KUALA LUMPUR – Majikan dan pekerja perlu bersedia dari sudut keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi menghadapi perubahan di tempat kerja akibat pengaruh beberapa trend mega (megatrends) dalam tempoh terdekat.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, antara ‘megatrends’ (trend mega utama) adalah perubahan iklim, revolusi teknologi, perubahan demografi akibat penuaan global, proses urbanisasi, ketidakstabilan geopolitik serta peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental, hak asasi manusia dan alam sekitar.
Jelasnya, dengan penganjuran Majlis Pra-Pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2023) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCICOSH 2023, ia akan memberi peluang lebih besar kepada semua pihak untuk mendalami bidang KKP.
“Penganjuran kedua-dua program oleh oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) secara serentak pastinya memberi peluang kepada majikan dan pekerja untuk melihat pelbagai teknologi berkaitan.
“Perkongsian maklumat oleh pakar-pakar KKP dan pameran teknologi berkaitan akan memberi peluang kepada para peserta untuk memahami cabaran yang bakal dihadapi serta penyelesaian terbaik yang boleh dilaksanakan.
“Kita perlu buat persediaan kerana pekerjaan di masa depan akan lebih fokus pada teknologi yang berkemungkinan akan mengambil alih fungsi manusia serta memberi kesan bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga mental,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran kedua-dua program itu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Sivakumar, seramai 80 pempamer akan terlibat dalam persidangan dan pameran yang bertemakan ‘The Future of Work’ atau ‘Masa Depan Kerja’ selama dua hari, bermula 1 November depan.
Beberapa inisiatif termasuk program intervensi untuk menangani perubahan cara kerja termasuk isu kesihatan mental di tempat kerja di bawah program yang dikenali sebagai ‘Employee Assistance Program(EAP)’ juga telah diperkenalkan.
Katanya, Program EAP dapat membantu majikan mengenalpasti risiko psikososial di tempat kerja, seperti mana diperuntukan di bawah Seksyen 4 (c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, agar mereka boleh menyediakan pelan intervensi bagi menangani masalah tersebut di peringkat awal.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, pihak NIOSH telah menyalurkan sumbangan lebih kurang RM500,000 kepada institusi-institusi berkaitan untuk menjalankan kajian-kajian berhubung dengan KKP. – KOSMO! ONLINE