PUTRAJAYA – Penderitaan pengguna setiap kali terpaksa melalui kesesakan sehingga berjam-jam ketika melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan bakal berakhir menerusi pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE).
Lebuh raya dianggarkan sepanjang 60 kilometer (km) itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar seterusnya Kuala Kangsar.
Pembinaan lebuh raya berkenaan yang dijangka dapat dimulakan pada 2024 itu sekali gus bakal melegakan pengguna Lembah Klang yang ingin pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan sekiranya berlaku kemalangan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan mengambil maklum kesesakan yang sering berlaku di Terowong Menora khususnya apabila terjadi sesuatu kemalangan.
“Susulan itu, sebagai alternatif, satu cadangan penswastaan projek lebuh raya telah diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan pada 9 Februari 2022 melalui kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT).

“Cadangan Lebuh Raya WISE adalah sebagai pintasan kepada seksyen Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan kerana seksyen tersebut mempunyai tahap kecerunan tinggi selain tidak sesuai digunakan oleh kenderaan berat.
“Keadaan itu berupaya mendatangkan risiko kemalangan sekiranya berlaku kegagalan pada fungsi brek kenderaan berat tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Kosmo! berhubung kesengsaraan dihadapi pengguna jalan raya apabila sering terperangkap dalam kesesakan hingga berpuluh kilometer terutamanya ketika berlaku kemalangan atau akibat peningkatan trafik pada musim perayaan.
Selain itu, Terowong Menora sepanjang 800 meter juga dianggap ‘laluan paling berisiko’ dan berbahaya terutamanya bagi bas dan lori apabila banyak kemalangan berlaku disebabkan kegagalan sistem kenderaan berat berkenaan.

Justeru, melihat kepada keadaan geografi di kawasan berkenaan, Alexander menjelaskan, cadangan reka bentuk Lebuh Raya WISE akan menjadikannya laluan alternatif yang lebih selamat kepada pengguna.
“Dengan mengambil kira kecerunan tiga peratus (maksimum), WISE akan menjadi laluan alternatif lebih selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya sekali gus dapat meminimumkan risiko kemalangan di seksyen Terowong Menora.
Berita berkaitan: Buang masa ‘sangkut’ di Terowong Menora
Berita berkaitan: Kereta terbakar punca sesak berhampiran Terowong Menora
“Cadangan Lebuh Raya WISE itu juga bakal dilengkapi dengan kawasan rehat yang direka khas untuk parkir kenderaan berat,” jelasnya.
Sebelum ini, sebanyak 32 kemalangan direkodkan berlaku di Terowong Menora sejak tahun lalu sekali gus menterjemahkan keadaan laluan di lebuh raya itu yang dilihat berisiko kepada pengguna termasuk kenderaan berat.














