KETIKA Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan arahan mengerah penduduk lelaki negara itu menyertai pasukan tentera pada September tahun lalu, seorang pemuda nekad buat keputusan menyembunyikan diri di dalam hutan.
Menerusi arahan kerahan tenaga tersebut, Russia memanggil 300,000 orang lelaki bagi mengukuhkan pasukan tenteranya yang tampak berdepan kekalahan dalam peperangan dengan Ukraine.
Keputusan yang diambil pemuda itu seminggu selepas arahan dikeluarkan merupakan tanda protes dirinya yang tidak bersetuju tindakan Russia melancarkan perang ke atas Ukraine.
Jejaka dikenali dengan nama Adam Kalinin itu sebelum ini pernah dipenjarakan selama dua minggu kerana menampal poster yang bertulis ‘Tidak untuk berperang’ di dinding bangunan pangsapurinya.Kalinin sanggup larikan diri ke hutan dan bersembunyi selama berbulan-bulan di belantara kerana tidak mahu mengambil risiko dihantar ke barisan hadapan untuk membunuh rakyat Ukraine.
Kisah Kalinin yang masih bersembunyi di dalam hutan disiarkan pelbagai media antarabangsa baru-baru ini. Nama ‘Adam Kalinin’ itu bagaimanapun bukan nama sebenarnya.
Menurut pemuda itu yang merupakan pakar teknologi maklumat (IT), meskipun enggan menyertai pasukan tentera, dia bagaimanapun tidak mahu meninggalkan Russia.
Ketika ratusan ribu penduduk lelaki lain di Russia melarikan diri ke luar negara untuk mengelak daripada dikerah menjadi tentera, Kalinin memilih untuk kekal di negara itu atas beberapa alasan termasuk kekangan kewangan, tidak mahu meninggalkan keluarga dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Meninggalkan negara ini dan keluar dari zon selesa adalah satu langkah yang sukar untuk saya. Meskipun di sini juga tidak selesa, namun secara psikologinya, saya masih berat hati untuk meninggalkan negara,” kata Kalinin yang berusia 30-an kepada BBC.

Tambahnya lagi, melarikan diri di dalam hutan merupakan satu langkah drastik yang dilakukannya apatah lagi terpaksa meninggalkan isteri tercinta.
Di sana, dia telah tinggal di dalam khemah selama hampir empat bulan.
Menjalani kehidupan di dalam hutan, Kalinin menggunakan antena yang diikat pada pokok untuk akses internet dan panel solar pula bagi tenaga elektrik.
Dia juga telah mengharungi musim sejuk dan suhu serendah -11 darjah Celsius di dalam hutan, selain mendapatkan bekalan makanan yang dihantar oleh isterinya.
Katanya, tindakan itu merupakan cara terbaik yang boleh dia fikirkan untuk mengelak daripada dipaksa menyertai tentera.
“Jika pihak berkuasa tidak boleh menyampaikan surat arahan kepada saya secara peribadi, mereka tidak boleh memaksa saya untuk berperang.
“Kalau mereka tidak boleh menemui saya secara fizikal dan membawa saya ke pejabat pendaftaran, maka, saya masih boleh mengelak arahan tersebut,” ujarnya.
Meskipun tinggal di dalam hutan, Kalinin meneruskan hidupnya seperti biasa dan masih bekerja lapan jam sehari dengan syarikat yang sama.
Dia mengakui berdepan pelbagai cabaran terutama semasa musim sejuk apabila penerimaan cahaya sangat terhad untuk mengumpul tenaga solar.
Namun begitu, dia masih mampu menempuhnya dengan mengisi waktu kerjanya pada hujung minggu.
Beberapa rakan sekerjanya kini berada di Kazakhstan. Mereka membuat keputusan untuk meninggalkan Russia selepas arahan berkuat kuasa.

Kalinin juga tidak bimbang kedudukannya dapat dihidu kerajaan Russia kerana sistem komunikasi yang digunakan dapat mengelakkan perkara itu daripada berlaku.
Dia yang juga merupakan seorang pencinta alam sebelum ini banyak menghabiskan cuti berkhemah di selatan Russia bersama isterinya.
Apabila dia membuat keputusan untuk berpindah ke hutan, dia sudah mempunyai banyak peralatan yang diperlukan.
Kongsi Kalinin, sepanjang tinggal di dalam hutan, isterinya memainkan peranan besar dalam kelangsungan hidupnya.
“Dia membawa bekalan makanan setiap tiga minggu dan bertemu di satu lokasi yang berdekatan dengan tapak khemah saya. Dia juga akan datang ke tempat saya bersembunyi selama beberapa hari dan memasakkan makanan buat bekalan di sini,” katanya.
Tambahnya lagi, antara stok makanan yang dibekalkan untuknya adalah oat, teh, kopi, gula, buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
Rumah baharu Kalinin ialah khemah besar yang sering digunakan untuk memancing di tasik ais.
Semasa dia mula-mula tiba di hutan, dia membuat dua tapak kem dengan jarak yang mengambil masa perjalanan kira-kira lima minit. Salah satu kem tersebut dilengkapi akses internet yang merupakan tempat dia bekerja, manakala satu lagi merupakan tapak yang lebih terlindung iaitu khemah untuk bermalam.
Ketika musim sejuk pula, Kalinin akan menggabungkan kedua-dua kem tersebut di satu lokasi berbeza.
Pada musim sejuk baru-baru ini, suhu turun kepada -11 darjah Celsius, lebih sejuk daripada jangkaan. Namun, kini apabila musim sejuk sudah berakhir dan salji mula mencair, dia bercadang untuk kekal di tempatnya.
Walaupun Kalinin setakat ini belum dipanggil menyertai tentera, dia berkata, keadaan akan sentiasa berubah dan dia bimbang bakal menerima surat arahan pada masa hadapan.
Kebiasaannya pekerja IT seperti Kalinin dikecualikan daripada arahan tersebut, tetapi terdapat banyak laporan di Russia tentang pengecualian yang sama tidak terpakai.
Putin mengumumkan pengerahan itu pada 21 September tahun lalu, sejurus selepas serangan balas Ukraine di wilayah Kharkiv. Putin berkata, mobilisasi itu dibuat atas alasan untuk mempertahankan Russia menentang Barat, tetapi ramai penduduk di negara itu membantah dan terdapat adegan huru-hara di sempadan Russia apabila ratusan ribu orang melarikan diri.
Mobilisasi tersebut menyebabkan ramai anak lelaki, bapa dan saudara lelaki dikerah menjadi barisan hadapan dalam masa singkat, mereka tidak boleh mengelak arahan itu.
Namun, tindakan protes awam jarang berlaku di Russia berikutan orang ramai benar-benar takut apa yang mungkin berlaku jika mereka lakukan perkara itu.
“Jika seseorang bersuara menentang perang, negara mengambil tindakan terhadap mereka,” kongsinya.
Kehidupan Kalinin di dalam hutan mendapat perhatian warganet dengan 17,000 orang mengikuti perkembangan terkini kehidupannya yang dikongsi di Telegram.
Dia menyiarkan video dan foto persekitaran, rutin harian dan cara perkhemahannya dilakukan.
Kalinin mendakwa kehidupannya tidak jauh berbeza seperti sebelum ini.
Dia menggelar dirinya seorang introvert yang tidak kisah hidup bersendirian, walaupun pada hakikatnya dia merindui isterinya dan ingin berjumpa lebih kerap.
Pun begitu, tegas Kalinin, keadaannya sekarang adalah lebih baik daripada dihantar ke barisan hadapan atau ke penjara.














