SEWAKTU menelusuri perairan Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini, penulis melihat seorang lelaki asyik menangguk kerang di sebuah kawasan tidak jauh dari Pantai Bagan Nakhoda Omar.
Pada wajahnya terukir senyuman apabila setiap tanggukannya dipenuhi dengan kerang-kerang pelbagai saiz yang sudah ideal untuk dijual kepada pembekal.
Di atas bot sampannya pula, sudah ada dua bakul yang dipenuhi dengan hasil kerang yang dikaut sejak awal pagi ketika air pasang.
Aktiviti tersebut sebenarnya sudah menjadi rutin tahunan buat seorang nelayan, Mohd. Noh Ikanan, 38, yang merupakan pengusaha kebun kerang.
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, biasanya awal tahun merupakan musim ‘menuai’ kerang yang telah diternak dalam kitaran kira-kira setahun.
“Ternakan kerang merupakan antara kegiatan ekonomi penduduk di Sabak Bernam terutama di kampung-kampung sekitar Pantai Bagan Nakhoda Omar, rata-rata penduduk di sini mempunyai kebun kerang di kawasan persisiran pantai.
“Biasanya sekitar awal bulan iaitu Januari dan Februari adalah musim menuai hasil kerang daripada aktiviti pembenihan yang dilakukan sekitar Februari dan Mac tahun lalu,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya, hasil tuaian tahun ini dilihat bertambah baik meskipun perairan Sabak Bernam masih dalam fasa pemulihan untuk memperbaiki kualiti habitat kerang.
Merujuk portal MyAgri, kerang mempunyai banyak spesies tetapi hanya sebahagian daripadanya sahaja yang dimakan dan diternak secara komersial.
Spesies kerang darah merupakan sejenis kerang yang biasa dimakan oleh masyarakat Asia Tenggara terutama di Malaysia. Kerang jenis kerang darahlah yang diternak oleh pengusaha di Sabak Bernam itu.
Kerang darah hidup di permukaan dasar dan boleh bersembunyi di dasar lumpur perairan pantai.
Penternakan kerang di Malaysia secara komersial boleh dijumpai di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutama di kawasan pantai berlumut dan berselut seperti di Johor, Melaka, Selangor, Kedah dan Perak.
Namun begitu, disebabkan masalah pencemaran berlaku kemerosotan pembenihan kerang.
Sebagai inisiatif untuk menangani masalah tersebut, Jabatan Perikanan melaksanakan ternakan kerang melalui program konsep kebun kerang di Selangor.
Menurut media, projek kebun kerang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor pada tahun 2008 dengan melibatkan tiga daerah utama sebagai kawasan ternakan iaitu Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Inisiatif hasil cetusan idea bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Amiruddin Setro itu dilihat banyak membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di negeri Selangor dengan tambahan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
Projek tersebut bertujuan meningkatkan pengeluaran akuakultur negeri yang disertai nelayan tradisi secara berkumpulan dengan jumlah anggota antara lima hingga 10 orang bagi setiap lot ternakan.
Menyahut inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Perikanan Negeri Selangor, penternak kerang, Mohd. Fadli Rusni, 45, bersama rakan turut mengusahakan kebun kerang yang telah dijalankan di tapak seluas 50 hektar di perairan Bagan Nakhoda Omar di Kampung Simpang Empat, Sabak Bernam.
Berkongsi pengalaman mengusahakan kebun kerang, lelaki asal Sabak Bernam itu memberitahu, terdapat banyak cabaran yang dihadapi sepanjang empat tahun mengusahakan kebun kerang.
“Mengusahakan kebun kerang memerlukan pemantauan rapi kerana setiap kitaran mengambil masa antara lapan ke 14 bulan dan sepanjang tempoh itu kita harus pastikan benih-benih yang ditebar di tapak kebun membesar dengan sekata serta mengikut tempoh masa yang dianggarkan.
“Setiap tiga ke empat bulan selepas aktiviti pembenihan dijalankan, kita akan turun ke kebun untuk memantau pembesaran kerang, jika ia mencapai saiz tertentu ia perlu diserakkan supaya pembesaran tidak terbantut atau mati,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sepanjang menternak kerang, bapa kepada enam cahaya mata itu pernah berhadapan dengan episod malang apabila hasil tuaian semakin merosot hingga menyebabkan hasil pendapatan turut berkurangan.
Katanya, pada peringkat awal, pulangan hasil ternakan amat memberangsangkan, namun ia sedikit berkurang sejak beberapa tahun ini kerana keadaan tapak ternakan yang terjejas.
“Menternak kerang punyai risiko, jika kerang tidak mencapai saiz matang sekitar 28 milimeter ia tidak boleh dijual atau dituai, malah kerang yang lebih kecil juga harganya lebih murah.
“Hasil kerang juga akan terjejas jika kerang tercemar dan tidak selamat dimakan, hal ini bergantung kepada hasil penyelidikan oleh wakil dari Jabatan Perikanan yang akan memantau kualiti kerang semasa ternakan dan selepas dituai,” kongsinya.
Tambahnya, setiap tuaian, penternak akan dapat mengumpulkan kira-kira 1,000 guni hasil kerang.
Seguni kerang dengan berat kira-kira 70 kilogram dijual pada harga minimum sekitar RM350 seguni, namun mengikut Mohd. Fadli harga kerang biasanya berubah ada ketikanya lebih tinggi daripada biasa.
Ceritanya lagi, mengusahakan kebun kerang awalnya merupakan aktiviti yang dirancang untuk menambah pendapatan nelayan, namun ia kemudian menjadi sumber pendapatan utama.
Katanya, hal ini berikutan impak daripada projek kebun kerang tersebut yang mendapat sambutan dan hasilnya yang dapat memenuhi permintaan pasaran.
“Kebun kerang ini boleh menjadi sumber pendapatan utama nelayan tradisional dan saya telah membuktikan perkara itu sejak menjalankan penternakan ini dari mula ia diperkenalkan.
“Menternak kerang membuka satu peluang baharu khususnya buat nelayan untuk menceburi bidang baharu dan dalam masa sama menjana pendapatan mereka,” ujarnya mengakhiri bicara.














