fbpx
USTAZ Zahazan menyeru umat Islam supaya membaca al-Quran sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah SWT.

Tauliah mengajar agama atasi masalah ajaran sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ramadan merupakan bulan yang menjanjikan seribu satu pahala kepada umat Islam yang menjalaninya dengan penuh keinsafan.

Apa yang lazimnya berlaku pada bulan Ramadan, umat Islam berpuasa penuh sambil melakukan perkara-perkara tidak sepatutnya seperti makan berlebihan ketika berbuka dan tidak teruja merebut ganjaran pahala Allah SWT apabila menunaikan solat sunat tarawih.

Bagi mengupas lebih lanjut tentang, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual penceramah bebas yang juga Pengarah Urusan syarikat penerbitan buku Telaga Biru Sdn. Bhd., Ustaz Datuk Dr. Zahazan Mohamed di pejabat beliau di Bandar Sri Damansara, Selangor baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Pertama sekali, selamat menyambut Ramadan kepada Datuk. Sempena kedatangan bulan diturunkan al-Quran ini, bagaimana cara terbaik untuk menunjukkan kecintaan kita kepada kitab suci Islam itu?
Ustaz Datuk Dr. Zahazan Mohamed: Pertama sekali kita harus tahu bahawa Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran yang juga merupakan kitab hidayah dan kitab membawa perbezaan antara kebenaran serta kebatilan.

Dalam ayat 184 surah al-Baqarah menekankan bahawa Ramadan itu satu kemuliaan kerana ia merupakan bulan diturunkan al-Quran iaitu panduan dalam hidup.

Bayangkan panduan yang diturunkan ini, jika kita tidak berusaha untuk membacanya, maka kita adalah orang yang rugi.

Hari yang paling mulia adalah malam diturunkan al-Quran dan malaikat yang membawa al-Quran juga menjadi malaikat paling mulia. Insan yang menerima al-Quran itu juga menjadi Nabi yang paling mulia.

Oleh itu, mereka yang membaca al-Quran adalah orang yang paling mulia. Jadi, mengapa kita kena baca al-Quran? Kata para ulama, ia adalah manifestasi tentang syukur kita kepada Allah kerana menghantar kepada kita kitab untuk menjadi panduan pada hari ini.

Dalam pemikiran Datuk, apakah amalan-amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam di negara ini ketika Ramadan yang dilihat bercanggah dengan perkara yang dianjurkan Islam?
Perkara pertama yang dilihat adalah amalan berlebih-lebihan ketika berbuka puasa. Dalam Islam, sesiapa yang membantu seseorang berbuka puasa baginya pahala. Namun, ia tidak bererti memewahkan orang berbuka dengan makanan yang enak.

Malah, ada sesetengah masjid yang meletakkan harga berbuka yang terlalu tinggi, ada mencecah sehingga RM5,000 dan RM10,000 sehari.

Jika dipecahkan mengikut slot, ada yang akan berharga RM100 seorang dan jumlah ini adalah berat bagi ramai orang.

Akhirnya, orang akan makan juadah yang enak-enak seperti nasi beriani, nasi lemak dan sebagainya.

Akibatnya, mereka menjadi terlalu kenyang dan mungkin tidak menunaikan tarawih.

Bangun bersahur itu juga tidak perlu makan banyak, cukup sekadar minum segelas susu untuk kita memperoleh keberkatan dan menghayati semangat orang miskin.

Ramadan juga dilihat sebagai pesta pakaian apabila orang ramai berpusu-pusu mengadakan jualan dan membeli pakaian baharu.

Saya faham, budaya kita menyambut Aidilfitri adalah dengan berpakaian baharu.

Namun, bukanlah dengan cara berlebihan melalui gambaran kemewahan beraya dari sudut pakaian dan penampilan.

Ada pihak yang menjadikan Ramadan sebagai bulan mengaut keuntungan besar sehingga sanggup menipu seperti menjual karipap inti kosong dan air yang tidak dimasak. Apakah pendapat Datuk mengenai perkara ini?
Satu amaran tegas yang diberikan oleh Allah yang bermaksud, celakalah bagi orang yang berniaga dan hanya memikirkan keuntungan.

Sebagai contoh, peniaga yang mungkin memasak semula makanan yang tidak habis dijual pada hari sebelumnya dan menjualnya semula kepada pelanggan.

Mengambil contoh satu kisah yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya bertajuk Roh, ada segerombolan umat Islam pergi menunaikan ibadah haji dari Baghdad (Iraq).

Namun, dalam perjalanan, salah seorang daripada jemaah itu meninggal dunia ketika sedang berpakaian ihram.

Maka, mereka mahu mengebumikan mayat tersebut dan mula menggali kubur. Begitu pun, apabila menggali kubur, mereka mendapati terdapat ular dalam liang lahad itu. Apabila menukar lokasi lain, masalah itu berulang lagi.

