fbpx
NORSYAZWANI (kiri) melayan pelanggan dari Tak Bai, Thailand yang datang ke premisnya di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu kelmarin.

Corak, nilai duit rendah punca emas Malaysia diborong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Corak barangan kemas terkini selain harga yang jauh lebih murah menjadi faktor yang mendorong wanita-wanita dari selatan Thailand untuk datang ke Pasar Besar Siti Khadijah di sini bagi membeli emas.

Seorang pemilik kedai emas, Norsyazwani Ismail, 38, berkata, premisnya menerima kehadiran lebih 30 pelanggan dari Thailand setiap bulan yang sanggup datang untuk membeli corak bara­ngan kemas terkini.

Menurutnya, kebanyakan pe­langgan dari negara jiran akan berbelanja antara RM5,000 hingga RM30,000 untuk membeli pelbagai jenis rantai dan gelang emas.

“Setiap minggu, dianggarkan 10 pelanggan dari selatan Thailand akan datang dan biasanya, mereka akan
datang berkumpulan dengan menyewa van untuk merentas sempadan.

“Walaupun harga semasa emas ketika ini agak mahal iaitu RM261.03 segram, namun mereka tetap berbelanja dalam jumlah yang besar kerana harga emas di Thailand dianggap terlalu mahal,” katanya.

Norsyazwani berkata, antara barang kemas yang popular dan menjadi rebutan ialah rantai leher jenis boba, gelang tangan candy gantung dan cincin.

Menurutnya, mereka juga akan membayar secara tunai selepas menukar mata wang Baht kepada Ringgit Malaysia di beberapa premis pengurup wang di bandar Kota Bharu.

“Mereka sering bercerita, corak barangan kemas di Thailand tidak cantik, warnanya perang, tidak tahan lama dan harga emas di sana ketika ini mencecah RM270 segram. Berbeza dengan kualiti emas di Kelantan apabila coraknya lebih terkini dan harganya juga murah,” katanya.

Seorang pelanggan dari selatan Thailand, Nasroh Che Ali, 58, berkata, dia datang ke kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah semata-mata untuk membeli gelang tangan jenis boba untuk dipakai semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurutnya, dia dan beberapa rakan lain berkonvoi dengan menaiki dua buah van hanya untuk membeli barangan kemas di pasar tersebut.

“Saya sudah berhabis seba­nyak RM30,000 hanya dalam sehari untuk membeli pelbagai jenis rantai dan gelang tangan boba,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN