LANGKAWI – Sebilangan bot nelayan tempatan kini telah mengubah aktiviti mereka di tengah laut daripada menangkap ikan kepada urus niaga haram dengan menjual minyak diesel bersubsidi kepada warga asing.
Modus operandi itu mula dikesan sejak tiga bulan lalu susulan permintaan tinggi bahan bersubsidi berkenaan terutama dalam kalangan penyeludup warga Thailand.
Kegiatan penyeludupan itu dipercayai didalangi sesetengah pengusaha bot Kelas C dengan setiap nelayan yang terlibat menerima upah sebanyak RM100 bagi setiap tugasan.
Kadar bayaran itu sama dengan upah turun ke laut bagi menangkap ikan.
Pengusaha bot disyaki melakukan kegiatan tersebut bagi mendapatkan wang mudah dengan menjual diesel bersubsidi yang diperoleh pada harga kira-kira RM1.67 seliter kepada warga Thailand pada harga RM4 seliter.
Difahamkan, diesel bersubsidi yang dibeli berkenaan bukan hanya untuk pasaran Thailand, tetapi turut dijual semula kepada penyeludup dari Myanmar pada harga antara RM6 hingga RM7 seliter.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagaimanapun berjaya membongkar kegiatan yang menyalahi undang-undang itu sejak Oktober lalu.
“Kegiatan penyeludupan ini memang licik kerana mereka berselindung di sebalik aktiviti menangkap dan menggunakan bot nelayan seperti biasa.
“Namun, kita berjaya menghidu kegiatan haram tersebut apabila menemui pengubahsuaian serta tambahan tangki yang dibuat pada bot disyaki untuk tujuan penyeludupan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Jalan Bukit Malut, di sini baru-baru ini.

Kata beliau, bot nelayan terlibat disyaki akan mengambil minyak subsidi itu di jeti yang dilesenkan dan turun ke laut dengan peralatan seadanya, kebiasaannya pada sebelah petang.
“Menjelang pukul 11 malam ke atas, bot akan belayar berdekatan sempadan perairan negara dengan tekong atau ejen akan menghubungi orang tengah bagi menunggu di sempadan.
“Bot itu kemudian akan memasuki perairan negara jiran bagi mengelak penguat kuasa mengesan kegiatan tersebut sebelum bot dari negara jiran akan merapat sebelum operasi pindah minyak terus dilakukan,” ujarnya.
Katanya, kerja-kerja pemindahan minyak dipercayai mengambil masa antara sejam hingga sejam setengah bergantung kepada jumlah minyak dipindahkan sebelum bot akan masuk semula ke perairan Malaysia dan pulang ke jeti.
Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati, peralatan menangkap ikan pada bot terlibat seperti papan tunda telah berkarat seperti sudah lama tidak digunakan.
“Begitu juga pukat yang mana ia didapati kering, sekali gus menunjukkan nelayan berkenaan tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan,” jelasnya.
Sementara itu, kata beliau, berdasarkan maklumat risikan dan hasil siasatan ke atas tangkapan bot minyak itu, kegiatan tersebut didapati semakin serius dan membimbangkan.
“APMM mencatat sebanyak tujuh kes tangkapan berkaitan kegiatan penyeludupan diesel di perairan Kedah dan Perlis sejak Oktober lalu yang mana tiada kes seumpama ini berlaku pada tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan diesel yang dirampas adalah sebanyak 47,950 liter iaitu bernilai kira-kira RM191,800 mengikut harga diesel industri,” katanya.
Jelasnya lagi, nelayan yang ditahan terdiri daripada warga tempatan, Thailand, dan Kemboja berusia antara 25 hingga 50 tahun.
Tambahnya, siasatan kesalahan penyeludupan diesel dilakukan di bawah Seksyen 20 dan 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang-barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.
“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat dalam lesen yang dikeluarkan iaitu mengubah suai struktur simpanan bahan api tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelas Romli.














