangan sahaja yang perlukan makanan dan bantuan tunai.
“Minta maaf cakap golongan gelandangan sudah cukup mewah dengan makanan. Pusat transit gelandangan pun ada sediakan makanan untuk mereka,” katanya.
Kosmo! pada 31 Mac lalu melaporkan, sebanyak 73.67 tan metrik sisa buangan bahan makanan bazar Ramadan direkodkan setiap hari di Selangor tahun ini berbanding 50.78 tan metrik pada Ramadan tahun lalu.
KDEB Waste Management dalam satu kenyataan berkata, jumlah sisa buangan bahan makanan dari bazar Ramadan di Selangor itu meningkat sebanyak 45 peratus.














