SEJAK sekian lama, masalah penyalahgunaan dadah menjadi musuh utama bagi negara.
Biarpun pelbagai langkah telah diambil bagi menangani masalah itu, namun sehingga kini masih belum ada tanda ia akan berakhir.
Malah, setiap tahun semakin ramai golongan belia yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu sehingga menjadi penagih tegar.
Bagi membincangkan tentang masalah tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemubual Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan bahan terlarang? Adakah ia mesti bahan dilarang di sisi undang-undang negara atau apa-apa bahan mengkhayalkan yang dipercayai boleh membawa kemudaratan walaupun tidak diwartakan?
RAJA AZIZAN SUHAIMI: Sebenarnya, apa yang memudaratkan tubuh badan boleh dikira sebagai barang terlarang, termasuk yang berbentuk ringan seperti rokok dan vape. Tetapi, rokok dan vape ini dari segi undang-undang dibenarkan.
Bagaimanapun, vape ini mungkin kita tidak sedar bahawa ia berbahaya.
Kadangkala untuk melariskan cecair vape, pihak pengeluar akan menawarkan sesuatu yang menarik dengan memasukkan campuran bahan terlarang yang boleh memberi kesan ‘mari’ atau khayal kepada pengguna.
Kita harus sedar bahawa di Malaysia lebih 800 New Psychoactive Substance (NPS) atau Substan Psikoaktif Baharu yang tidak diwartakan sebagai dadah. Berdasarkan data antarabangsa, NPS ini sudah melebihi 1,000.
Jika seorang remaja menghisap vape, kita tidak tahu apa kandungan di dalam cecair tersebut sama ada ia mempunyai campuran NPS yang mengkhayalkan atau tidak.
Oleh itu, benda-benda yang memudaratkan walaupun ia belum diwartakan lagi, kita perlu cantas atau tanganinya segera kerana ia berbahaya.
Terangkan jenis-jenis bahan terlarang. Adakah ia turut berkait dengan sesuatu yang melebihi amaun dibenarkan?
Bagi dadah yang telah diwartakan di bawah Akta Dadah Berbahaya atau di bawah Akta Rawatan dan Pemulihan memang ada amaunnya.
Sebagai contoh, amaun bagi dadah jenis heroin bagi 15 gram ke atas hukumannya adalah gantung sampai mati. Begitu juga ganja atau kanabis, sekiranya melebihi amaun dan seseorang itu disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara atau digantung sampai mati.
Bagaimanapun, NPS ini masih belum diwartakan lagi dan sukar untuk mengaitkannya dengan kesalahan undang-undang.
Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan, ibu bapa kelihatan selesa apabila anak mereka hanya menghisap vape, walaupun kami telah menerangkan bahayanya.
Malah, ada ibu bapa yang memaklumkan bahawa anak mereka telah melakukan ujian urin dan negatif dadah.
Memang benar tidak positif kerana NPS masih belum diwartakan lagi.
Namun, ia akan menjadi bahaya jika anak-anak ketagihan NPS dan mereka mula mengambil bahan terlarang yang lain.
Bermula daripada vape juga tidak mustahil seseorang itu akan menjadi penagih dadah tegar.
Dadah merupakan bahan terlarang. Selama ini, kalau bercakap tentang dadah, kita biasa dengan nama-nama seperti heroin, morfin, pil kuda. Bagaimanakah senario kepesatan perkembangan atau percambahan jenis-jenis dadah sekarang yang mungkin tidak begitu diketahui orang awam?
Trend penagihan dadah memang ada evolusinya. Dahulu, penagih mengambil ganja dan candu.
Kemudian, ia beralih kepada heroin yang memberi kesan kepada fizikal.
Kini, penagih mula mengambil dadah sintetik iaitu methamphetamine atau syabu yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.
Di kawasan saya tinggal, ada mereka daripada golongan profesional turut terlibat dalam pengambilan dadah jenis ini.
Di pusat pemulihan dadah persendirian, kami dapati 80 peratus penagih baharu yang masuk ke situ menjalani rawatan berkaitan syabu.
Selain itu, ada juga jenis dadah yang jarang diketahui oleh orang ramai iaitu ‘mushroom’.
Bagi ganja, ia masih dalam kategori dadah buat masa ini.
Sementara ketum pula, penagih yang ketagih dengan heroin akan mengambil air daun berkenaan bagi menghilangkan gian.
Ketum ini jika digunakan secara betul ia tiada masalah. Ia menjadi masalah apabila disalahgunakan sehingga memudaratkan diri.
Pada 2003, kerajaan telah meletakkan penggunaan ketum di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 19.
Baru-baru ini terdapat dapatan mengejutkan apabila diramal 30,000 belia bakal menjadi penagih dadah. Sejauh mana kebenaran ramalan ini?
