fbpx

Remaja OKU penerima Anugerah Pingat Hang Tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nuraina Erieka (kanan) menerima trofi Anugerah Pingat Hnag Tuah daripada Rina.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Keberanian seorang remaja orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran meredah kepulan asap tebal untuk menyelamatkan adik bongsunya dalam satu kebakaran mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah.

Pingat tersebut dianugerahkan kepada Nuraina Erieka Abdullah, 13, sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor, Kuantan, Pahang, hari ini.

Rakaman sambutan itu turut ditayangkan menerusi Facebook Live Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sempena majlis perasmiannya di Dewan Perdana Nur, KPWKM di sini hari ini.

Menerusi penjelasan pada video rakaman tersebut, kebakaran berlaku di rumah keluarga remaja perempuan itu di tingkat tiga flat Taman Anggerik Desa, Jalan Beserah di Kuantan, Pahang pada 23 September lepas.

Narator video berkata, ketika kejadian, salah seorang penghuni iaitu anak saudara berusia 18 tahun sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam sebelum berlaku kebakaran berikutan kebocoran paip gas.

“Api merebak ke dinding kayu belakang dapur sekali gus kepulan asap memenuhi ruang dapur tersebut.  Susulan itu, semua penghuni di flat tersebut diarahkan keluar dari rumah dan turun ke bawah bagi menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, Nuraina Erieka menyedari adik bongsunya tiada dan difahamkan sedang tidur di dalam bilik. Dia kemudian naik semula ke tingkat tiga untuk menyelamatkan adiknya walaupun terpaksa meredah kepulan asap tebal.

“Justeru, dia telah menunjukkan kesungguhan dan keberanian tinggi menyelamatkan adiknya meskipun dia seorang OKU masalah pembelajaran,” kata narator video tersebut.

Anugerah Pingat Hang Tuah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Selain piala dan sijil, Nuraina Erieka turut menerima hadiah berupa cek bernilai RM5,000.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 dianugerahkan kepada kanak-kanak warga Malaysia yang telah menunjukkan sifat keberanian dan membantu menyelamatkan nyawa manusia, harta benda atau tindakan yang mempunyai elemen keberanian serta luar biasa sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan dan darurat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI