FILEM Bollywood bertajuk Taare Zameen Par arahan dan lakonan aktor terkenal, Aamir Khan yang ditayangkan pada 2007 pernah menyentuh sanubari penonton di serata dunia.
Kisah pergelutan secara dalaman seorang kanak-kanak disleksia dalam mengharungi keperluan pembelajaran harian digarap dengan cukup sempurna.
Filem itu mampu menimbulkan kesedaran orang ramai berkenaan kewujudan kondisi tersebut.
Watak utama, Ishaan melihat dunia dengan lensa berbeza, termasuk tulisan dalam bentuk terbalik dan menari-nari sehingga membuatkan dirinya pening ketika cuba membaca.
Sama seperti watak Ishaan, pemilik nama Amer Adham Kamaruddin turut mengalami pergelutan emosi sepanjang berada di sekolah rendah apabila dia tidak mampu menyerap ilmu sepantas rakan-rakan sekelasnya.
Sering diletakkan di kelas paling hujung, keyakinan diri pemuda yang mesra disapa Amer itu meleset hari demi hari setelah segala usaha meningkatkan tahap pembelajarannya tidak membuahkan hasil.

Situasi berubah setelah anak sulung daripada dua beradik itu disahkan menghidap disleksia pada usia 12 tahun.
“Saya selalu duduk di bahagian belakang kelas.
“Saya malu kerana selalu dapat keputusan corot, walaupun sudah berada di kelas paling belakang.
“Ibu berusaha ajar saya di rumah, tapi saya masih bergelut untuk faham setiap pembelajaran.
“Setelah mengetahui diri menghidap disleksia, saya ditukarkan ke sekolah baharu yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Saya masuk kelas PPKI bagi subjek wajib seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Agama. Untuk subjek Akaun dan Pendidikan Jasmani, saya akan masuk belajar di kelas biasa.
“Ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami diberi lebih masa untuk menjawab berbanding rakan-rakan normal,” katanya yang menyifatkan sokongan guru di Sekolah Menengah Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur sebagai ‘penyelamat’ kepada hala tujunya dalam bidang pendidikan.
Akui dirinya tidak akan mampu pergi jauh dalam bidang yang memerlukan kefahaman berbentuk teori, pemuda yang kini berusia 22 tahun itu memilih untuk menceburi dunia kulinari.
Meletakkan ikon kulinari terkenal iaitu Jamie Oliver sebagai idola, pemilik Dyslexia Cafe di Bangi, Selangor itu mahu menggarapkan konsep ‘rasa hotel tapi harga cafe’ buat pelanggannya.
Sama seperti Oliver yang juga merupakan penghidap disleksia, ia memberi harapan kepada Amer.
Justeru, pembukaan Dyslexia Cafe mampu memberi kesedaran kepada masyarakat, di samping membantu meningkatkan keyakinan kanak-kanak disleksia lain.
Amer mendapat latihan kulinari di Akademi Kulinari Cilantro di Subang Jaya sebaik sahaja tamat SPM.
Dia juga pernah menjalani latihan dan bekerja di Hotel Pullman KLCC di bawah seliaan Cef Syamsul sebelum membuat keputusan membuka kafe sendiri pada November lalu.
“Tipulah kalau saya kata tidak berasa cemburu dengan rakan-rakan yang menyambung pelajaran ke menara gading.
“Oleh kerana sukar bagi saya memproses teori, saya lebih sesuai berada dalam bidang kemahiran.
“Selain Oliver, saya turut mengagumi Arnold Poernomo dan Juna dari Indonesia. Saya turut menjadikan Cef Syamsul sebagai idola kerana dia banyak mengajar saya.
“Saya pernah bereksperimen dengan mencipta hidangan sendiri, namun belum lagi dikeluarkan sebagai hidangan di kafe ini,” kongsinya.

Di bahagian pastri, terdapat seorang lagi individu disleksia iaitu Abdul Qhaliq Al-Azfary Muhd. Azharuddin, 25, dengan jalan cerita sedikit berbeza berbanding Amer.
Status ibunya sebagai seorang jururawat, manakala bapanya merupakan pembantu perubatan memudahkan masalah Abdul Qhaliq Al-Azfary dikesan seawal usia enam tahun.
“Saya diletakkan di kelas pendidikan khas sehingga usia lapan tahun. Selepas itu saya masuk darjah satu.
“Orang panggil kelas inklusif di mana pelajar orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dapat menyertai pelajar normal biarpun berbeza usia.
“Saya tidak pernah rasa lebih tua berbanding rakan sekelas sehinggalah apabila usia saya mencecah 17 tahun. Ketika itu saya baru tingkatan tiga,” tuturnya.
Pemuda yang mesra disapa dengan nama Azfar itu mendedahkan bahawa filem Cocktail lakonan Tom Cruise membuatkan dirinya tertarik untuk menceburi dunia industri makanan dan minuman.
Tidak mahu sekadar bercita-cita, Azfar menyertai Program Murid Berkeperluan Khas (MPK) dalam bidang pastri di Institut Perhotelan dan Pelancongan Yayasan Negeri Sembilan pada 2015.
Setelah tamat latihan selama tiga tahun, dia bekerja di sebuah kedai bakeri selama lima bulan, sebelum berkhidmat sebagai barista dan pengurus di Starbucks Shaftsbury, Putrajaya.
“Ketika di Starbucks, rakan-rakan saya tidak tahu berkenaan status OKU saya. Setelah saya beritahu, mereka kagum dan tidak menyangka kerana saya melakukan tugas dengan baik.
“Setelah lima tahun, saya buat keputusan untuk meletak jawatan kerana tertarik dengan konsep kafe ini yang mahu mengangkat kesedaran mengenai disleksia.
“Jadi, saya mengambil keputusan memohon bekerja di sini dan kembali ke ruang pastri,” kongsinya yang merupakan salah seorang daripada 18 staf kafe tersebut.
Sementara itu, tulang belakang di sebalik usaha Amer adalah ibunya, Nor Haslinda Mohd Hanafiah.
Wanita berusia 49 itu berharap usahanya mampu membuktikan kepada masyarakat mengenai potensi terpendam anak disleksia.
Menurutnya, terdapat ibu bapa yang hadir ke kafe untuk bertemu Amer dan Azfar bagi mendapatkan pandangan serta memberikan dorongan kepada anak mereka yang baru didiagnos sebagai individu disleksia.
“Baru-baru ini, Amer dan Azfar didatangi sebuah keluarga yang mahukan pandangan mereka. Ini kerana, anak mereka tidak boleh menerima dirinya individu disleksia.
“Sesetengah orang tidak boleh terima dilabel disleksia kerana ia berstatus OKU yang dirasakan sebagai tidak sempurna.
“Jadi, dengan pembukaan cafe ini, saya berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap masalah pembelajaran khusus ini,” jelasnya yang mengalu-alukan individu OKU untuk bekerja bersama mereka.
Dyslexia Cafe yang beroperasi pada setiap hari itu menyajikan hidangan makanan Barat, lokal, pastri dan kopi.
Menu paling laris di kafe tersebut adalah kek pengat pisang keju, strawberry brownies keju, piza, selain ‘mocktail’ seperti aurora dan secret garden.














