GEORGE TOWN – Ramai suami yang telah berpoligami dikatakan gagal mengikut syarat yang ditetapkan dan sebenarnya tidak layak untuk berkahwin lagi sehingga menjadi punca kepada pelbagai masalah dalam rumah tangga.
Menurut Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie di Tetuan Muneer Farid & Co., Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz, dianggarkan hanya 10 hingga 20 peratus sahaja kes pasangan berpoligami yang telah mengikut syarat, manakala selebihnya hanya berpura-pura kononnya mereka mampu.

Katanya, statitik itu adalah berdasarkan kes-kes dan masalah yang dihadapi oleh pasangan berpoligami yang pernah dikendalikannya di Pulau Pinang.
“Jumlahnya sangat kecil melibatkan pasangan yang benar-benar berkelayakan sama ada dari segi kewangan serta mampu berlaku adil dalam menyediakan nafkah selepas perkahwinan.
“Ini termasuklah dalam hal-hal seperti penyediaan tempat tinggal dan penggiliran bermalam.
“Kes yang saya buat, yang betul-betul bagus dan layak dalam berpoligami hanya dalam 10 hingga 20 peratus sahaja, manakala yang lain hanya tahu beri alasan.
“Maksudnya, dari segi kemudahan, isteri setuju, rela hati dan reda suaminya berpoligami. Ada juga kes yang melibatkan isteri pertama sendiri mencari calon serta meminang bagi pihak suami,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Muneer Mohamed Farid berkata, baki 80 peratus lagi adalah suami yang hanya tahu memberi alasan tanpa memikirkan implikasi selepas berpoligami.
“Macam-macam alasan yang diberi. Ketika bersama isteri pertama, memanjang tiada duit tetapi masa hendak poligami, tiba-tiba berduit,” ujarnya lagi.
Justeru beliau berpendapat, adalah lebih baik bagi pasangan untuk memilih melangsungkan pernikahan di negara sendiri daripada bernikah di Thailand.
“Sebabnya di negara kita ada undang-undang bagi mempertahankan kedua-dua pasangan, sama ada lelaki mahupun wanita. Sekiranya hendak berpoligami dengan alasan mahu mengelak zina, saya rasakan itu antara alasan yang ‘common’ (umum).
“Ada banyak benda yang kita perlu lihat. Dalam Islam pun dari segi nafkah dan hal jagaan anak, sekiranya dia lelaki yang bertanggungjawab, saya rasa jika dia pandang muka anak-anak yang masih kecil dan perlukan kasih sayang, dia tidak sampai hati untuk berkahwin lagi,” tambahnya.
Dalam isu sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor pula berpendapat, hukum bagi si suami yang berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri pertama adalah harus.
“Tak diwajibkan memberitahu isteri pertama. Boleh beritahu jika diandaikan tidak akan menimbulkan kepincangan rumah tangga atau memudaratkan hubungan yang baik antara suami dan isteri.
“Adalah dinasihatkan supaya dibincang dengan isteri pertama tentang keperluan suami berkahwin isteri kedua dengan cara berhikmah supaya tidak berlaku perkara tidak diingini. Yang penting, suami hendaklah berkemampuan daripada sudut fizikal dan kewangan untuk memastikan tidak berlaku penganiayaan terhadap isteri pertama,” katanya.
Ujar beliau lagi, ini kerana, agama Islam menuntut keadilan dilaksanakan oleh suami yang berpoligami.
Ditanya adakah satu perbuatan dosa sekiranya si suami bertindak menipu si isteri untuk selamatkan diri, beliau mengulas, tidak berdosa selagi berlaku adil terhadap kedua-dua isteri daripada sudut nafkah dan giliran bermalam.














