fbpx
Para pekerja tidak menang tangan menghasilkan nisey kerek yang mendapat permintaan tinggi pada bulan puasa.

Masak 10 kawah nisey kerek setiap hari ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan proses mencari daun mengkuang untuk menghasilkan acuan tradisional diikuti ‘menyadat’ mayang kelapa untuk dapatkan nira, itu menjadi sebahagian langkah penting bagi menyiapkan gula melaka atau lebih popular dengan panggilan nisey kerek di Kelantan.

Nisey kerek semakin mendapat permintaan yang tinggi pada bulan Ramadan dalam kalangan suri rumah dan pengusaha kuih-muih.

Nisey kerek merupakan pelengkap yang menambah keenakan kuih-muih untuk berbuka puasa atau moreh.

Nisey kerek sering dijadikan inti bagi kuih-kuih tradisional seperti onde-onde, puteri mandi, sarang lebah, pengat dan sebagainya.

Selain itu, ia juga dijadikan bahan campuran untuk resipi gulai kawah.

Pengusaha nisey kerek, Nazri Wahabi, 41, berkata, sebelum memulakan proses membuat nisey kerek, dia perlu memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan air nira.

Menurutnya, peralatan yang wajib dibawa bersama antaranya sadat iaitu pisau khas yang tajam untuk memotong mayang kelapa bersama tukir iaitu bekas tadahan nira.

“Apabila air nira diambil daripada pokok kelapa, saya akan menyediakan kawah, dapur dan kerek (acuan daun mengkuang) di bangsal untuk proses memasak gula tersebut.

“Kebiasaannya, bulan Syaaban dan Ramadan adalah saat yang paling sibuk untuk menyiapkan nisey kerek kerana saya akan mendapat permintaan yang tinggi berbanding bulan-bulan lain,” katanya ketika ditemui Panorama di bangsal memproses nisey kerek miliknya di Kampung Telaga Papan Semerak, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Nazri memberitahu, dia akan memasak nisey kerek sebanyak enam kawah setiap hari bermula bulan Syaaban berbanding hanya dua kawah pada bulan-bulan lain.

Menurutnya, jumlah itu akan meningkat kepada 10 kawah setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

“Bermula hujung Februari lalu, saya menyiapkan pati pekat nira yang telah dimasak bersama 144 kilogram (kg) gula pasir, manakala sepanjang Ramadan pula sebanyak 240kg gula diperlukan setiap hari.

“Setiap satu kawah mampu menghasilkan kira-kira 250 keping nisey kerek yang mengambil masa selama satu jam untuk diproses,” katanya.

Dalam setahun, Nazri berkata, nisey kerek yang dihasilkannya mendapat permintaan secara berkala daripada pemborong atau peruncit seluruh negara termasuk individu yang menjual kuih-muih dan nisey kerek secara dalam talian.

Nazri memasak nira kelapa sehingga pekat sebelum dituangkan ke dalam acuan daun mengkuang yang dipanggil kerek.

Ujarnya, nisey kerek merupakan produk utama yang dihasilkan penduduk kampung itu yang kebanyakan pengusahanya mewarisi kemahiran daripada keluarga masing-masing.

“Pembuatan nisey ini amalan lama yang dilakukan penduduk di sini sejak sebelum merdeka lagi.

“Kerja ini turut diwariskan kepada generasi seterusnya, malah ada yang turut menjadikannya sebagai perniagaan hiliran keluarga,” terangnya.

Menurut Nazri, sebelum ini, kayu api digunakan sebagai bahan bakar utama bagi memasak nisey kerek.

Namun kini, dia menggunakan dapur gas semawar yang mudah untuk mengendalikan tahap kepanasannya selain mempercepat proses pembuatan nisey kerek.

“Nisey kerek adalah manisan yang dihasilkan dengan sebahagian atau sepenuhnya daripada nira kelapa dan sama seperti gula melaka.

“Ia hanya dibezakan dengan rupa bentuk dan rasa.

“Harga sekeping nisey kerek asli yang menggunakan sepenuhnya nira tanpa gula adalah lebih mahal kerana ia dikelaskan sebagai nisey tuak asli,” katanya.

Kongsi Nazri, nisey kerek yang dicampurkan dengan gula lebih popular kerana lebih murah.

Menurut Nazri, di Kampung Telaga Papan sahaja terdapat 10 tempat menghasilkan nisey kerek dengan masing-masing mempunyai pelanggan dan pemborong sendiri dari seluruh negara.

“Kebiasaannya, saya menjual nisey kerek kepada pemborong yang sudah biasa membuat tempahan.

“Saya akan menjual sepaket nisey kerek yang mengandungi 50 keping nisey pada harga RM20 kerana mereka membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Bagi pelanggan biasa pula, bahan itu dijual pada harga RM25 sepaket kerana mereka membeli dalam bilangan yang sedikit. Selain itu, mereka juga perlu menunggu giliran selepas saya menjual nisey kepada pemborong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN