GEORGE TOWN – Golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan pada tahun depan bermula 3 Januari ini.
Rata-rata yang ditemui Kosmo! semalam berkata, pihak pengusaha bas sekolah telah memaklumkan mengenai kenaikan itu minggu lalu, malah mereka sudah meminta ibu bapa membuat pembayaran tambang baharu sebelum Selasa ini.
Majoriti ibu bapa berpendapat, kenaikan itu bersifat keterlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan di sebalik kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan keperluan.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Fadzil, 36, berkata, dia pening kepala memikirkan kenaikan mendadak tambang bas sekolah untuk anak sulungnya.
Menurutnya, jarak antara rumahnya di Bayan Lepas ke sekolah anaknya di Bukit Jambul hanya dianggarkan sejauh kira-kira 6 kilometer (km).
“Kadar tambang sedia ada yang dikenakan bagi tahun 2022 dikatakan sudah cukup tinggi iaitu RM260 sebulan.
“Sungguh terkejut apabila pengusaha bas memaklumkan menerusi kumpulan WhatsApp minggu lalu tentang kenaikan tambang baharu iaitu RM300 sebulan,” katanya.
Fadzil memberitahu, ketika ini, memang susah untuk mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang lain kerana ramai pengusaha gulung tikar.
Katanya, banyak pengusaha bas juga tidak mahu mengambil pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.
“Disebabkan itu, saya tiada pilihan lain ketika ini walaupun kenaikan kadar tambang tersebut tidak masuk akal,” ujarnya.

Seorang ibu yang juga pekerja swasta, Aida Rahman, 39, berkata, dia pula terpaksa membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas sekolah mulai tahun depan untuk dua orang anaknya yang berusia 13 dan 15 tahun.
“Saya sudah memaklumkan kepada pengusaha bas berhubung perkara ini selepas dimaklumkan mengenai tambang baharu yang bakal dinaikkan mulai Januari depan.
“Tambang sedia ada baru sahaja dinaikkan awal tahun ini. Tahun 2023 naik lagi RM30, menjadi RM130 seorang, sedangkan jarak ke sekolah dekat sahaja iaitu lebih kurang 4km.
“Saya dan suami sudah buat keputusan, anak-anak akan menggunakan perkhidmatan bas Rapid untuk pergi dan balik ke sekolah setiap hari mulai tahun depan,” ujarnya.
Bagi Aishah Abdullah, 41, pula, dia terpaksa ‘melobi’ kadar tambang bas sekolah dengan harga paling tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan itu untuk kegunaan dua orang anaknya.
“Saya terpaksa meletakkan harga tambang sendiri iaitu RM180 sebulan untuk seorang, sedangkan kadar sebenarnya hanya RM140 sebulan.
“Jika tidak dilobi, memang anak tiada van untuk ke sekolah. Memang ada segelintir pengusaha yang bersikap demand, mereka tidak akan melayan ibu bapa yang minta diskaun atau mahu
tambang dikurangkan.
“Pengusaha van sekolah akan memberi pelbagai alasan termasuk kononnya laluan anak kami tidak sama dengan pelajar-pelajar lain, sedangkan, lokasi perumahan hanya terletak bersebelahan,” ujarnya.
Justeru, Aishah menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan penyelarasan dan kadar tambang bas sekolah mengikut jarak yang perlu dipatuhi serta diguna pakai oleh semua pengusaha bas sekolah di seluruh negara.
“Ini bagi mengelak daripada cubaan mengambil kesempatan pihak-pihak tertentu ketika pengguna lain terutama ibu bapa berdepan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi,”
ujarnya. -KOSMO! ONLINE














