DI satu sudut sebuah kafe terlihat seorang gadis tekun membentuk sebuah tanah liat menjadi loket.
Dengan penuh berhati-hati, dia kemudian mengeringkan tanah liat tersebut menggunakan pengering rambut, sebelum membakarnya di atas dapur gas.
Begitulah rutin seorang pekerja swasta, Bee Tin, 32, semasa membuat aksesori menggunakan sejenis bahan yang dikenali sebagai tanah liat logam berharga.
Katanya, aktiviti tersebut merupakan hobinya selepas mempelajari cara membentuk aksesori menggunakan bahan itu di sebuah bengkel kraf tangan baru-baru ini.
“Sebenarnya, saya mengetahui mengenai seni ini daripada seorang rakan, namun tidak menyangka bahawa di Malaysia terdapat bengkel untuk mempelajarinya.
“Saya memang meminati seni kraf tangan sejak kecil. Saya juga suka mencuba sesuatu yang baharu berkaitan seni kreatif dan pembuatan aksesori tanah liat logam berharga.
“Ia memberi satu kepuasan kepada saya,” kata wanita berasal dari Klang, Selangor itu.
Tanah liat logam berharga mula diperkenalkan pada awal 90-an oleh syarikat Mitsubishi Materials Corporation (MMC) di Jepun.
MMC merupakan sebuah syarikat Jepun yang juga pengeluar produk simen, tembaga dan aluminium, alat karbida bersimen serta bahan elektronik.

Merujuk laman web Perikatan Seni Tanah Liat Logam Sedunia, tanah liat logam berharga dicipta oleh seorang ahli metalurgi, Dr. Masaki Morikawa.
Tanah liat logam berharga merupakan hasil ilham beliau bereksperimen dengan lebihan bahan berharga yang digunakan dalam pembuatan produk di MMC.
Eksperimen beliau membawa kepada penghasilan campuran partikel perak, air dan pengikat (binder) menjadi bahan seperti tanah liat yang boleh bertukar kepada logam perak selepas dibakar.
Penggunaan tanah liat logam berharga seterusnya berevolusi dengan beberapa eksperimen yang membawa kepada penghasilan tanah liat gangsa dan tembaga.
Pada tahun 1994, tanah liat logam berharga mula memasuki pasaran industri pembuatan sebagai bahan baharu.
Ia digunakan bagi penghasilan aksesori dan barang kemas di Jepun, sebelum menjengah pasaran dunia bermula dengan Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Selepas sedekad, bahan tersebut mula mendapat perhatian masyarakat umum, selepas ramai individu menggunakan bahan itu dalam seni pembuatan aksesori dan kraf tangan.
Ia juga menjadi hobi serta dikongsikan secara meluas di laman YouTube dan TikTok.
Turut tertarik dengan seni berkenaan adalah pemilik kafe dan bengkel kraf tangan, Goh Ee Leen.
Wanita berusia 35 tahun itu berkongsi minat dan menawarkan program pembuatan aksesori dan kraf tangan menggunakan tanah liat berharga kepada orang ramai.

dapur gas.
Menurutnya, dia mula mengetahui tentang seni kraf tanah liat logam berharga selepas menonton video seorang pempengaruh dari Korea Selatan sekitar dua tahun lalu.
“Saya tertarik dengan seni ini kerana ia mudah, unik dan praktikal. Seni ini juga boleh dilakukan sendiri di rumah jika kita mengetahui cara yang betul untuk membuatnya.
“Pembuatan aksesori menggunakan bahan ini merupakan seni kraf yang masih baharu di Malaysia.
“Namun, ia sudah lama menjadi hobi pilihan peminat kraf tangan di luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” katanya.
Tambah graduan teknologi maklumat dari Universiti Malaya itu, dia sendiri mempelajari seni pembuatan aksesori menggunakan bahan berkenaan menerusi video-video dalam laman YouTube.
Berkongsi tentang cara pembuatannya, Ee Leen memberitahu, bahan asas yang diperlukan adalah tanah liat logam berharga, dapur gas atau ketuhar khas bersuhu tinggi (kiln) serta kelengkapan membentuk aksesori dan mengukir.
“Pertama sekali, tanah liat perlu dibentuk menjadi aksesori pilihan seperti cincin dan loket, sebelum dihias atau diukir mengikut rekaan diinginkan.
“Satu tanah liat seberat 5 gram boleh menghasilkan sebentuk cincin atau dua buah loket mini.
“Bagi membentuk aksesori, tanah liat perlu dibasahkan terlebih dahulu dan tangan perlu disapu losyen supaya bahan tidak melekat.
“Selepas siap dibentuk, ia perlu dikeringkan sebelum dibakar di atas dapur gas atau dalam ketuhar khas pada suhu optimum sekitar 1,100 darjah Celsius selama 20 minit,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sebarang perubahan kepada aksesori perlu dilakukan sebelum ia dibakar.
Maklumnya, sepanjang proses pembakaran, suhu perlu dijaga supaya tidak terlalu tinggi bagi mengelakkan aksesori retak dan cair.
Proses pembuatan aksesori daripada tanah liat logam berharga memakan masa selama satu hingga dua jam mengikut rupa reka bentuk dan saiz.
Terangnya lagi, proses pembakaran tersebut akan menukar tanah liat berkenaan menjadi 99.9 peratus logam perak.

Biarpun proses pembuatan aksesori menggunakan tanah liat berharga cukup mudah, namun ia tidak sesuai digunakan untuk membuat aksesori bersifat fleksibel seperti rantai leher atau gelang rantai.
Ini kerana, sifat logam tersebut hampir 100 peratus, sekali gus menjadikannya lebih kuat berbanding logam biasa yang dicampur supaya lebih fleksibel.
Selain membuat aksesori menggunakan tanah liat logam berharga, gadis berasal dari Kuantan, Pahang itu turut berkongsi minatnya dengan orang ramai.
Dia sering menganjurkan bengkel kraf tangan di kafe eksperimen Happy Hour Club, Petaling Jaya, Selangor.
Kongsinya, seni berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang boleh dipelajari dengan mudah oleh sesiapa sahaja yang ingin mencubanya.
“Seni ini merupakan satu terapi yang membuatkan kita lebih fokus dalam pembuatannya.
“Ia turut memberi kepuasan menerusi aksesori berharga yang terhasil menerusi seni ini.
“Ia juga hobi yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan. Ini kerana, aksesori ini boleh dipasarkan kepada peminat logam perak,” ujarnya.