Maka mayat itu terpaksa dikebumikan bersama ular-ular tersebut. Apabila ditanya tentang amalan si mati ketika hidup, ahli keluarga memberitahu bahawa si mati merupakan seorang peniaga kedai makan di Baghdad.

Apabila berniaga, si mati dikatakan mencampurkan makanan yang tidak habis dijual dan perkara ini turut berlaku di negara kita.

Teguran saya kepada peniaga-peniaga adalah supaya setiap kali masak, anggaplah anda mahu memberi makanan itu kepada ahli keluarga sendiri.

Sebagai Pengarah Urusan Telaga Biru, bagaimanakah Datuk melihat penerimaan masyarakat terhadap naskhah bergenre agama?
Cabaran yang besar pada ketika ini adalah elemen hiburan menjadi fokus orang ramai.

Sebagai contoh, semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, kami berharap agar buku bergenre agama ini akan mendapat sambutan.

Namun selepas membuat kajian, dunia hiburan lebih mendapat sambutan. Biarpun perkara dakwah ini tidak disukai semua orang, namun ia tetap perlu diteruskan.

Dalam industri ini, kita memerlukan semangat walaupun banyak cabaran. Insya-Allah akan ada orang yang mendapat manfaat daripada buku-buku ini. Oleh itu, Telaga Biru muncul dengan menyediakan buku yang berfungsi sebagai pemudah cara untuk orang beramal.

Kita dapati ramai orang memilih untuk mendapatkan ilmu agama menerusi platform YouTube dan TikTok. Adakah perkembangan ini memberi kesan terhadap industri buku berkaitan keagamaan?
Bagi saya, platform digital ini menyempurnakan lagi industri buku kerana lagi banyak orang yang berdakwah dengan cara sedemikian, maka lebih ramai orang akan mencari maklumat sebenar melalui buku.

Sebagai contoh, apabila orang berdakwah dengan bercerita tentang kepentingan membaca tafsir al-Quran, maka orang akan mencari tafsir al-Quran itu.

Oleh itu, saya melihat perkara ini sebagai satu bentuk complementary kepada apa yang kami lakukan. Saya tidak menafikan sumbangan platform-platform ini terhadap industri buku.

Difahamkan pihak Telaga Biru ada mengeluarkan al-Quran yang mesra dengan umat Islam di negara ini bagi pemahaman lebih tepat. Apakah kelebihan al-Quran ini berbanding yang sedia di pasaran?
Lebih 10 tahun lepas, kami menerbitkan buku wakaf Ibtidal yang menjanjikan kepada umat Islam cara membaca yang mudah dan mesra kerana ada ayat-ayat yang panjang yang menjadikan orang membacanya dalam keadaan tidak cukup nafas.

Jadi, kaedah yang dirumuskan oleh pakar al-Quran dunia, Tan Sri Datuk Hasan Azhari membantu ramai umat Islam untuk membaca al-Quran dengan lebih mudah dan betul.

Dalam al-Quran, terdapat banyak topik yang seterusnya dibahagikan mengikut segmen berdasarkan warna.

Kemudian, kami mendapati al-Quran apabila ditandakan ini lebih cepat dibaca. Oleh sebab itu, kami menghasilkan al-Quran tagging yang memudahkan pembaca untuk menyemak.

USTAZ Zahazan menyeru umat Islam supaya membaca al-Quran sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah SWT.

Sebelum ini, ada penceramah popular tidak diberi tauliah untuk memberi ceramah di negeri-negeri tertentu tanpa sebab yang jelas. Apakah pandangan Datuk mengenai perkara ini?
Tauliah diberi oleh majlis agama dan menilai tauliah itu berdasarkan kelulusan dan kelayakan. Bagi saya, tauliah ini perlu ada bagi mengelakkan ajaran sesat, namun jangan jadikan perkara itu sebagai sesuatu yang menyusahkan.

Sepatutnya, apabila seseorang itu mempunyai kapasiti untuk berdakwah, kita tidak sepatutnya meragui orang tersebut.

Malangnya, ada sesetengah tempat itu, pihak agamanya mengenakan peraturan terlalu ketat yang kita sendiri tidak pasti sebabnya.

Jadi, amalan ini adalah sesuatu yang tidak baik dan tidak seharusnya menyekat seseorang hanya kerana mereka mempunyai pandangan berbeza daripada kita.

Ada pihak menganggap tempat ibadah tidak sesuai dijadikan pentas untuk berpolitik. Bagaimana pendapat Datuk mengenai perkara ini?
Kepimpinan ini satu benda yang penting yang mana kita perlu menerangkan dan mengambil peluang bercakap dengan orang.

Politik adalah ijtihad dan apabila anda menyertai mana-mana parti sekali pun, sekiranya boleh membawa kepentingan Islam dan orang awam, maka teruskan.

Paling penting adalah setiap pendakwah perlu mengambil sikap berhikmah kerana ia elemen yang hilang daripada orang Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN