PETALING JAYA – Pembinaan lebih banyak jalan dan lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik terutamanya di sekitar Lembah Klang mungkin sukar menjadi kenyataan susulan pelbagai isu yang timbul terutama melibatkan masalah ‘bottleneck’.
Isu bottleneck ini menjadi antara topik paling hangat dalam kalangan pengguna jalan raya khususnya di Lembah Klang apabila berlakunya penyempitan lorong jalan dari keadaan sebenar sehingga mencetuskan kesesakan luar biasa.
Masalah bertambah teruk apabila jumlah kenderaan yang berada di jalan raya semakin bertambah setiap tahun menyebabkan ramai pemandu terperangkap berjam-jam di atas jalan terutama pada waktu puncak.
Berdasarkan statistik Pengangkutan Malaysia 2021 yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, sebanyak 33.3 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara sejak dua tahun lalu dan dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada kesesakan jalan.
Daripada jumlah itu, 47.3 peratus adalah kereta, diikuti motosikal (46.6 peratus), kenderaan perdagangan (4.7 peratus) dan baki adalah bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan lain-lain jenis kenderaan.
Pertambahan jumlah kenderaan ini menyebabkan lebih banyak jalan bottleneck diwujudkan terutamanya yang menghala ke arah susur keluar dan kawasan pembinaan sehingga akhirnya jalan utama yang mempunyai tiga atau empat lorong akan bertukar menjadi satu atau dua lorong.

Profesor di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan K.C. Mani berkata, permasalahan terjadi apabila majoriti pergerakan trafik ketika ini menghala ke arah yang sama.
Jelasnya, kewujudan bottleneck adalah tanggungjawab Audit Keselamatan Jalan (RSA) yang diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Bandar.
“RSA ditugaskan untuk memahami dan meramalkan bagaimana cara jalan yang baharu dibina akan digunakan dalam masa panjang dan menyelitkan ilmu reka bentuk keselamatan jalan raya.
“Mereka ini juga mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan meskipun di saat pembinaan sekiranya mempunyai penemuan baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga pakar keselamatan jalan raya berkata, mungkin tidak adil untuk menyalahkan satu pihak sahaja kerana peningkatan mendadak pengguna jalan raya turut menjadi antara faktor berlakunya jalan bottleneck.
Kulanthayan berpandangan bahawa menambah jumlah jalan raya pada masa kini sudah kurang relevan berbanding memperkasakan sistem pengangkutan awam.
“Pengangkutan awam sangat penting kerana itu adalah alternatif yang sepatutnya disalurkan kepada pengguna jalan raya bukan harga kereta yang murah, pertambahan lorong di jalan, mahupun lebuh raya yang baharu.
“Perlu ditegaskan jalan bottleneck juga lebih berisiko untuk menjadi lokasi kemalangan.
“Ditambah pula pengguna yang terpaksa melepasi dua atau tiga lorong untuk melalui satu lorong yang menghala ke jalan utama,” katanya.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Dr. Law Teik Hua berkata, jumlah pendaftaran kenderaan di Lembah Klang adalah tertinggi dan paling banyak berbanding negeri lain.
Katanya, menerusi statistik Pengangkutan Malaysia 2020, Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 77,200 pendaftaran baharu kenderaan bermotor diikuti Selangor (41,149) dan Johor (35,394).
Katanya, situasi itu menunjukkan kewujudan lebuh raya di Lembah Klang yang dibina lebih 20 tahun lalu tidak lagi mampu menampung jumlah trafik hari ini.
“Pembinaan lebih banyak jalan raya hanya memberikan lebih banyak penawaran kepada pengguna jalan raya dan seolah-olah menggalakkan mereka lebih kerap menggunakan jalan raya berbanding pengangkutan awam.
“Kesilapan seperti menumpu kepada pembinaan lebuh raya tidak boleh diteruskan pada masa akan datang kecuali perkara itu sangat mendesak,” katanya.
Jelasnya, laluan seperti Lebuh Raya Utara-Selatan yang sudah berusia lebih 20 tahun itu sudah tidak mampu menampung jumlah pengguna jalan ketika ini.
“Bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) perlu segera disiapkan agar dapat berkongsi ‘beban’ tersebut.
“Untuk kesesakan dalam negeri pula, menambahkan lorong kenderaan untuk membendung kesesakan di laluan bottleneck tidak digalakkan, sebaliknya itu hanya penyelesaian jalan singkat, seeloknya perkasakan pengangkutan awam,” katanya.















