SHAH ALAM – Rata-rata pemandu lori tidak bersetuju dengan tindakan majikan yang mengambil sikap sambil lewa mengenai soal keselamatan, namun tiada pilihan kerana perlu bekerja untuk mencari duit.
Seorang pemandu lori dikenali sebagai Halim, 30-an berkata, dia hanya mampu bertawakal apabila mendapati syarikatnya enggan menukar komponen yang telah rosak atas alasan mahu berjimat.
“Saya ada meminta supaya membetulkan brek yang haus, namun dipandang sepi atas alasan ia boleh digunakan lagi dengan ‘mengikat brek’ untuk lepas ujian Puspakom.
“Sebagai pekerja, saya hanya ikut sebab makan gaji. Majikan sudah mempunyai ‘kaki’ untuk tujuan ‘ikat brek’,” katanya.
Menurut Halim, selepas mengikat brek dalam tempoh 20 minit, pihak bengkel akan melakukan memandu uji sebelum diserahkan kepada pemandu untuk pergi Puspakom.

Tambahnya, ‘ikat brek’ dilakukan ketika lori hendak diselenggara dan ada juga kejadian majikan membeli brek terpakai sebelum digunakan terus selepas lulus pemeriksaan.
“Selagi boleh pakai, mereka pakai untuk berjimat. Pemandu memang berdepan dengan bahaya setiap masa,” katanya.
Seorang lagi pemandu lori, Khairul, 40, berkata, masalah brek amat menyulitkan terutama ketika menuruni bukit.
Tambahnya, dia sendiri pernah terbabas di kawasan Genting Sempah beberapa tahun lalu tetapi tidak melibatkan sesiapa.
“Itu baharu lori lima tan, bagaimana yang bawa lagi besar. ‘Ikat brek’ hanya bertahan dalam tempoh lima hari sahaja. Itu pun bergantung kepada perjalanan mereka.
“Memang tawakal sahaja apabila pandu sebab sekarang pun nak cari kerja susah walaupun hanya kerja biasa-biasa,” ujarnya.














