fbpx
Karakter Birdy yang dihasilkan oleh Nor Azhir begitu comel dan tampak lucu.

Karakter Birdy rekaan pereka tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIBANYA di rumah setelah pulang dari tempat kerja, melihat koleksi miniatur karakter comel yang tersusun di atas meja membuatkan pemuda itu lupa sejenak akan stres yang dihadapi sepanjang hari.

Bagaikan terapi diri, mengumpul koleksi karakter comel yang dikenali sebagai Birdy itu sudah menjadi hobinya sejak menonton video miniatur itu di laman TikTok semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Menurut pengumpul karakter Birdy, Muhammad Hafiz Mamat, 32, dia sangat tertarik dengan koleksi comel karakter burung itu kerana ia sangat unik dan lain daripada yang lain.

“Miniatur Birdy ini sangat menarik kerana ia merupakan hasil tangan orang tempatan yang asli dan unik. Saya tertarik ketika melihat video cara ia dibuat dan sejak itu saya terus membeli serta mengumpulnya sebagai koleksi.

“Saya sangat mengagumi setiap hasil pembuatan Birdy yang mana bagi saya, di Malaysia tidak ramai yang menawarkan karya karakter sendiri dan ini sekali gus menjadikan ia sangat eksklusif,” katanya kepada K2.

Tambah pemuda asal Kota Bharu itu, dia menyukai koleksi Birdy bukan sahaja kerana ia comel, tetapi pembuatannya juga sangat kemas, teliti dan terperinci.

Kongsi anak ketiga daripada tujuh beradik itu lagi, mengumpul koleksi Birdy juga memberikannya kepuasan tersendiri, malah mampu mencetus ketenangan dan semangat untuk meneruskan harinya dengan ceria.

Katanya lagi, setiap koleksi Birdy yang dibeli olehnya disusun rapi di atas meja yang ditempatkan di ruangan kerja dalam bilik tidur.

“Sebagai individu yang sukakan benda comel, melihatnya saja sudah membuatkan saya tersenyum. Ada ketika saya akan duduk dan merenung setiap koleksi yang mana tidak disangka memberikan suntikan ketenangan.

“Setakat ini saya mempunyai sebanyak kira-kira 40 koleksi Birdy dan akan terus mengumpul setiap keluaran koleksi miniatur tempatan itu,” ujarnya.

Sememangnya tidak ramai, rakyat Malaysia yang berjaya mengetengahkan karakter ciptaan mereka sendiri, sebaliknya kita sering berpaksikan karakter-karakter sedia ada dari luar.

Bagaimanapun, kelaziman itu berjaya dipecahkan oleh seorang anak muda tempatan sehingga sesetengah orang ‘gilakannya’ untuk dikumpul dan dijadikan koleksi.

Miniatur karakter Birdy merupakan hasil kreativiti Nor Azhir Baharum, 30. Ramai yang kagum dengan kebolehannya sehingga lelaki ini turut dijemput ke rancangan televisyen seperti Wanita Hari Ini.

Berasal dari Puchong, Selangor, Nor Azhir memulakan jejak kerjayanya sebagai pembuat miniatur Birdy sekitar tahun 2020 yang pada awalnya hanya sekadar hobi mengisi masa lapang sewaktu PKP.

Namun, menurut Nor Azhir, dia sudah meminati bidang seni terutama membentuk karakter menggunakan tanah liat sejak kecil lagi.

“Sejak kecil, ibu dan ayah sering memberikan saya mainan yang berunsurkan kraf dan salah satu yang paling digemari adalah tanah liat.

“Bermain dengan tanah liat bukan sekadar hobi semasa kecil, ia berterusan sehingga saya di pengajian tinggi. Jika ada masa lapang, saya akan membentuk bahan itu menjadi karakter comel dan lucu,” katanya yang merupakan seorang guru seni di sebuah sekolah di Selangor.

Selain menghasilkan karakter Birdy, Nor Azhir turut menghasilkan watak luar seperti Mario, Pikachu dan Sonic.

Tambahnya lagi, selain mempunyai hobi bermain tanah liat, dia juga gemar menonton video aktiviti kraf berkaitan pembuatan karakter miniatur sekali gus mendedahkannya kepada bahan tanah liat polimer.

Kongsinya lagi, mengambil inspirasi daripada kreativiti pembuat miniatur di luar negara, dia mula bereksperimen dengan tanah liat polimer dan menghasilkan miniatur karakter Birdy.

“Semasa bermain tanah liat saya banyak membuat bentuk haiwan dan dari situ datang ilham untuk membuat Birdie iaitu burung yang diolah dalam bentuk kartun comel.

“Awalnya saya membuat Birdie sekadar suka-suka dan memberinya kepada ahli keluarga serta rakan terdekat, namun saya tidak sangka ada yang berminat dan mahu membelinya,” katanya yang kini menjadikan pembuatan Birdy sebagai pendapatan sampingan.

Berpusat di rumah sendiri, Nor Azhir mempunyai studio mini untuk pembuatan Birdy.

Setiap penghasilan satu tema karakter akan mengambi masa selama 15 hingga 20 minit bergantung kepada saiz dan rekaan. Paling lama boleh memakan masa hingga sejam.

Kongsinya, pembuatan Birdy melalui beberapa proses, bermula dengan membentuk tanah liat polimer dan mengukir corak sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dipanaskan supaya miniatur menjadi keras.

Seterusnya adalah proses memberikan hiasan tambahan yang juga dibentuk dari tanah liat polimer serta bahan seperti mata Birdy, kemudian akan dibakar sekali lagi.

Setiap keluaran dibuat mengikut tema tersendiri sama ada musim perayaan mahupun inspirasi daripada karakter popular.

Memandangkan pembuatan Birdy sekadar pendapatan tambahan, Nor Azhir biasanya akan memanfaatkan masa lapang dan cuti untuk membuat miniatur berkenaan.

“Jumlah Birdy yang saya buat untuk setiap keluaran adalah terhad antara 10 hingga 20 unit sebulan, saya tidak ambil tempahan khas, tetapi saya akan cuba untuk memenuhi cadangan pembeli untuk tema Birdy yang seterusnya.

“Sehingga kini ada kira-kira lebih 50 keluaran Birdy mengikut pelbagai tema, dan semuanya habis dijual setiap kali dipasarkan di media sosial Instagram, @kraf.box dan platform dalam talian Shopee,” ujarnya yang menjual Birdy bermula dengan harga RM10 hingga RM50 dan ke atas.

Katanya, seni pembuatan kreatif sudah sebati dalam hidupnya.

“Membuat Birdy adalah terapi untuk saya, ia memberi saya kepuasan tersendiri apabila pelanggan berpuas hati dengan setiap keluaran dihasilkan.

“Selain membuat Birdy, saya juga kini mencuba-cuba untuk hasilkan karakter kartun popular.

Meskipun agak sukar dengan bentuk yang kompleks, ia sebenarnya satu cabaran untuk saya mengasah kreativiti dan menjadi pembuat miniatur yang lebih baik,” katanya yang pernah menghasilkan miniatur kartun Mario dan Sonic.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN