fbpx

DXN kuasa besar berjaya takluki dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIOW JIN bangga memperkenalkan produk DXN ke luar negara dengan membawa identiti produk tempatan.

CYBERJAYA – Bertemu de­ngan beberapa penduduk di sebuah kampung dalam daerah Kuala Nerang, Kedah yang menunjukkan sejenis kulat yang digunakan secara tradisional untuk membantu meningkatkan kesihatan telah memberi idea bernas kepada seorang usahawan untuk mengkomersialkannya di pasaran.

Orang kampung menggunakan kulat tersebut sebagai alternatif kepada penyakit asma yang mana tumbuhan tersebut akan dibakar terlebih dahulu dan abunya dicampurkan dengan madu, manakala untuk membantu mengubati penyakit kulit, abu tersebut dicampur dengan mi­nyak kelapa.

Minat yang mendalam terhadap tumbuhan ajaib itu telah mendorong Pengasas DXN Hol­dings Berhad (DXN), Datuk Lim Siow Jin berusaha meneroka ke pelosok kampung sehingga ke Thailand untuk belajar mengenai kulat yang dikenali sebagai ga­noderma atau Lingzhi bagi mencari ‘guru’ tentang kaedah penanaman dan pelbagai khasiatnya.

Beliau berkeyakinan terhadap manfaat daripada spesis cen­dawan yang dikenali sebagai raja herba itu memiliki hubung kait yang positif dengan kesihatan manusia.

Bagaimanapun, tiada siapa yang mahu membantu usahawan ini tetapi ia tidak melemahkan sema­ngatnya lantas beliau mengambil inisiatif untuk membeli dan membaca pelbagai bahan bacaan mengenai ganoderma seterus­nya mengkaji ta­naman tersebut daripada kaedah penternakan hingga pengeluarannya.

Bermula dengan konsep belajar daripada kesilapan, Siow Jin mencuba pelbagai kaedah sehingga berjaya hingga ke peringkat ini seterusnya beliau dinobatkan sebagai pakar dalam industri ganoderma.

“Saya menggunakan konsep gantung untuk menternak ganoderma dan kejayaan itu menjadikan DXN sebagai perintis dalam memperkenalkan kaedah tanaman ini di Malaysia, ia adalah hasil daripada usaha saya sendiri.

“Bila dah buat sendiri, ia dilihat lebih efektif dan daripada situ saya berusaha membangunkan perniagaan ini dengan cara tersendiri termasuk mereka cipta mesin pembungkusan dan mengekstrak bahan semula jadi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Bermula secara kecil-kecilan di Bukit Wang, Jitra, Kedah, usahawan yang memiliki pendidikan daripada Indian Institute of Technology itu berjaya me­ngubah kampung dan kawasan pertanian itu menjadi sebuah pusat pengeluaran ganoderma.

Kilang pemprosesan, pejabat pengurusan dan jualan DXN di kawasan itu kini berjaya meng­eksport produknya ke 180 negara seluruh dunia sejak memulakan langkah pertama pada 1993.

Jika dahulu, daerah terpencil itu tidak popular di Kedah tetapi kini ia menjadi sebuah tarikan menarik buat pelanggan dan ahli DXN termasuk dari luar negara yang berkunjung ke situ, malah ada yang berminat untuk menjadikan kampung tersebut sebagai destinasi persaraan mereka.

Malah, nilai hartanah di daerah tersebut meningkat berkali ganda sehingga ada yang mencecah kepada RM80,000 hingga RM100,000 yang sebelum ini hanya dijual sekitar RM13,000 satu ekar sejak 30 tahun lalu.

Taraf hidup penduduk juga berjaya dipertingkatkan kerana ramai tertumpu bekerja di kilang berkenaan yang mana setiap seorang dari sebuah rumah di daerah berkenaan akan bekerja di DXN dengan gaji sekitar ha­nya RM400 sebulan tetapi kini telah mencapai lebih daripada RM1,500 sebulan.

Ada juga keluarga pekerja yang kini telah mencapai ke pe­ringkat tiga generasi setia bekerja dengan DXN.
Siow Jin menjelaskan, syarikat kini memiliki 14 juta ahli di seluruh dunia yang mana lebih daripada tiga juta ahlinya aktif berniaga dan ramai daripada pengedarnya juga diiktiraf sebagai jutawan ha­sil komitmen mereka dalam perniagaan tersebut.

“Kami membangunkan perniagaan ini secara organik yang mana DXN memiliki perbezaan dan keunikan tersendiri berbanding pesaing lain kerana kami adalah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang memperoleh hasil daripada jualan produk.

“Berbanding syarikat MLM lain, ia menggunakan asas merekrut ahli di bawahnya de­ngan melibatkan pembayaran wang semata-mata.

“DXN adalah syarikat yang benar-benar melaksanakan konsep MLM yang mana produk yang dihasilkan daripada peringkat kilang dijual kepada pelanggan di seluruh dunia,” jelas beliau.

Usahawan ini menerangkan, antara kejayaan syarikat yang berjaya dikekalkan hingga mencapai ke peringkat sekarang sehingga mampu mencatat perolehan bilion ringgit setiap tahun itu adalah kerana identitinya sendiri yang membawa jenama tempatan khususnya ketika dipasarkan di luar negara.

“Kita perlu memiliki identiti tersendiri dan jangan mudah terikut-ikut dengan cara orang lain.

“Kami membawa konsep ini. Apabila meneroka pasaran luar iaitu di Itali, Mexico atau di Mongolia, kami tetap memper­kenalkan produk ini sebagai kopi Malaysia.

“Ini akan menjadi satu rahsia utama untuk membolehkan pelanggan dan masyarakat mengenali produk kita bagi jangka masa panjang,” jelasnya.

DXN kini memiliki lebih daripada 200 jenis produk yang mana kopi mewakili segmen terbesar dengan tawaran 13 jenis minuman kopi, produk suplimen yang dihasilkan daripada tiga jenis bahan semula jadi terma­suk ganoderma, spirulina dan juga mengkudu.

Syarikat juga menawarkan segmen produk kecantikan dan penjagaan produk kesihatan lain.

Tambah Siow Jin, faktor pemacu lain kepada kejayaan DXN mengekalkan pertumbuhan pendapatan antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun itu adalah kerana sikapnya yang mengope­rasikan perniagaan secara mudah.

“Bila kita berniaga dengan cara yang mudah, maka ia akan mudah difahami sekali gus mudah dilaksanakan oleh orang lain dan apabila semua orang berjaya melaksanakannya ia membo­lehkan kita mencapai kejayaan sekali gus ke arah kestabilan.

“Sepanjang 30 tahun lalu, kita telah melalui tiga krisis ekonomi yang besar, oleh kerana faktor perniagaan kami yang mudah diamalkan dan stabil, maka syarikat kini berjaya menjadi satu kuasa yang besar menakluk dunia,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI