fbpx
SITI NURHALIZA

Siti Nurhaliza ‘sakti’ di hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT panggung konsert eksklusif A Night To Remember disingkap, pancaindera penglihatan hampir 4,000 penonton bagaikan terpukau menantikan penuh keterujaan kemunculan ‘the one and only’ penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Nurhaliza.

Bagai puteri sakti turun dari kayangan bersalut busana warna kuning diraja, Siti tampak bertenaga dengan lagu 7 Nasihat diiringi penari memeriahkan pentas malam pertama konsert di Pusat Konvensyen Persada Johor Bahru (Persada), Johor.

Biarpun masih berdepan masalah kesihatan selepas diserang Covid-19 beberapa bulan lalu, Siti tidak berdepan masalah memberikan persembahan terbaik, malah akan menjadi ingatan buat peminat yang di bumi Jauhar (Johor), Singapura serta Brunei.

Buktinya, persembahan bertemakan A Night To Remember yang berlangsung selama dua malam pada 16 dan 17 Disember lalu berlangsung cemerlang biarpun berakhir lewat malam.

SELAIN seleksi hit balada, kehadiran Siti dalam mana-mana konsert tidak sah jika tidak disulami dengan lagu-lagu irama tradisional yang mengangkat namanya seperti Cindai dan Hati Kama.

Selain 7 Nasihat, Siti mengisi gema konsert penuh memori tersebut dengan enam lagu lain iaitu Terang, Nian Dihati, Bicara Manis, Kuasa Cintamu dan Bukan Cinta Biasa. Segmen pertama turut diperindahkan sebuah lagu sentuhan Heal Husaini, Anta Permana.

Bait lirik berbunyi ‘kekasih tulis namaku, didalam diari hatimu’ daripada lagu Diari Hatimu yang dinyanyikan menerusi segmen kedua merancakkan suhu pentas apabila penonton yang rata-ratanya peminat tegar Siti mula sama-sama menyanyi mengikuti setiap lontaran yang dari bibir penyanyi pujaan mereka itu.

Barisan lagu Aku Bidadari Syurgamu, Seluruh Cinta, Terbaik Bagimu, Janji Kekasih, Kau Kekasihku serta Jaga Dia Untukku seterusnya lunak mengasyikkan halwa telinga dalam segmen kedua konsert.

KEMUNCULAN Aina dan Khai Bahar memberi nilai tambah buat penonton konsert Siti di Persada Johor.

Penyanyi yang kini menginjak usia 43 itu menutup tirai konsert dengan variasi lagu tradisional iaitu Cindai, Hati Kama serta lagu pop rock serta balada, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang dan Seindah Biasa.

“Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah penghargaan saya buat seluruh peminat yang setia meniti perjalanan karier seni saya. Konsert A Night To Remember ini juga satu konsert penutup terindah buat saya untuk sepanjang tahun ini,” titipnya ketika mengundurkan diri dengan lagu terakhir, Rentak 106.

Terdahulu, kemunculan penyanyi lelaki kegilaan ramai, Khai Bahar dengan dengan seleksi lagu Bayang, Luluh dan Oh Wanita pada awal persembahan menyemarakkan suasana dewan utama Persada.

BUSANA tradisional berwarna kuning diraja menyerlah penampilan Siti Nurhaliza saat muncul pada konsert malam pertama.

Penyeri

Tempikan peminat bergelar Ainanations menggamatkan lagi dewan malam sarat emosi tersebut apabila penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul mula beradu suara bersama Khai mempersembahkan Nafas Cinta sebelum Terus Hidup dan Semalam.

Enggan menamatkan kegembiraan sekadar dengan sebuah persembahan, penyanyi dengan deretan 316 trofi anugerah itu menjanjikan khabar gembira akan kembali mengubat kerinduan peminat menerusi satu lagi konsert mega yang dirancangkan tahun depan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perancangan konsert berkenaan telah dimulakan, namun pihaknya masih menunggu kata putus daripada beberapa pihak terlibat sebelum membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, tahun depan saya ada perancangan untuk mengadakan konsert berskala besar, namun untuk menjayakan perkara itu mesti ada perancangan rapi terdahulu.

“Perbincangan berhubung perkara itu sudah dimulakan, cuma tinggal untuk mengesahkan, tunggu ‘akad’ sahaja dan saya akan adakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkara itu,” katanya.

SEORANG penonton tidak melepas peluang merakam foto sewaktu didekati Siti semasa konsert. – RAJA JAAFAR ALI

Puas hati

Sementara itu, seorang pengunjung, Shaidathul Suhana Ros, 37, mengakui berpuas hati dengan persembahan yang disajikan artis terulung tanah air berkenaan.

“Saya mula meminati Siti Nurhaliza sejak berusia 13 tahun menerusi lagu-lagu seperti Jerat Percintaan. Ini merupakan konsert Siti Nurhaliza yang pertama saya saksikan secara langsung.

“Sebelum ini saya hanya melayan lagu-lagu Siti Nurhaliza melalui radio dan dengan cakera padat yang dibeli menggunakan duit belanja sekolah yang disimpan,” katanya.

Seorang lagi peminat, Salmah Yunos, 49, pula berharap karier seni Siti Nurhaliza akan terus bersinar dan jika diberi kesempatan, masih mahu menyaksikan Siti dalam konsert akan datang.

SELEPAS menutup tirai konsert 2022 dengan A Night To Remember di Persada Johor, Siti Nurhaliza menjanjikan sebuah konsert berskala mega menjelang tahun depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN