HULU SELANGOR – Biarpun tragedi Batang Kali yang mengorbankan 31 mangsa telah berlalu lebih tiga bulan, namun bahana daripada malapetaka tanah runtuh itu masih terasa sehingga kini apabila ramai pengunjung takut untuk menginap di kawasan tersebut.
Akibatnya, lebih 55 pengusaha resort dan tapak perkhemahan rugi sehingga RM80,000 sejak tragedi dahsyat itu berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini pada 16 Disember tahun lalu.
Malah, tempahan tapak perkhemahan dan resort sempena Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya telah penuh setiap tahun, kini sambutannya sangat ‘hambar’ dan sebahagian premis hanya menanti masa untuk ditutup operasi buat selama-lamanya.
Pengusaha resort Eco Murai Rimba, Norlia Mazlan, 58, berkata, dia mengalami kerugian antara RM12,000 ke RM15,000 setiap bulan sejak tragedi Batang Kali berlaku apabila bilangan pelanggan semakin merosot.
Dia yang telah mengusahakan resort selama lapan tahun memberitahu, jumlah pelanggan yang datang kini tidak lagi dapat menampung kos penyelenggaraan yang tinggi dan gaji pekerja.
“Ramai yang ‘merisik’ tanya harga untuk menempah, tetapi apabila dengar sahaja lokasi terletak di Batang Kali, mereka akan risau serta bertanya sama ada resort kami selamat atau tidak, ada tanah runtuh ke dan sebagainya.
“Akhirnya mereka tidak jadi tempah. Walaupun kita tahu bulan puasa memang orang kurang, tetapi dahulu masih ada lagi pelanggan yang bukan Islam datang, sekarang langsung tiada.
“Tahun-tahun sebelum ini, tempahan bagi bulan raya sehingga minggu kedua mesti sudah penuh, namun sampai sekarang masih sepi lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Norlia berkata, simpanannya juga hampir kehabisan kerana terpaksa memulangkan deposit pembayaran pelanggan dan merancang untuk menutup operasi pada Jun depan sekiranya situasi tersebut berterusan.
Ujarnya, antara faktor pelanggan kurang juga adalah disebabkan jalan tutup, cuaca buruk dan kurang sebaran tentang kawasan lain yang berdekatan adalah selamat untuk dikunjungi.
Norlia berharap agar kerajaan negeri dapat berbuat sesuatu dengan mempromosikan semula pelancongan di Batang Kali supaya pengusaha sepertinya dapat bernafas kembali.
“Depan resort saya ada sungai untuk pengunjung. Dahulu pada musim cuti sekolah atau hujung minggu memang sentiasa penuh, tetapi sejak peristiwa itu, kawasan ini lengang kerana orang ramai masih takut.
“Saya harap kerajaan negeri dapat sebarkan maklumat bahawa resort dan tapak perkhemahan lain adalah selamat untuk dikunjungi,” ujarnya.
Pengusaha tapak perkhemahan Dusun Bonda, Azura Othman, 48, turut berdepan dengan kerugian lebih RM80,000 sejak kejadian tanah runtuh tersebut terjadi.
Katanya, pelanggan yang datang telah merosot lebih 50 peratus kerana rata-rata masih mempunyai stigma negatif apabila mendengar nama Batang Kali.
“Apabila kita jelaskan lokasi kita jauh dari lokasi tanah runtuh dan tidak berdepan dengan sebarang bencana alam, kebanyakan pelanggan tidak percaya kerana masih trauma.

“Sebelum kejadian itu terjadi, kami menerima banyak tempahan, tetapi sekarang boleh kira pakai jari.
“Keuntungan yang ada kini hanya cukup-cukup nak bayar gaji pekerja dan kos penyelenggaraan. Saya kini mahu jual makanan sebagai alternatif, kami masih lagi dalam proses untuk mendapatkan lesen,” katanya.
Azura yang telah menjalankan bisnes itu selama lima tahun juga berharap kerajaan negeri dapat menguar-uarkan kepada orang ramai supaya mereka tidak takut mengunjungi tapak perkhemahan di kawasan Batang Kali.
“Sepanjang kami beroperasi, alhamdulillah tidak pernah ada lagi bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh. Kalau lihat cuaca buruk pun, kami akan tutup sementara.
“Usaha perlu datang daripada kerajaan negeri juga. Besar kesannya kepada kami pengusaha kecil-kecilan. Kalau tiada tindakan susulan diambil, boleh lingkup agaknya kami ini,” keluhnya.
Pemilik resort 82 Rening, Fariq Mohd. Salleh, 50, pula berkata, pelanggan kini lebih sensitif terhadap keadaan cuaca semasa, terutama sejak banjir besar dan tragedi tanah runtuh berlaku.
Menurutnya, sejak tragedi Batang Kali, jumlah pelanggan merosot lebih 50 peratus dan kerugian pada bulan itu sahaja mencecah sehingga RM30,000.
“Kejadian sebenar berlaku lebih hampir dengan Gohtong Jaya di lereng bukit berhampiran Genting Highlands. Kedudukan kami lebih 25 kilometer dari lokasi kejadian.
“Tetapi seluruh pengusaha resort dan tapak perkhemahan di Batang Kali ini terkena tempiasnya. Cuti sekolah baru-baru ini pun merosot banyak, terkejut juga kami.
“Saya berharap jenama Batang Kali ini boleh dipromosikan sebagai bandar seni supaya keunikan yang ada dapat menarik pelancong tempatan dan antarabangsa untuk melawat serta berbelanja,” ujarnya.















