SHAH ALAM – Penggunaan peranti vape yang makin popular dalam kalangan masyarakat kini telah melalui ‘transformasi’ apabila ramai pengguna terutama golongan remaja memilih untuk menggunakan perisa yang mengkhayalkan.
Perisa itu dipercayai menggunakan dadah yang telah diubah suai kepada cecair dikenali sebagai pedon dan magic mushroom.
Pusat Racun Negara sebelum ini turut mendedahkan magic mushroom yang terkandung atau ditambah dalam vape adalah merujuk kepada ekstrak bahan aktif iaitu Psilocybin untuk mendapatkan kesan halusinogen.
Halusinogen ini merujuk kepada halusinasi, keseronokan yang melampau dan mungkin menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri sepenuhnya.
Malah, pengguna juga berisiko untuk muntah melampau dengan kebanyakan vape digunakan adalah jenis pakai buang yang berbentuk silinder.
Pedon contohnya dijual pada harga RM10 setitis dan dipercayai dijual secara berleluasa menerusi media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
Seorang pelajar sekolah dikenali Imran, 16, berkata, dia mula terjebak kepada penggunaan cecair pedon selepas diperkenalkan oleh rakan sekolahnya yang berhubung dengan ‘tokan’ beberapa bulan lalu.
Katanya, mereka berjumpa dengan penjual tersebut di sebuah kedai makan di sekitar Lembah Klang dan dimaklumkan setitis cecair itu yang berharga RM10 dan sebotol pula antara RM60 hingga RM80.
“Memang rasa ‘kick’ dan buat rasa terawang-awangan dengan hanya satu pam hisapan. Tokan beritahu supaya tidak menghisap berlebih-lebihan kerana boleh menyebabkan termuntah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Imran, bahan tersebut tidak akan menyebabkan seseorang itu ‘sangkut’ ujian air kencing seperti cara konvensional, sebaliknya akan meresap ke aliran darah.
“Orang tidak akan fikir yang bukan-bukan jika melihat seseorang itu menghisap vape berbanding menggunakan rokok.
“Tambahan pula, pod mudah didapati sebab banyak dijual di kedai-kedai tepi jalan. Cuma, kita inovasikan sahaja dengan tambah perisa pedon,” katanya.
Remaja dikenali sebagai Faizal, 13, pula berkata, mereka membeli pedon secara berkongsi dengan rakan-rakannya dan berhubung menggunakan WhatApps.
Jelas pelajar sekolah itu, mereka biasanya akan membeli sekali untuk sebulan kerana pod vape yang dibeli boleh digunakan untuk lebih 200 pam.
“Kadangkala kami lepaskan ‘gian’ selepas tamat sesi persekolahan di taman permainan atau awam,” ujarnya.
Sementara itu, penggunaan vape turut berleluasa dalam kalangan pelajar perempuan yang menganggapnya lebih bergaya berbanding rokok.
Pelajar dikenali Saly, 16, memberitahu, dia pada mulanya membeli vape sebagai hadiah hari jadi teman lelaki yang seusianya sebelum terjebak.
Tambah Sally, teman lelakinya memberikan pelbagai perisa untuk dirasainya dan kebiasaannya perisa itu mudah diperoleh di pasaran seperti rasa buah-buahan atau minuman.
“Saya tak bersungguh untuk menghisap vape sekiranya dicampur pedon sebab tahu akan mudah pening.
“Apa yang pasti, saya datang dari keluarga bermasalah dan sebab itu ibu bapa saya tidak pernah periksa apa yang terdapat dalam beg sekolah,” katanya.















