SEBAIK pulang daripada bercuti, hati pemuda itu luluh apabila melihat ikan buaya (Alligator Gar) peliharaannya mati akibat melompat keluar dari akuarium kerana lapar.
Meskipun sudah mempersiapkan makanan yang mencukupi, namun ikan tersebut telah menghabiskannya dalam tempoh singkat.
Keadaan itu mendorong ikan berkenaan mencari jalan lain untuk mendapatkan makanan sebelum melompat keluar dari akuarium.
Itulah salah satu situasi malang yang dihadapi oleh pemelihara ikan, Muhammad Mutalib Nordin, 28, yang saja baru saja berjinak-jinak membela ikan jenis pemangsa berkenaan.
Dia memaklumkan, kejadian itu berlaku ketika dia pulang ke kampung selama lima hari.
Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka tempoh itu sudah cukup lama sehingga menyebabkan ikan tersebut lapar dan bertindak agresif.
“Saya memang mempunyai hobi memelihara ikan, tetapi setiap kali bercuti atau pulang ke kampung, saya sering berdepan masalah ikan mati kerana ditinggalkan terlalu lama.
“Ikan-ikan ini sama juga seperti haiwan peliharaan lain. Ia mempunyai cara penjagaan tersendiri terutama ikan buaya yang tidak boleh dibiarkan berlapar,” ujar pemuda berasal dari Setia Alam, Selangor itu.

Selain ikan buaya, Muhammad Mutalib juga pernah berdepan masalah sama apabila ikan naga (bichir) dan rope fish turut mati ketika dia bercuti.
Perkara sama turut dihadapi oleh Safwan Khalid Esa, 30, yang memelihara dan menternak ikan perhiasan.
Kongsi pemuda berasal dari Kluang, Johor itu, dia yang merupakan pembiak ikan laga (betta) sering kehilangan haiwan peliharaannya kerana mati apabila ditinggalkan terlalu lama.
Katanya, sehingga satu tahap dia memilih untuk memendekkan tempoh bercuti kerana takut ikan yang dipelihara di rumah mati atau sakit.
“Inilah risiko yang perlu dihadapi apabila menjadikan ikan sebagai haiwan peliharaan. Apatah lagi jika ikan itu masih kecil, ia sangat cerewet dan memerlukan perhatian yang lebih.
“Bukan sekadar beri makan, kebersihan akuarium juga perlu dijaga kerana ikan jenis perhiasan ini sangat sensitif dengan air kotor,” ujarnya.
Hakikatnya, masalah yang dihadapi oleh Muhammad Mutalib dan Safwan Khalid turut dialami oleh mereka yang mempunyai hobi memelihara ikan.
Bagaimanapun, permasalahan itu akhirnya berjaya diselesaikan mereka berdua apabila mengetahui kewujudan sebuah hotel ikan di Setia Alam.
Hotel ikan yang dikendalikan di bawah label Aqua Nation itu menawarkan tempat penginapan sementara untuk menjaga dan merawat ikan peliharaan. Perkhidmatan yang selesa dan bersih ditekankan.
Memulakan perkhidmatan sejak awal tahun 2021, Aqua Nation dimiliki oleh pemuda tempatan, Muhammad Ezzad Emmir Hariss.
Pada awalnya, ia merupakan sebuah kedai aquarium yang menjual ikan peliharaan dan barang keperluan ikan.
Menurut pemuda berusia 26 tahun itu, idea memulakan perkhidmatan hotel ikan tercetus selepas dia mendengar banyak rungutan tentang masalah dihadapi oleh pemelihara ikan apabila ingin bercuti.
“Saya banyak memberi konsultasi kepada pelanggan tentang penjagaan ikan. Kebanyakan mereka sering berdepan masalah apabila ingin meninggalkan ikan ketika bercuti.
“Melihat kepada masalah berkenaan dan menyedari bahawa tiada khidmat hotel ikan yang ditawarkan di luar sana, kami mengambil inisiatif untuk memulakan perkhidmatan ini.
“Hotel ikan ini dibuka selepas setahun kami memulakan perniagaan kedai akuarium,” katanya yang turut mempunyai hobi memelihara ikan.

Hotel ikan Aqua Nation menerima pelanggan yang memelihara pelbagai jenis hidupan akuatik termasuk udang karang dan kura-kura.
Para pelanggan akan dikenakan caj mengikut saiz akuarium yang diperlukan iaitu bermula dari paling kecil hingga bersaiz 61 sentimeter. Caj yang dikenakan juga amat berpatutan iaitu bermula RM3 hingga RM15 semalam.
Antara ‘bilik’ penginapan yang ditawarkan ialah Betta Single Room, Nano Sharing Room, Nano Deluxe Room, Tropical Sharing Room dan Tropical Suite. Ada bilik yang diinap secara persendirian (private compartment) dan ada bilik yang berkongsi tetapi mempunyai pemisah (divider).
Lebih besar saiz akuarium atau lebih mahal bilik, lebih bagus penapis (top filter) yang disediakan.
Berkongsi tentang cabaran menjalankan hotel ikan, Muhammad Ezzad Emmir memberitahu, terdapat beberapa halangan ketika menjalankan perkhidmatan tersebut.
Jelasnya, banyak perkara perlu diambil perhatian ketika menjaga ikan kerana ia adalah haiwan yang sensitif dan sebarang kesilapan boleh memendekkan jangka hayatnya.
Justeru, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah mengenai jenis ikan yang dihantar oleh pelanggan dan kaedah penjagaannya.
“Penjagaan ikan ini boleh dikatakan agak cerewet kerana ia hidup di dalam air. Oleh itu, kualiti air akuarium sangat kami utamakan setiap kali menerima ikan pelanggan.
“Kami juga akan pastikan ikan yang dihantar ke sini mendapat persekitaran yang hampir sama seperti di tempat asalnya termasuk tahap kandungan mineral di dalam air,” ujarnya.
Tidak hanya menjaga kualiti air, Muhammad Ezzad Emmir juga perlu memastikan kondisi kesihatan ikan pelanggannya berada dalam keadaan baik.
Hal ini kerana Aqua Nation turut memberikan rawatan jika ikan yang diterima daripada pelanggan berada dalam keadaan tidak sihat.
Ulasnya lagi, ikan yang kurang sihat lebih sensitif dan berpotensi untuk mati jika bertukar persekitaran.
“Hayat ikan sukar dijangka, malah tahap kesihatannya juga mudah terjejas. Jadi, kami akan cuba merawat ikan yang dihantar di sini jika tidak sihat.
“Antara cabaran lain dihadapi juga adalah apabila pelanggan menghantar ikan yang masih kecil (anak ikan).
“Pada tahap ini, ia perlu dijaga dengan rapi dan penjagaannya juga agak cerewet,” kongsi graduan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara itu yang turut menawarkan insurans bagi ikan.














