Oleh NURFARHANA MOHAMED
SETIAP pasangan yang berkahwin mengimpikan cahaya mata sebagai pelengkap benih cinta yang disemai. Apa tidaknya, kehadiran mereka itu pastinya menjadi akar penguat kebahagiaan rumah tangga yang dibina bersama.
Ada sesetengah pasangan tidak perlu menunggu lama untuk dikurniakan zuriat si penghibur hati, hakikatnya banyak pasangan teruji dan perlu menungu lama untuk menimang anak sendiri.
Mengalami ujian sama, penyanyi Indah Ruhaila tidak pernah putus berdoa agar segera dimurahkan rezeki. Dia juga seperti wanita lain yang mahu memiliki si jantung hati penyeri bahagia bersama suami.
Bernikah dengan Ahmad ShariffAhmad Taufik sejak tiga tahun lalu, Indah tidak terkecuali dengan persoalan orang sekeliling.
Tidak perlu terasa hati apatah lagi melenting, pelantun lagu Pudar itu tetap positif dan mengharapkan doa yang baik
daripada semua.

“Jujurnya memang ada sahaja orang tanya bila nak ada anak. Malah, ada juga yang beranggapan saya ini acah-acah macam nak anak, tetapi sebenarnya tak nak anak pun.
“Telahan begitu langsung tidak betul. Saya okey sahaja. Kalau begitu kata mereka, tak mengapalah.
“Kadangkala orang tak nampak yang kita ini sebenarnya fokus ke arah itu (memiliki anak).
“Memang kami merancang nak dapatkan anak tetapi belum ada rezeki lagi , jadi saya dan suami hanya berserah kepada Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Indah atau nama penuhnya Siti Ruhailah Hussein seboleh-bolehnya tidak mahu tertekan dengan isu anak kerana bimbang akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan.
Dia percaya, untuk hamil secara semula jadi, kondisi mental dan tubuh badan seseorang wanita perlu berada pada tahap baik dan bebas tekanan.
“Nak ada anak pun tak bolehlah tertekan. Jadi saya dan suami ambil pendekatan relaks.
“Kami sudah berusaha. Cuma macam saya katakan, belum ada rezeki lagi. InsyaAllah, saya percaya Tuhan akan kurniakan kami anak pada waktu yang tepat,” kata
Indah yang tidak pula bosan walaupun hanya tinggal berdua dengan suaminya.
“Hubungan kami suami isteri berlangsung elok dan baik-baik sahaja walapun tinggal berdua di rumah
“Tidak pula kami bergaduh hanya kerana masih belum mempunyai zuriat,” luahnya yang cuba memanfaatkan masa berdua dengan suami sementara masih
belum ada anak.
Tiada pilihan
Mengambil maklum mengenai situasi Covid-19 yang semakin merisaukan, pelantun lagu Percayalah itu akur terhadap tawaran kerja tidak serancak
sebelum ini.

Justeru, wanita berusia 33 tahun itu mengambil pendekatan, sekarang bukan waktu sesuai untuk sesiapa sahaja termasuk dirinya untuk bersikap memilih.
“Saya harus bercakap jujur, pandemik Covid-19 sangat memberi kesan kepada saya, bahkan kebanyakan ahli masyarakat.
“Apa pun, saya juga terima tawaran menyanyi, cuma tak ‘selebat’ waktu sebelum pandemik ini berlaku.
“Saya tetap bersyukur dan sekarang, saya tak boleh nak demand atau letak harga lebih-lebih setiap kali ada tawaran menyanyi atau program nyanyian.
“Saya anggap itu satu penghargaan. Apa yang ada depan mata, saya akan terima sebab itu bermakna ada orang ingat pada saya,” ungkapnya.
Melanjutkan bicara, Indah begitu teruja kerana dipelawa menjadi sebahagian daripada Idol dalam program terbaharu Vokal Mania terbitan TV3.
Agak lama tidak muncul dalam program televisyen, Indah sebenarnya tidak menyangka berpeluang berkongsi pentas bersama Idol lain iaitu Tomok, Lan Solo dan Aina Abdul.
“Apabila menerima panggilan daripada stesen TV3 untuk dijadikan Idol bersama tiga penyanyi lain, sudah tentulah saya terkejut dan bersyukur. Terima kasih sebab memilih saya.
“Saya anggap Vokal Mania sebagai peluang keemasan.
“Biarpun harus diakui ada sedikit tekanan, namun dalam masa sama sebenarnya teruja sebab program hiburan berbentuk pertandingan seperti Vokal Mania semakin kurang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) dilaksanakan.
“Tekanan dari sudut lain, mungkin dalam soal nak hafal lirik. Itu memberi sedikit cabaran buat saya. Maklumlah, sempena peningkatan usia, nak ingat lirik jadi lambat sedikit,” katanya sambil tertawa kecil.
Terlanjur berbicara, bekas peserta Akademi Fantasia 2013 itu sedang dalam proses rakaman single baharu.
Masih mengekalkan konsep balada yang sinonim dengan dirinya, Indah mensasarkan single tersebut akan dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Sekarang saya baru berkesempatan masuk studio rakaman setelah tertangguh agak lama.
“Pembawaan single tidak terlalu berat.
“Kalau Pudar lebih ke arah lagu balada yang ‘hitam’ berbeza dengan single baharu ini nanti yang lebih relaks dan tidak terlalu berat,” kongsinya tentang buah tangan terbaharu itu.
“Selain itu, saya juga dalam proses pembelajaran dalam soal pembikinan lagu dan produksi bersama rakan saya. “Doakan yang baik-baik dan harap sangat lagu baharu itu nanti diterima peminat,” pintanya sambil mengakhiri perbualan.














