fbpx
Buah-buahan siap dipotong menjadi pilihan ramai penjaja rambo warga asing untuk dijual di kawasan tumpuan ramai.

Penjaja rambo bermaharajalela di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Berbekalkan troli, barangan jualan dan meja mudah lipat, penjaja rambo warga asing kini menguasai kawasan tumpuan pelancong di Kuala Lumpur dengan menjual pelbagai barangan sehingga mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, di hadapan pusat beli-belah Sogo, Pasar Borong Chow Kit dan Pasar Borong KL di sini antara lokasi penjaja rambo bermaharajalela.

Antara barangan jualan pula seperti buah-buahan siap dipotong, belon berlampu, bunga, payung, alat permainan, minyak wangi serta pelitup muka yang kesemuanya mudah dialihkan sekiranya berlaku serbuan pihak berkuasa.

Penjaja rambo adalah istilah buat peniaga yang menjual apa sahaja jenis barangan tanpa menyewa tapak dan tiada lesen selain sering berpindah-randah serta licik meloloskan diri.

Tinjauan Kosmo! di sekitar pusat beli-belah terkenal di Bukit Bintang dari pukul 3 petang sehingga 11 malam selama tiga hari baru-baru mendapati, hampir 10 penjaja rambo warga asing menjual pelbagai barangan.

Waktu hujan dianggap ‘rahmat’ apabila mereka meraih keuntu­ngan berlipat kali ganda dengan menjual payung kerana mendapat permintaan tinggi. Payung itu berharga RM15 setiap satu.

Ketika Kosmo! berada di lokasi itu, sekumpulan penjaja rambo bertempiaran lari sebaik melihat kenderaan berlogo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlegar-legar di kawasan itu.

Seorang penjaja rambo dari Mesir dilihat berniaga di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur
baru-baru ini.

Gelagat seorang penjaja warga Vietnam pula mencuri tum­puan apabila pantas menyimpan buah-buahan yang dijualnya di sebuah stor sebelum melarikan diri bagi mengelak diri dicekup.

Selepas 30 minit berlalu, dia kembali semula menjual buah-buahan siap dipotong de­ngan harga RM15 sebekas selepas pihak berkuasa beredar dari lokasi tersebut.

Pada waktu malam pula, Kos­mo! menemui seorang penjaja dari Mesir yang menjual minyak wangi pada harga antara RM10 hingga RM40 sebotol di lokasi sama.

Dia yang sudah empat tahun berada di negara ini berkata, perniagaannya itu hanya dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan ‘diganggu’ oleh anggota penguat kuasa.

“Tiga tahun pertama saya di sini menjadi guru tuisyen sebelum bertukar menjadi peniaga minyak wangi pada tahun lalu.

“Berniaga waktu malam lebih selamat dan saya tidak akan berada di satu-satu tempat sahaja untuk berniaga, perlu selalu tukar lokasi,” ujarnya.

Seorang lagi penjaja rambo warga Filipina berkata, dia tidak pernah serik untuk berniaga secara haram kerana keuntungan yang diperoleh lebih tinggi berbanding bekerja di hotel sebelum ini.

Katanya, insiden tarik menarik barangan jualan dengan pihak berkuasa sudah dianggap sebagai ‘asam garam’ dalam berniaga secara haram.

“Kami cuma nak berniaga, barangan kami bukan bahan terlarang, kami hanya jual tisu, pelitup muka dan barangan perhiasan. Untuk berniaga secara rambo, kita yang perlu pergi kepada pelanggan dan bijak mencari masa yang sesuai kerana ramai penjaja lain yang turut menjual barangan sama,” ujarnya.

Lelaki warga asing yang enggan dikenali itu berkata, dia mula berjinak-jinak untuk menjaja selepas diberhentikan majikannya di sebuah hotel di Bukit Bintang akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, pendapatan saya bekerja di hotel sebagai pengiring tetamu hampir RM2,000 sebulan, tetapi selepas menjadi penjaja, saya boleh dapat lebih sedikit daripada gaji itu.

“Jual barang di tepi jalan juga adalah rezeki, cukup dengan menjual pelitup muka dan payung sahaja, saya bersama isteri dapat teruskan hidup di Kuala Lumpur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN