PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan sasaran sebutir pingat emas pada Sukan SEA Kemboja pada Mei depan tidak berubah meskipun badan induk itu terpalit isu gangguan seksual.
Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh berkata, pihaknya menyerahkan segala siasatan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segala keputusan dicapai adalah adil bagi kedua-dua buah pihak.
Amarjit menegaskan, bagi memastikan kelancaran persiapan pasukan berbasikal bukit (MTB) ke Kemboja, skuad negara kini menjalani latihan di bawah bimbingan Nor Alfizar Othman.
Keputusan itu diambil bagi mengambil alih tempat jurulatih yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet wanita di bawah kendaliannya.
“PDRM juga telah melakukan siasatan dan telah memanggil pihak berkenaan untuk memberi keterangan. Saya tidak mahu menjelaskan lebih lanjut kerana enggan mengganggu siasatan itu.
“Saya telah berbincang dengan ahli jawatankuasa disiplin PKBM dan saya juga berbincang agar atlet berkenaan dalam suasana selamat terlebih dahulu.
“Oleh itu, kita memanggil ketua jurulatih sukan dari Kedah, Nor Alfizar Othman untuk mengambil alih tugas tersebut bersama pasukan MTB sebagai persiapan ke Sukan SEA Kemboja.
“Ketika ini, pelumba itu sudah tiba di Kuala Lumpur semalam dan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Nilai hari ini.
“Kami sudah bercakap dengan pelumba itu dan dia bertekad untuk membantu pasukan negara mempertahankan pingat emas (yang dimenangi di Sukan SEA Hanoi tahun lalu) pada Sukan SEA Kemboja (5 hingga 17 Mei),” kata Amarjit ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Bukit Jalil hari ini.
Sementara itu, pengurus MTB negara, Mohd. Saiful Abdul Jalil berkata, walaupun berlaku perubahan jurulatih, namun sasaran pasukan negara tetap kekal untuk membawa pulang satu pingat emas dari Kemboja.
“Program latihan buat pelumba mungkin akan ada perubahan sedikit dengan kehadiran Alfizar sebagai jurulatih sementara. Namun, sasaran kita tetap sama untuk memenangi satu emas dan saya percaya pelumba negara menyesuaikan diri dengan kehadiran Alfizar memandangkan dia adalah jurulatih terbaik yang kita ada sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














