fbpx
WINGS masih takut menerima pujian melampau kerana bimbang dikecam jika tersilap percaturan di atas pentas.

Hampiri 4 dekad penubuhan, semangat Wings tidak berganjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBAKI dua tahun sebelum meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan, tempoh tersebut menjadi bukti keberadaan Wings sebagai kumpulan rock ikonik yang menyuntik pengaruh besar terhadap khalayak.

Seiring perkembangan teknologi, peminat juga tidak hanya di Malaysia, malah video muzik mereka turut meraih sambutan dan ulasan positif YouTuber segenap rantau termasuk, Amerika Syarikat dan Eropah.

Mengakui terharu dan berbesar hati dengan komen dizahirkan orang luar, vokalisnya Datuk Awie menganggap semua itu mempunyai cabaran tersendiri.

Katanya, andai gagal memberikan persembahan cemerlang seperti yang ditunjukkan dalam YouTube pasti kekurangan sebegitu menjejaskan kredibiliti mereka.

“Kami gembira dan bersyukur apabila individu dari Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia hingga ke benua lain memberikan reaksi positif terhadap lagu Wings.

“Ada juga pendengar luar menyanyikan semula lagu Sejati dalam bahasa mereka yang membuktikan internet selaku gelanggang penyatuan dengan masyarakat luar.

“Bagi kami reaksi pendengar luar negara ini baik kerana pada masa sama mereka maklum Malaysia juga mempunyai penyanyi yang bertaraf dunia.

“Namun pujian juga boleh menjadi sesuatu yang bahaya kerana apabila sampai satu tahap atau hanya dengan satu kesilapan saja kita boleh terus dihentam.

“Bagi mengelakkan isu sebegitu, saya beri penekanan kepada anggota lain supaya membuat persiapan terbaik sebelum beraksi untuk mana-mana persembahan,” katanya.

WINGS bakal beraksi dalam Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan di Berjaya Times Square pada 8 April nanti. – FARIZ RUSADIO

Sedia menerima sebarang komen, pemilik nama sebenar Datuk Ahmad Azhar Othman, 54, itu mengakui takut berhadapan kegagalan.

Secara tidak langsung cabaran itu membuatkan Wings bersama rakan seperjuangan iaitu Black, Sham, Eddie dan Edrie Hashim sentiasa bersungguh-sungguh apabila tampil di pentas.

Biapun nyanyian dan mainan muzik sudah jadi ‘makanan’ sejak hampir empat dekad bergelar penghibur, latihan vokal serta ‘jamming’ tetap menjadi rutin.

“Umpama pergi ke medan perang, kita kena bersedia dengan bekalan selain perlu tangkas. Mungkin stamina tak seperti ketika usia 20-an atau 30-an, tetapi semangat perlu kuat.

“Takut kerana umur semakin banyak. Kalau muda tak mengapa, bangun tidur dah boleh menyanyi.

“Sekarang situasi berbeza, semuanya kena ambil masa sikit, setengah jam atau 45 minit selepas bangun tidur belum tentu suara keluar lagi,” katanya.

Tetap beraksi pada Ramadan tahun ini, Awie turut teruja menanti Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 8 April nanti.

Selain majlis berbuka puasa, pengisian program membabitkan bacaan al-Quran, solat maghrib dan isyak serta tazkirah sebelum diteruskan dengan sembahyang tarawih.

Kata penyanyi Taman Rashidah Utama itu, pilihan repertoire lagu turut menyajikan seleksi ketuhanan, dan kemanusiaan daripada kumpulan otai termasuk Al Jawahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN