PUTRAJAYA – Ramai ahli keluarga pesakit skizofrenia malu untuk mengaku anak, suami atau isteri mereka mempunyai penyakit mental, sebaliknya lebih suka mengaitkan masalah itu dengan gangguan makhluk halus atau terkena sihir buatan orang.
Mereka juga lebih mempercayai bomoh daripada doktor pakar bagi menutup aib tersebut, menyebabkan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada pesakit tidak dapat dilakukan, sekali gus mengakibatkan semakin ramai pesakit mental di negara ini.
Seorang pesakit skizofrenia, Alia, 34, berkata, hidupnya sebelum ini seolah-olah hilang arah apabila suaminya sendiri begitu yakin bahawa penyakit kononnya misteri yang dialaminya berpunca daripada gangguan makhluk halus atau jin.
“Pada tahun 2018, saya mengalami gangguan teruk apabila kerap mendengar suara ghaib dan sering lihat kelibat seseorang berjalan, namun suami tidak percaya dan sangka saya sengaja layan perasaan takut apabila tinggal seorang diri.
“Setahun kemudian, gangguan tersebut semakin parah apabila suara yang sering didengari sebelum ini mula ‘menjerit-jerit’ memarahi dan memaki saya, kata saya tidak berguna dan menyusahkan suami,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius yang menyebabkan pemikiran seseorang itu bercelaru dan mentafsir kenyataan secara tidak normal.
Penyakit ini akan menyebabkan penghidapnya mengalami delusi, halusinasi, pemikiran abnormal dan perceraian antara emosi dengan pemikiran.
Mengulas lanjut, ibu kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun itu berkata, keadaannya itu mengakibatkan hubungan perkahwinannya menjadi renggang.
Menurutnya, keluarga mentua yang menyedari perubahan kelakuannya pula menyarankannya agar dia mendapatkan rawatan tradisional.
“Beribu ringgit habis begitu sahaja, malah badan saya lebam dan luka-luka apabila dipicit, dicubit, ditusuk jarum dan kayu tajam serta dipukul oleh ramai bomoh serta ‘ustaz’ dengan alasan mahu ‘mengeluarkan’ jin yang mengganggu rumah tangga kami.
“Kemuncaknya pada Julai 2021 apabila suami mahu bercerai kerana percaya kami tidak lagi serasi selepas bomoh mendakwa ada orang ketiga menghantar sihir pemisah,” ujarnya.
Menurut Alia, dia juga dihalang daripada bertemu anaknya sendiri oleh keluarga mentua yang bimbangkan keselamatan cucu mereka susulan keadaannya yang dianggap berbahaya.
Katanya, dia kemudian kembali menetap bersama kedua-dua ibu bapanya sebelum dikejarkan ke hospital apabila ditemui tidak sedarkan diri selepas menelan hampir keseluruhan botol ubat anti
kemurungan.

“Semua persoalan akhirnya terjawab apabila saya dirujuk kepada pakar psikiatri dan didiagnosis sebagai pesakit skizofrenia.
“Sebenarnya tiada jin atau sihir pemisah seperti didakwa bomoh, sebaliknya saya hanya mengalami penyakit mental.
“Keluarga mula memahami kondisi saya selepas mendapat penerangan pakar dan saya juga akhirnya dapat bertemu kembali dengan anak,” katanya.
Berkongsi pengalaman serupa, Ani, 28, yang juga pesakit skizofrenia turut mengakui dia dan keluarga sebelum ini tidak mengetahui tentang penyakit mental tersebut dan percaya bulat-bulat bahawa keadaannya adalah disebabkan gangguan makhluk halus.
“Mana sahaja ada bomoh atau ustaz yang dikatakan bagus, pasti keluarga akan membawa saya ke sana untuk berubat. Hampir kesemua pengamal perubatan tradisional ini mendakwa saya ada ‘pendamping’.
“Saya dimarahi teruk oleh keluarga kerana dituduh ada ‘terambil sesuatu’ atau mengamalkan ilmu hitam.
“Saya juga pernah dimasukkan ke hospital kerana meracau teruk sehingga menumbuk-numbuk kepala sendiri selepas mendengar suara menjerit-jerit dalam kepala,” ujarnya.
Selepas didiagnosis sebagai pesakit skizofrenia, barulah Ani mengakui merasai ketenangan kerana tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada dirinya selain lega apabila mendapat bantuan daripada doktor pakar.
Jelas Ani, penyakit mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hidup mati seseorang dan pesakit amat memerlukan sokongan semua pihak terutama keluarga.
“Saya rasa amat tersisih sewaktu tiada siapa yang percaya apabila saya katakan melihat sesuatu dan mendengar suara menyuruh saya buat itu dan ini.
“Semua orang perlu didedahkan dengan lebih informasi tentang penyakit ini kerana tanpa ilmu, sudah pasti pesakit akan dibawa berjumpa bomoh,” ujarnya.















