HAMPIR sedekad meniti langkah dalam arena lakonan, Puteri Aishah yang selama ini sinonim dengan karakter lemah lembut semakin dibanjiri tawaran membawakan watak wanita dominan.
Drama bersiri Special Force: Anarchy menjadi percubaan berani aktres berusia 28 tahun itu menonjolkan sisi tegas serta lasak yang selama ini belum dicungkil dengan lebih mendalam.
Tonjol sisi kental
Diamanahkan menggalas peranan pegawai polis muda bernama Iman yang berani mengekang cubaan pengganas melakukan rompakan di sebuah bank di negara Tenggara, demikian intipati jalan cerita drama arahan Syafiq Yusof berkenaan.
Katanya, sebagai kisah kepolisan yang menunjukkan operasi menumpaskan penjenayah, sudah tentu dia perlu menonjolkan personaliti kental.

Meskipun menggunakan pelakon gantian bagi aksi berisiko, kata pemilik nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman itu, drama berkenaan memberikan pengalaman baharu buatnya apabila perlu merealisasikan babak membahayakan.
Cabar diri
“Babak paling mencabar sepanjang penggambaran tentu saja aksi berisiko antaranya memerlukan saya keluar dari tingkap kereta yang sedang bergerak laju.
“Aksi yang turut menampilkan adegan tembak-menembak dengan penjenayah itu tidak boleh dilakukan pelakon gantian lagak ngeri kerana perlu menonjolkan wajah saya.
“Aspek keselamatan antara perkara utama yang diberi penekanan utama bagi mengelakkan risiko kecederaan mahupun kemalangan kerana separuh badan saya perlu berada di tingkap kereta.
“Syafiq Yusof selaku pengarah dan pelatih lagak ngeri serta pelakon lain banyak membantu sehingga penggambaran berlangsung dengan sempurna,” katanya mengimbas kenangan di set penggambaran.
Akui Puteri Aishah, walau terdetik perasaan takut apatah lagi itu merupakan antara babak besar yang menjadi fokus dalam drama bersiri tujuh episod tersebut, sedikit sebanyak suntikan semangat seluruh pasukan produksi membuatkannya bersemangat.

“Apabila diajukan tawaran dan membawa keseluruhan plot kisah ini, saya dapat menjangkakan Special Force: Anarchy bukan calang-calang naskhah.
“Watak Iman selaku pegawai polis memikul amanah besar memastikan keselamatan anak buah ketika operasi, namun dari segi lain dia juga perlu menurut arahan ketua jabatan yang juga ayahnya sendiri.
“Apa pun, saya bersyukur tidak berlaku kecederaan ketika menjayakan babak bahaya, malah sepanjang penggambaran banyak pengalaman baharu dapat saya raih.
“Keserasian dengan Hasnul Rahmat yang menggalas peranan sebagai bapa saya juga memudahkan proses kerja kerana sebelum ini kami pernah bergandingan dalam produksi lain,” katanya.
Rompakan terancang
Siri original tersebut yang disiarkan secara eksklusif menerusi Disney+ Hotstar sejak 14 Januari lalu berkisar cabaran Iman menyiasat kes rompakan terancang sebuah bank.
Siasatan mendalam terhadap rompakan bank tersebut akhirnya membongkar kaitan kes berkenaan dengan sebuah kumpulan penjenayah berbahaya sekali gus membuka rahsia besar lain.

Special Force: Anarchy turut dibintangi komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir selaku dalang bagi rompakan Bank Tenggara sekali gus menjadi ketua kumpulan penjahat, Anarki.
Barisan pelakon lain yang terlibat adalah Elizabeth Tan, Fify Azmi, Alvin Wong, Johan As’ari, Chacha Maembong, Yusuf Bahrain, Anas Ridzuan, Dynas Mokhtar dan Steve Yap.
Sementara itu, berkongsi impian untuk 2023, aktres yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Dewi Remaja itu berharap terus mampu menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga.
“Sudah tentu kita semua harapkan yang terbaik dalam mengatur perjalanan hidup, tidak terkecuali saya yang telah sedia berdepan apa jua cabaran,” luah isteri kepada ahli perniagaan, Firdaus Sulaiman itu menutup perbualan.














