“SAYA akan sentiasa menjadi pemberontak dan fesyen provokatif membawa suara kami yang menolak kehidupan di dunia hipokrit dan penuh sekatan.”
Itu ketegasan kata yang pernah diungkapkan pereka fesyen tersohor, Dame Vivienne Westwood kepada wartawan The Guardian dalam satu pertemuan ketika dahulu.
Kata-kata itu juga merupakan jejak ideologi fesyen yang ditinggalkan legenda dari Britain itu yang turut mendapat jolokan Ratu Fesyen Punk dan pemecah tradisi dalam industri pakaian dunia.
Tanggal 29 Disember lalu, industri fesyen kehilangan sebutir ikonnya apabila Westwood meninggal dunia pada usia 81 tahun. Kematiannya dikenang oleh penggiat dan peminat fesyen seluruh dunia yang banyak mengidolakan wanita yang telah melebarkan kerjaya fesyennya selama lebih separuh abad itu.
“Vivienne Westwood meninggal dunia hari ini (29 Disember lalu) dengan tenang dan dikelilingi ahli keluarganya di London,” ciap butik fesyennya.
Westwood bukan sekadar Ratu Fesyen Punk, bahkan majalah GQ menyifatkan tanpa dia, maka tidak adalah fesyen British. Dialah ‘dewi’ yang membawa fesyen aneh Britain ke pentas dunia. Tanpa dia, maka tidak wujudlah tokoh-tokoh fesyen seperti Alexander McQueen dan Charles Jefferey.
Mendiang adalah individu yang bertanggungjawab membawa rock dan punk ke aliran fesyen arus perdana. Dia menjadikan punk bukan sahaja dikenali sebagai muzik tetapi juga fesyen.

Dilahirkan pada 8 April 1941, di Tintwistle, Cheshire, Britain, penglibatan Westwood dalam dunia rekaan pakaian memberi banyak impak kepada senario fesyen dunia terutama di Britain sejak era 1970-an.
Beliau merupakan individu yang berani membawa perubahan kepada industri fesyen ketika itu dengan menampilkan imej didasari jiwa muzik punk yang disifatkan sebagai budaya pemberontakan.
Seawal usia remaja, Westwood sudah mempunyai kemahiran menjahit dan membuat pakaian sendiri sebelum menyambung pengajian dalam bidang aksesori dan barang kemas di London. Gaun perkahwinannya bersama bekas suami pertamanya, Derek Westwood turut dibuatnya sendiri.
Jejaknya dalam arena fesyen bermula selepas dia meninggalkan suaminya untuk bersama Malcolm McLaren yang juga merupakan pengurus sebuah band punk sebelum mereka membuka sebuah kedai pakaian, Let It Rock.
Selepas perkongsian hidupnya dengan McLaren tamat, dia mula mereka koleksi di bawah namanya sendiri dan tidak lama kemudian tertubuhlah reputasi fesyen antarabangsa Westwood.
Dia membuka lebih banyak kedai di London dan di seluruh dunia. Ciptaan provokatifnya mula disarung pada badan supermodel dan selebriti yang seterusnya mempengaruhi fesyen arus perdana.
Dalam fesyen yang diketengahkan, beliau banyak mendefinisikan rupa punk, menggunakan ikonografi rock, aura diraja dalam setiap koleksinya.
Definisi ini juga disebut oleh penulis buku, Véronique Hyland dalam naskhah, Dress Code: Unlocking Fashion From the New Look to Millennial Pink sebagai satu suara yang sebenarnya lebih daripada sekadar fesyen.
“Dia dipengaruhi oleh sejarah seni dan lukisan lama. Dia sangat suka merujuk kepada tradisi jahitan Inggeris. Orang ramai benar-benar mengaitkannya dengan punk dan keseluruhan estetik itu terutama tentang cara dia mencipta namanya, tetapi dia lebih daripada itu,” katanya.
Dalam sebuah memoir berjudul Vivienne Westwood, pereka tersohor itu turut menggambarkan sisi fesyennya sebagai sesuatu yang sentiasa memberi kejutan dan mesej menentang salah laku terjadi di dunia.
“Ia bukan mengenai fesyen, anda lihat, bagi saya, ia mengenai cerita. Ia mengenai idea.
“Saya tidak melihat diri saya sebagai pereka fesyen tetapi sebagai seseorang yang ingin menghadapi status quo busuk melalui cara saya berpakaian dan pakaian orang lain,” kata Westwood dalam memoirnya, yang ditulisnya bersama Ian Kelly.
Westwood mencapai kejayaan dalam industri fesyen di usia 30-an yang juga menjadi permulaan kepada agenda aktivisnya yang menentang pelbagai agenda politik termasuk kemusnahan alam sekitar dan penggunaan senjata nuklear.
Dalam temu bual Westwood bersama majalah fesyen Harper’s Bazaar pada 2013, beliau turut menyatakan bahawa dia menyedari tentang korupsi yang berlaku di dunia pada usia kira-kira 36 tahun.
“Dunia menjadi begitu korup dan salah urus, orang menderita, berperang, ini semua perkara mengerikan,” ujarnya.
Sepanjang hidupnya, Westwood kekal seperti yang dinyatakan The New York Times pada 2017 bahawa dia seorang aktivis alam sekitar dan politik yang lantang menerusi koleksinya yang sentiasa mengetengahkan manifesto.
Sehingga akhir hayatnya, perjuangan Westwood masih berkumandang dan terus disahut oleh generasi penggiat fesyen masa kini.

Pemilik empayar fesyen Versace, Donatella Versace turut menyatakan bahawa Westwood merupakan inspirasi buat dirinya untuk membawa perubahan dalam industri fesyen.
“Vivienne ialah seorang perintis ikonik dalam fesyen dan punk, dia melanggar semua peraturan untuk membuat pakaian yang menyuarakan tentang kemerdekaan, pemberontakan dan kuasa. Dia beri generasi muda platform baharu untuk mengekspresi diri mereka.
“Westwood terus memberi inspirasi kepada saya sebagai salah seorang daripada segelintir wanita terkemuka dalam industri fesyen. Beliau tidak pernah takut dan menerima jawapan tidak, penglihatannya tulen dan tidak ditapis, Vivienne banyak mengajar kita semua,” kata Versace kepada Vogue.
Meskipun bersuara lantang dan garang dalam industri fesyen, Westwood amat disenangi penggiat fesyen.
Peragawati terkenal, Naomi Campbell memberitahu, sejak dia berkenalan dengan Westwood pada 1986, dia bukan sahaja mudah bekerja dengannya tetapi boleh memanggilnya kawan.
“Westwood isteri, ibu, nenek dan rakan, dia merupakan seorang yang sentiasa memberi galakan kepada saya untuk terus maju.
“Beliau juga merupakan seorang yang jujur dan sentiasa berpegang dalam perjuangan yang dibawa olehnya, sama ada disukai atau tidak semua orang tidak boleh menafikan bahawa apa yang dikatakan olehnya benar dan memberi impak kepada ramai pihak,” kongsinya.