Pada tahun lalu, ada data menunjukkan lebih 10,000 belia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Jumlah itu akan bertambah pada tahun ini berdasarkan program yang kami laksanakan kerana begitu ramai remaja atau belia telah menghisap vape.
Kita tidak tahu apa kandungan di dalam vape ini. Mungkin kita boleh andaikan mereka ketagih dengan NPS. Melalui program yang kami laksanakan, berkemungkinan 30,000 belia akan terlibat dengan masalah ini.
Kemungkinan untuk mereka mengambil bahan terlarang ini tetap ada. Ini kerana akan berlaku ‘perlencongan sosial’ jika golongan ini bergaul dengan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Malah, kini penagihan dadah boleh berselindung disebalik vape.
Pada pandangan tuan, apakah punca peningkatan trend ketagihan dadah dalam kalangan belia?
Dalam hal ini, apabila ada tawaran menarik pasti akan ada permintaan.
Kita lihat sendiri kedai vape sekarang sungguh mempesonakan sehingga berjaya menarik belia untuk masuk dan mencubanya.
Selain itu, ada yang ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki oleh golongan belia.
Perkara yang merisaukan saya adalah jika mereka mengambil vape yang mengandungi campuran bahan terlarang sehingga menyebabkan ketagihan.
Lama-kelamaan, golongan ini berkemungkinan besar akan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Malah, pengedar-pengedar dadah juga akan mencari pelanggan-pelanggan baharu daripada golongan berkenaan.
Kalau boleh dikongsikan, sejauh mana seriusnya kes dadah yang dicampurkan ke dalam cecair vape?
Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya memaklumkan bahawa dadah yang mudah untuk dicampur ke dalam cecair vape adalah ‘mushroom’ dan juga ganja.
Bagi NPS yang berbentuk cecair, mereka boleh mencampurkannya bersama cecair vape untuk memberi kesan ketagihan sama seperti mengambil heroin. Namun, campuran cecair vape yang dicampur dengan dadah ini tidak dijual secara terbuka.
Difahamkan, ada 800 NPS yang belum diwartakan, namun dikenal pasti sebagai dadah. Pengambilnya tidak akan positif jika melalui ujian air kencing. Bagaimana keadaan ini boleh terjadi?
Sebenarnya, NPS ini memang berbahaya kerana kita tidak tahu kandungannya.
Kadang-kadang mereka yang mengambil NPS pun tidak tahu apa kandungan di dalam cecair vape mereka. Sebagai contoh, jika seseorang itu mengambil heroin ada rawatan untuk ketagihannya dan begitu juga dengan syabu.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengambil NPS, kita sendiri tidak tahu apa yang mereka ketagih dan cara untuk hendak merawat ketagihan.
Boleh dikatakan, NPS ini menjadi satu ancaman baharu buat negara.

Menerusi Bajet 2023, kerajaan bersetuju untuk menaikkan cukai eksais cecair vape. Apa pandangan tuan tentang usaha?
Apabila cukai ditingkatkan peniaga akan menaikkan harga. Golongan yang terkesan adalah pengguna.
Pembeli tetap akan membelinya disebabkan keinginan dan ketagihan yang tinggi. Sebenarnya, cukai ini tidak akan merubah apa-apa.
Sebelum cukai ini dilaksanakan, pihak kerajaan perlu menggesa para peniaga vape untuk mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia bagi memastikan bahan yang mereka jual tidak memberi kesan mudarat kepada pengguna.
Mana-mana produk vape yang tidak mendapat kelulusan KKM, kita boleh klasifikasikan sebagai bahan terlarang.
Terdapat usul yang meminta pesalah dadah dialih keluar dari penjara. Apa komen tuan terhadap usul berkenaan?
Pendekatan kita terhadap pesalah dadah bersifat menghukum dan mengurung. Ia tidak memberi apa-apa kesan. Persoalan yang ingin saya tanya kepada orang di luar sana, adakah penagihan ini satu penyakit atau jenayah?
Jika penagihan dadah sejenis penyakit, maka pendekatan kita menghukum dan mengurung pesalah adalah tidak betul.
Tetapi jika kita katakan ia sebagai penjenayah, tidak ada masalah untuk memenjarakan pesalah.
Saya dapati apabila pesalah bebas dari penjara mereka dibiar begitu sahaja. Berdasarkan pengalaman saya, penagih yang bebas dari penjara akan kembali ke sarang penagihan.
Ini kerana ada kelompongan terhadap ‘penjagaan lanjutan’ apabila golongan ini bebas dari penjara. Sepatutnya, ada pihak yang boleh menjaga mereka buat sementara supaya tidak kembali terlibat dengan penagihan dadah.
















