fbpx
ORANG muda perlu lebih bijak memilih antara kehendak dan keperluan.

Tertekan lihat orang lain kaya satu ‘penyakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kehendak sesetengah individu untuk memiliki telefon pintar mahal sehingga melebihi kemampuan dianggap sebagai satu simbol kekayaan palsu.

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, dengan kemudahan berhutang yang tidak terka­wal, ramai individu khususnya daripada golongan kurang berkemampuan dan orang muda akan terjebak untuk memiliki sesuatu yang lebih kepada kehendak berban­ding keperluan.

Ujarnya, antara faktor yang membuatkan mereka terpe­ngaruh untuk membeli telefon pintar ialah kerana rasa tercabar dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya.

“Masyarakat kita ada satu ‘penyakit’ yang mana mudah untuk rasa rendah diri serta tertekan apabila melihat kekayaan orang lain. Sebab itu ada yang sanggup berhutang untuk mengikut jejak mereka.

“Kalau beli rumah besar, orang kena datang rumah baru boleh tahu. Kalau kereta mahal pula, bukan selalu orang boleh tengok kereta kita. Jadi apa yang boleh ditunjukkan dalam 24 jam kalau bukan telefon pintar mahal?

“Sebenarnya, nilai diri seseorang individu bukannya isu berapa duit ada dalam poket, tetapi berapa banyak kebaikan yang kita lakukan. Bila kita berharga, kita tak perlukan simbol-simbol kekayaan palsu semua itu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambah Shamsuddin, sekiranya duit yang digunakan untuk membeli telefon mahal disimpan sedikit demi sedikit, ia
boleh digunakan untuk pelbagai keperluan lain seperti membeli rumah.

Dalam pada itu, Shamsuddin turut menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting untuk menjelaskan kepada anak-anak bahawa status kejayaan tidak bergantung kepada simbol kekayaan.

Katanya, apabila ibu bapa sanggup berhutang untuk telefon mahal, secara tidak langsung anak-anak juga akan meminta untuk menggunakan telefon jenama yang sama.

“Ibu bapa akan mula dihimpit hutang dan tersepit untuk membayar kos sara hidup yang lain. Sebab itu kita tengok ada yang datang ambil wang bantuan tetapi pakai telefon jenama mahal.

“Kesan dia akan berulang sampai bila-bila. Sekarang ada pula kemudahan ‘beli dahulu bayar kemudian’. Tetapi pembeli tidak tahu sebenarnya mereka bayar lebih daripada harga sebenar.

“Orang muda juga perlu ba­nyak berkawan dengan mereka yang berusia kerana mereka lebih berpengalaman. Kos sara hidup dijangka makin tinggi, jadi perlu bijak berbelanja,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN