Bolehkah diterangkan apa yang dimaksudkan dengan istibdal harta wakaf dan bagaimanakah syarat-syaratnya?
Jawapan:
Istibdal merupakan proses menukarkan harta wakaf yang terbengkalai atau kurang berfungsi dengan cara menjual harta tersebut untuk menggantikannya dengan harta yang lebih dapat menunaikan tujuan asal pewakaf.
Tujuan istibdal adalah untuk mengelakkan harta wakaf terbengkalai atau kehilangan manfaat yang dimaksudkan oleh pewakaf.
Proses istibdal harta wakaf boleh dilakukan berasaskan nilai, tetapi mestilah dilaksanakan dengan syarat-syarat berikut:
a. Harta wakaf asal musnah atau tidak dapat dimanfaatkan menurut tujuan asal pewakaf atau memerlukan kos yang tidak munasabah untuk dimanfaatkan atau kerana ketidaksesuaian lokasi harta berkenaan untuk dibangunkan.
b. Jualan harta wakaf hendaklah menepati harga pasaran mengikut penilaian pihak yang berautoriti.
c. Mendapat keizinan daripada pihak pemerintah atau pemegang amanah yang sah.
d. Harta wakaf gantian lebih dapat menunaikan maksud asal pewakaf.
Wang yang diperoleh daripada jualan harta wakaf (wang istibdal) adalah dibenarkan untuk digunakan bagi belian harta wakaf yang baharu yang lebih dapat menunaikan tujuan asal pewakaf, atau dapat digunakan untuk membangunkan harta wakaf lain yang sedia ada dengan kadar manfaat asal yang setara atau lebih. Justeru wang hasil istibdal diasingkan menurut tujuan wakaf tersebut.
Pihak pengurus wakaf perlu menjaga niat asal pewakaf dengan menggunakan wang istibdal untuk tujuan yang sama.
Contohnya wang istibdal masjid digunakan untuk pembangunan masjid sahaja, manakala tanah kubur hanya untuk pembangunan tanah perkuburan sahaja.
Bagaimanapun, jika tidak dapat dilaksanakan istibdal mengikut tujuan asal pewakaf disebabkan faktor yang menghalang dan dalam masa yang sama terdapat keperluan lain yang lebih memerlukan, kerana mengandungi maslahat yang lebih jelas, pihak pengurus wakaf dibolehkan menggunakan wang istibdal wakaf untuk selain daripada tujuan asal pewakaf, demi memelihara manfaat dan mengelakkan pembaziran.















