SEBERANG PERAI – Tindakan licik dua lelaki yang menyewa sebuah lori tangki untuk menyeleweng diesel membawa padah apabila ditahan penguatkuasa Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Juru, di sini petang semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, berkata, dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia sekitar 20-an dan 30-an itu ditahan pada pukul 4.40 petang ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 39,000 kg yang digunakan untuk mengisi diesel. Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai 500 liter diesel yang sudah diisi ke dalam tangki terbabit.
“Lebih unik lagi, modus operandi yang digunakan untuk mengaburi mata penguatkuasa adalah dengan meletakkan hos minyak di bahagian luar yang sekilas pandang kelihatan seperti tangga lori tangki,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, di sini hari ini.
Jegan berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan itu termasuk lori tangki, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM75,625.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. – KOSMO! ONLINE














