fbpx
GENERASI muda berpeluang mendengar kisah daripada perwira negara secara bersemuka.

Veteran tentera umpama buku sejarah bergerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“TENTERA sejati bertempur bukan kerana mereka benci dengan apa yang ada di depan mereka, tetapi kerana sayang dengan apa yang ada di belakang mereka.”

Ungkapan daripada penulis Barat, G.K. Chesterton itu sudah cukup menjelaskan senyuman yang terukir pada wajah Kolonel Allen Lai Kim Hin ketika menceritakan tentang detik-detik berdepan dengan musuh negara pada suatu ketika dahulu.

Kesukaran anak-anak muda yang berada depannya membayangkan situasi perang yang diceritakan itu bermakna segala usaha serta pengorbanan para prajurit seangkatan Allen telah membuahkan hasil.

Ini kerana, perang bukan lagi realiti kehidupan bagi generasi muda pada masa kini.

Ancaman yang dihadapi Allen sewaktu muda sudah menjadi salah satu topik dalam lembaran sejarah negara.

Allen menyampaikannya dalam sesi perkongsian dinamakan Perpustakaan Kehidupan Sejarah Tentera Malaysia di Plaza Usahawan Genting Klang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menggunakan tajuk Sembilan Nyawa, veteran kelahiran Selangor itu berkongsi pengalamannya berdepan dengan maut sejak hari pertama dia menyarungkan seragam Kadet Tentera Laut pada 1963 sehingga bersara sebagai Ketua Divisyen Keempat Infantri Malaysia pada 1999.

Antara perkara yang terpaksa dilepaskan oleh Allen dan rakan-rakannya sebagai seorang perajurit adalah kehilangan detik melihat anak-anak mereka membesar di depan mata.

Hal ini kerana mereka perlu memainkan peranan besar sebagai perwira negara.

Namun, tidak sedikit pun hatinya kesal dengan pilihan hidup tersebut kerana Allen sedar pengorbanan itu menyumbang kepada keamanan yang dinikmati masyarakat Malaysia sekarang.

Biarpun sudah bersara, namun Allen berasa perjuangan mesti diteruskan bagi memastikan nilai patriotisme yang dipegang oleh generasinya dapat diwariskan kepada anak muda.

Sehubungan itu, dia bertindak mengumpul beberapa rakan veterannya untuk menubuhkan Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia atau Malaysia Military History Tourism Association (MMHTA).

Tujuan penubuhan persatuan tersebut adalah untuk mempromosikan pelancongan sejarah tentera di Malaysia, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran yang telah bersara.

“Kami masih ingin terus dedikasikan hidup kepada raja dan negara dengan cara tersendiri.

SEBAHAGIAN veteran tentera yang menyertai sesi perkongsian Perpustakaan Kehidupan Sejarah Tentera Malaysia di Plaza Usahawan Genting Klang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kami sudah bersara dan boleh sahaja menikmati pencen, namun pada kami, usaha ini adalah satu khidmat kepada negara.

“Tidak ramai masyarakat yang sedar akan kewujudan kami. Mereka tidak tahu pengorbanan yang dilakukan kami demi mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi satu ketika dahulu,” katanya kepada K2.

Ujarnya, kebanyakan anak muda terutama generasi Z dan alpha tidak memiliki akses kepada individu zaman perang kerana kebanyakan perwira negara sudah meninggal dunia.

Menerusi usaha tersebut, Allen berharap, pihaknya dapat memberi peluang kepada orang ramai berkomunikasi secara dua hala dengan perwira yang pernah berjuang demi negara.

“Perpustakaan Kehidupan Sejarah Tentera Malaysia seperti ini merupakan salah satu aktiviti dalam modul Lawatan Konvensyen Tentera kami.

“Kami gelarkan diri sebagai perpustakaan kerana kami bagaikan buku sejarah bergerak.

“Kami menerbitkan buku, selain menawar pakej pelancongan ke kawasan bersejarah mengikut peristiwa perang.

“Antara pakej yang ditawarkan adalah Pertempuran Kota Bharu (1941), Pertempuran Muar (1942) dan Pertempuran Jambatan Gemencheh (1942),” ujarnya.

Salah seorang ‘pejuang’ yang mendidik anak bangsa, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengakui kesal dengan hakikat bahawa ramai pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memiliki pengetahuan asas tentang sejarah negara.

Ujarnya, penurunan had umur kelayakan mengundi tidak memberikan sebarang makna sekiranya anak-anak muda tidak memiliki nilai patriotisme dan jati diri.

“Sewaktu PRU15, saya sempat bertanya kepada sekelompok anak muda berusia 18 tahun berkenaan calon pilihan raya.

“Tetapi sayang, mereka tidak kenal siapa calon yang akan bertanding.Mereka cuma mengundi mengikut ‘hype’.

“Oleh kerana generasi sekarang hidup dalam aman, mereka tidak lagi ambil serius tentang masa depan negara.

“Oleh sebab itu, saya sanggup datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke sini untuk menyumbang kepada ‘perjuangan’ ini.

“Ada anak muda yang tidak tahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbahagi kepada tiga cabang iaitu Tentera Udara, Tentera Laut dan Tentera Darat.

“Apatah lagi pengorbanan kami,” jelasnya yang menyertai pasukan tentera bagi menampung persekolahan adik-adik.

Bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu memilih untuk berkongsi pengalamannya sebagai Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia atau lebih khusus sebagai Pasukan Khas Laut (Paskal).

Danyal mengakui, penerbitan filem berkaitan ketenteraan Malaysia mampu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perjuangan unit-unit pasukan khas negara.

Dia berharap pendedahan tersebut mampu mendorong kerajaan supaya menyediakan platform khas buat pesara unit pasukan khas.

“Paskal menjalani latihan intensif khas untuk medan pertempuran negara. Namun setelah bersara, mereka tiada saluran untuk salurkan tenaga dan kepakaran.

“Saya berharap kerajaan akan menyediakan platform khas kepada pesara unit pasukan khas dan tidak membiarkan mereka terkapai-kapai begitu sahaja,” ujarnya.

Salah seorang pengunjung, Kirubasangar, 23, berkata, perkongsian pengalaman oleh perwira negara secara bersemuka memberikannya peluang untuk mempelajari sejarah secara aktif.

Katanya, persoalan-persoalan berkaitan dengan peristiwa lampau tidak lagi terbuku dalam mindanya.

“Saya percaya rakyat Malaysia kurang menghayati dan menghargai perjuangan pasukan ATM kerana tidak pernah berinteraksi dengan pasukan ini.

“Setelah saya menyertai program ini, rasa kagum dan hormat saya kepada mereka semakin tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN