fbpx
AIK KANG dan Hui Ling yang mendapat pengiktirafan daripada kelab pembiakan arnab terkemuka di Amerika Syarikat iaitu ARBA menyifatkan penjagaan arnab bukan mudah sebaliknya sangat sukar.

‘Ramai jaga arnab dengan cara yang salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jatuh cinta pandang pertama. Itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada satu pasangan kekasih terhadap arnab.

Mereka mula membeli sepasang arnab selepas teruja melihat kelincahan haiwan comel itu di sebuah kedai haiwan peliharaan.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka tidak berpanjangan apabila arnab-arnab itu mula sakit kerana penjual tidak memaklumkan tentang sejarah kesihatan haiwan tersebut.

Tidak lama kemudian, salah seekor daripada arnab yang lincah itu mati tanpa diketahui puncanya. Ia diikuti dengan seekor lagi arnab selang beberapa bulan kemudian.

Disebabkan itu, pasangan tersebut memutuskan untuk memulakan perniagaan arnab.

Hal ini kerana pasangan itu tidak mahu pemilik arnab lain melalui fasa menyedihkan seperti mereka.

Pasangan yang dikenali sebagai Beh Aik Kang, 41, dan Yo Hui Ling, 41, itu bukan sahaja menjual arnab, malah berjaya membuka perniagaan produk berkaitan haiwan berkenaan dan mereka kini dianggap sebagai pakar arnab dan menerima undangan ke program-program berkaitan penjagaan arnab yang betul.

Malah, mereka turut diundang menjadi juri pertandingan arnab di luar negara seperti Indonesia.

Sebahagian pencapaian hebat yang berjaya dimenangi oleh Aik Kang dan Hui Ling.

Mereka juga berjaya mendapat pengiktirafan daripada sebuah kelab pembiakan arnab terkemuka di Amerika Syarikat (AS), American Rabbit Breeders Association (ARBA).

Ia setelah mereka lulus kesemua peperiksaan dan praktikal mengenai arnab.

Untuk lulus peperiksaan dan praktikal itu mereka perlu mempelajari tentang kriteria serta ciri-ciri 50 baka arnab yang diiktiraf ARBA.

Mereka juga telah menerima beberapa pencapaian besar sepanjang berkecimpung dalam bidang peternakan arnab.

Antaranya, memenangi Best in Show (BIS) dan Best Reserve in Show (BRIS) di bawah Briony Smith yang merupakan seorang hakim ARBA dari AS.

Mereka juga merupakan satu-satunya penternak yang memenangi BIS dan BRIS pada persembahan sama.

Pemilik bersama syarikat Beh & Yo Trading Sdn. Bhd., Hui Ling berkara, mereka memulakan perniagaan tersebut pada tahun 2004.

“Visi utama kami ketika memulakan perniagaan ini adalah untuk menternak arnab yang berkualiti dan sihat. Ini bagi membolehkan pemilik arnab memelihara haiwan itu dalam tempoh lama.

“Selepas dua tahun, kami membuka ladang arnab di Semenyih, Selangor dengan membiak arnab pure breed pertama iaitu Netherland Dwarfs,” terangnya.

Pada awalnya, mereka mendapat bekalan arnab daripada pembekal tempatan, namun mempunyai masalah genetik yang tidak dapat diselesaikan.

Justeru, Hui Ling dan pasangannya mula mencari maklumat tambahan secara dalam talian, sebelum mengenali ARBA.

“ARBA memiliki penerangan terperinci terhadap setiap baka arnab yang diiktiraf. Jadi, kami mula menghubungi penternak di AS, sebelum mengimport arnab dari sana,” ujarnya.

Hui Ling yang juga merupakan graduan bidang perniagaan dan teknologi maklumat berkata, arnab merupakan haiwan yang sering menjadi mangsa kepada pemangsa.

“Disebabkan itu, arnab akan lebih berwaspada dan melindungi dirinya. Sebagai pemilik haiwan, kita perlu meluangkan masa bersamanya.

“Di samping itu, arnab tidak suka diangkat. Jadi, kita harus menunggu arnab datang kepada kita dengan sendirinya.

“Meluangkan masa dengan haiwan ini sangat penting. Misalnya, beri makan dengan tangan bagi membina ikatan lebih akrab dan membuatkan arnab berasa lebih selesa,” terangnya.

Dia turut berkongsi tip penjagaan arnab yang betul kerana ramai pemilik baharu menganggap mereka boleh mengangkat arnab dengan telinga.

“Arnab tidak boleh diangkat menggunakan telinganya. Arnab mempunyai saluran saraf darah dan rawan tulang telinga yang lemah. Ia akan berasa sakit apabila kita mengangkat menggunakan telinganya,” ujarnya.

Terang Aik Kang, cara yang betul untuk memegang arnab adalah dengan mengangkat kaki depan sambil menyokong bahagian bawahnya.

Pemilik perlu menyediakan sebuah tempat khas untuk arnab bermain.

Ujarnya, dengan menyokong kakinya di atas badan manusia, ia dapat menenangkan arnab.

Di samping itu, arnab memerlukan ruang untuk bersenam serta melakukan ‘binky’ iaitu berlari pantas dan melompat ke udara sambil memusingkan badannya.

Ia merupakan salah satu cara untuk menunjukkan kemanjaannya.

“Ramai yang menjaga arnab dengan cara salah. Selain makanan asas, pemilik perlu memberi hay iaitu sumber serat yang baik untuk penghadaman arnab. Ia juga baik untuk gigi serta mengelakkan ‘maloklusi’ (gigi terlalu panjang).

“Lobak merah boleh diberi sebagai snek sahaja. Ini kerana lobak merah mempunyai kandungan gula tinggi yang boleh menyebabkan folikel bulu arnab aktif dan gugur sepanjang tahun ” katanya.

Tambahnya, seekor arnab mampu hidup selama lapan hingga sepuluh tahun dengan pemakanan yang betul.

Aik Kang mencadangkan agar arnab dimandulkan kerana haiwan itu mampu membiak dengan sangat cepat iaitu 12 kali setahun.

Meskipun Tahun Baharu Cina tahun kali ini merupakan zodiak arnab, namun Aik Kang memaklumkan, kedainya tidak menerima permintaan luar biasa terhadap haiwan itu.

Dia menasihati orang ramai supaya mengkaji lebih lanjut tentang arnab sebelum membelinya.

“Ramai yang beranggapan memelihara arnab merupakan perkara yang mudah, padahal ia sangat sukar.

“Kami melarang pembiakan yang tidak dirancang bagi mengelakkan haiwan ini terbiar,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Feng Shui, Raymond Wong, 47, menjelaskan, tabiat atau ciri-ciri arnab tidak ada kaitan dengan Tahun Arnab.

Jelasnya, arnab hanyalah satu simbol mewakili tahun berdasarkan kehidupan masyarakat Cina purba yang merupakan petani.

“Kaum Cina mengkategorikan tahun kepada 12 haiwan. Ia terdiri daripada tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, biri-biri, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.

“Jadi, mereka mengkategorikan tahun kepada 12 tanda haiwan bagi membolehkan masyarakat ketika itu mengetahui zodiak kelahiran mereka.

“Orang yang lahir pada tahun tertentu akan mengambil zodiak pada tahun itu.

“Orang Barat mengkategorikan seseorang itu berdasarkan bulan lahir, manakala orang Cina mengkategorikan berdasarkan tahun lahir,” terang Raymond.

Menyentuh mengenai ramalan berlaku tekanan ekonomi dunia pada Tahun Arnab, Raymond meminta orang ramai supaya tidak melabur dalam skim penipuan dan mata wang kripto.

“Pada tahun ini, saya menasihatkan agar orang ramai supaya berbelanja dengan bijak kerana institusi kewangan seluruh dunia sedang meleset.

“Bagaimanapun, industri seperti perhotelan, pengangkutan dan logistik akan berjaya. Selain itu, penjagaan kesihatan dan insurans harus berfungsi dengan baik,” jelas Raymond lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN