BERSANDING sebagai wajah sampul hadapan sisipan Pose bersempena menyambut kedatangan filem terbaharu arahan sutradara prolifik Dain Said berjudul Harum Malam, dua figura itu saling mengagumi antara satu sama lain.
Dalam naskhah seram yang bakal menemui penonton 9 Februari depan, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa masing-masing memainkan peranan utama bernama Jamil dan Dina.
Buat Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, bekerja bawah arahan Dain kali ini merupakan debut yang dinantikan selepas hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
Sementelah buat Nadiya, 38, filem Harum Malam merupakan karya layar perak seram atau horor pertama lakonannya selepas sama-sama muncul bersama Remy dalam Cun! berbelas tahun lalu.
Aktor berusia 41 tahun itu mengakui, sudah lama mendambakan ruang bekerja dengan Dain, namun belum ditemukan peluang.
Kali ini, rezeki datang memainkan peranan bernama Jamil dalam filem tersebut.
“Mungkin saya tak cukup baik untuk layak berlakon bawah arahan Dain (ketawa),” selorohnya saat ditemu bual usai sesi fotografi di Studio Media Mulia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Wajahnya kembali serius. Dalam nada separuh gemuruh separuh bersungguh, Remy akui sangat memandang tinggi sosok seorang pengarah bernama Dain Said.
“Bila kita terlalu respek orang itu, kita jadi susah untuk merealisasi atau memvisualkan apa beliau nak.
“Ini pun kali pertama saya kerja bawah beliau. Jadi, saya tak betul-betul mengenali keinginannya.
“Sebagai pembikin filem, Dain sangat terperinci kerjanya. Sangat ‘particular’ tentang penghayatan emosi.
“Momen-momen yang ingin dicernakannya sangat halus. Nak terjemahkan apa yang beliau nak dalam filem bagi saya memang satu cabaran yang besar,” ungkap Remy yang sudah berlakon hampir 30 filem sejak 18 tahun bergelar pelakon.
Bagi Nadiya atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, ada sebab mengapa selepas 17 tahun berlakon, baru sekarang hatinya terbuka menyahut panggilan karya seram.

‘Benda’ tak singgah
Kali ini, sebab utamanya pasti disandarkan kepada Dain Said. Garapan dan kualiti pembikin Bunohan itu sememangnya diakui, bukan sahaja di dalam bahkan, di luar negara.
“Sebenarnya, memang takut pada mulanya sebab projek ini, produksi reveal (dedahkan) pada kita sedikit demi sedikit.
“Tiba-tiba, saya kena disolekkan yang tak pernah dibuat sepanjang berbelas tahun berlakon. Perlahan-lahan baru saya tahu, watak Dina memerlukan saya mengubati pesakit histeria.
“Kami jalani penggambaran di tengah hutan dan set binaan rumah pun sangat lama. Saya jenis yang penakut.
Masa masuk ke tempat itu, dah rasa ‘sesuatu’ tapi alhamdulillah, sebab orang ramai dan kami semua ‘behave’, ‘benda’ itu pun tak kacau dan tak sempat singgah,” ceritanya.
Harum Malam yang turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Idan Aedan sebagai Iqbal, Bront Palarae (Norman) dan Nabila Huda (Zehan) menceritakan tentang Iqbal, seorang remaja lelaki yang mempunyai kebolehan luar biasa.
Dia berasakan dirinya ‘diseksa’ dengan kebolehan mampu melihat orang mati dan makhluk ghaib.

REMY dah Nadiya Nisaa, dua pelakon yang menolak pendekatan tular tidak bijak dalam kalangan anak seni.
‘Penyakit’ industri
Diajak melontarkan buah fikiran tentang budaya kurang sihat industri yang mudah ‘melatah’ perihal tidak sepatutnya, Remy berpendapat, budaya tersebutlah sewajarnya dikurangkan dan diberi perhatian dalam industri.
“Saya pun tak faham sekarang, sebilangan penggiat seni suka ditularkan, waima dengan sebab-sebab yang tak munasabah atau tidak berfaedah.
“Saya tahu, apa sahaja perkongsian dalam media sosial ialah hak peribadi tapi kalau semua benda nak kongsi, sudah tiada privasi dan eksklusiviti sebagai anak seni bahkan seorang manusia.
“Apabila kena kecam, mulalah mengadu murung, sedangkan segelintir daripada mereka yang minta benda itu berlaku.
“Mereka tak perasan yang membuka jalan kepada pendedahan berlebihan adalah diri mereka sendiri,” getus suami kepada usahawan, Roszaliza Yusof itu.
Tambah Remy lagi, keasyikan dibuai deras populariti kadang-kadang memakan diri sendiri, sehinggakan kesihatan mental sendiri menerima dampak yang sukar dikawal.

“Sekarang nak buat kontroversi mudah. Ambil telefon pintar, tekan skrin sesentuh dan kongsi konten yang bersifat kurang bijak. Kalau nak orang hormat kerja orang seni, tolong jangan libatkan dengan benda sebegitu.
“Kita bekerja pastikan ada maruah tetapi segelintir kita lupa hal tersebut. Saya masuk industri sebab nak kongsi bakat berlakon. Itu pegangan saya dari dahulu sampai sekarang,” kata Remy.
Bersambung dengan Nadiya, pelakon berkarakter itu tidak hairan andai secara komersial, dirinya masih merangkak berbanding pelakon lain asalkan maruah keseniannya tidak diperlekehkan.
“Kalau tanya rakan-rakan seperjuangan atau yang lebih senior, semua dah ‘jaded’ letih. Satu benda yang kami pegang, bakat baharu industri seni tak pernah berkurang.
“Sekarang ada banyak platform. Saya tak risau langsung pasal bakat di Malaysia. Apa yang saya risaukan adalah sistem yang tak pernah dilaksanakan sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehingga sekarang. Sangat tak menguntungkan untuk semua pengamal seni di negara ini.
“Apa yang kita buat sekarang, teruskan berkarya, jaga antara satu sama lain. Macam saya dengan Remy, dia tiada idea buat sesuatu, kami akan salurkan sokongan pada diri masing-masing.
“Kita takkan tinggalkan rakan-rakan lakonan kita. Buktikan bahawa industri seni boleh menyumbang ke arah ekonomi negara,” ujar Nadiya menggulung perbualan.
















