fbpx
KUGIRAN MASDO

Jalan indah Kugiran Masdo di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah untuk membolosi pasaran hiburan negara seberang. Fakta tersebut diakui Kugiran Masdo meskipun jenama mereka kini meledak dalam kalangan peminat di Indonesia.

Bagi band yang dianggotai empat jejaka, Ali Sariah di posisi vokalis, Putu Ceri (pemain bass), Asmawi (gitaris) dan Azham (dram), khalayak hanya melihat fasa kegemilangan mereka, hakikatnya pelbagai kesulitan perlu ditempuh bagi mencapai kejayaan hari ini.

Selepas melalui 1,001 pengalaman, mereka bersetuju dengan realiti yang diperkatakan ramai iaitu penghibur tanah air sukar untuk menembusi industri hiburan Indonesia.

Itu hakikat perlu ditelan kumpulan yang popular dengan lagu Bunga itu bagi melebarkan sayap ke negara luar.

“Penyanyi mana yang tidak seronok apabila menjadi sebutan peminat negara luar, itu memang impian yang dimahukan semua.

“Memang banyak momen indah dan bangga dengan pencapaian sendiri tetapi hakikatnya pelbagai pengalaman tidak enak juga berlaku di belakang tabir sepanjang menempuh perjalanan untuk berada di posisi sekarang,” kata Ali kepada HibGlam baru-baru ini.

BERJAYA menerobos pasaran seni Indonesia meletakkan Kugiran Masdo setaraf kumpulan muzik ternama tempatan seperti Search dan Iklim yang pernah popular di sana sebelum ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kepayahan

Kongsi penyanyi berusia 30 tahun itu, usaha menerjah pasaran Indonesia bermula sekitar 2020, beberapa bulan selepas pintu sempadan negara dibuka semula usai pandemik.

Awalnya, mereka cuba bergerak sendiri sehingga perlu melalui pelbagai liku untuk memahat nama di sana.

“Benarlah bukan mudah untuk artis Malaysia menjual karya dalam pasaran negara lain walaupun hanya di Indonesia.

“Apa yang kami lalui sepanjang enam bulan selepas sempadan dibuka, bergerak sendiri memang sukar.

“Memang boleh guna tiket sebagai artis indie tetapi tahap kesukarannya lebih tinggi sebab kami sendiri pernah laluinya di Malaysia.

“Bagi mengelakkan kepayahan berulang, kami menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman besar.

“Insya-Allah kami akan kongsi momen indah dan kepayahan tersebut kepada umum satu hari nanti,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Ali atau nama penuhnya Aliff Fahmi Bahtiar memberitahu sambutan yang diberikan peminat Indonesia sangat mengagumkan.

Semangat dan apresiasi mereka terhadap muzik dan pejuang seni juga berbeza.

“Selepas lagu kami tular di sana sejak tahun lalu, sambutan yang diberikan terhadap setiap lagu Masdo oleh peminat di sana memang luar biasa.

“Keghairahan mereka terhadap muzik juga sangat hebat. Sangat menghargai, itulah yang kami dapat simpulkan mengenai peminat Indonesia,” ujarnya.

Teruja berkongsi, Ali berkata, Masdo boleh diibaratkan sebagai kumpulan muzik Malaysia generasi baharu yang berjaya mendapat tempat di sana.

Masakan tidak, dia juga sempat bertanya dengan beberapa peminat di sana, siapakah kumpulan muzik Malaysia yang mereka kenal dan popular di Indonesia. Jawapan diberi ialah Search.

“Jadi, kami sangat bersyukur apabila karya Masdo benar-benar menawan hati mereka.

“Bukan mudah untuk mendapat tempat di sana. Ternyata kuasa media sosial dan viral berjaya melonjakkan jenama Masdo ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya lagi.

EMPAT jejaka ini akan berkongsi pentas bersama band popular Indonesia, The Changcuters sempena konsert Kugiran Masdo X The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Disember ini.

Bahasa, lenggok lagu

Penggunaan bahasa Melayu, lenggok nyanyian dan melodi diketengahkan Masdo merupakan antara faktor yang berjaya menambat hati peminat di republik berkenaan.

Menurut Putu Ceri atau nama sebenarnya Ahmad Azanol Khushairie, sejak lagu Masdo tular dalam media sosial, ada yang menyangka mereka berasal dari Indonesia.

“Memang ramai sangka kami dari Indonesia kerana muzik yang diketengahkan iaitu pop yeh yeh dan irama 1960-an.

“Malah, bahasa Melayu klasik yang digunakan juga antara pendorong wujudnya stigma tersebut.

“Maka, kehadiran kami ke beberapa lokasi dan temu bual bersama stesen radio di sana sebelum ini turut meleraikan tanggapan tersebut sekali gus menjelaskan Masdo merupakan pemuzik Malaysia,” jelasnya.

Bersyukur dengan momentum kerjaya seni Masdo, dia percaya bahawa tanpa rezeki dan tuah daripada Tuhan, semua kejayaan yang diraih pada hari ini tidak akan pernah wujud.

“Semua ini memang tuah dan rezeki sebenarnya. Peminat Indonesia dapat terima lagu kami dengan baik dan itu sudah cukup memadai untuk Kugiran Masdo. Satu penghargaan yang sangat indah,” jelasnya.

Sementara itu, Masdo akan mengeluarkan single baharu hasil penulisan rakan seangkatan, Noh Salleh.

“Jika tiada apa-apa halangan, kami akan lancarkan lagu tersebut pada Januari tahun depan.

“Lagu ini ditulis oleh Noh dan sudah ‘diperam’ lama. Kami jatuh cinta bila dengar dan meminta Noh lagu tersebut.

“Genrenya lari sedikit daripada kebiasaan Masdo ditambah pula dengan susunan muzik lebih segar,” tutupnya.

Kumpulan yang dianggotai Ali, Putu Ceri, Asmawi dan Am ini akan muncul dengan sebuah single duet bersama penyanyi popular dari Singapura tidak lama lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN