PETALING JAYA – Hiba hati seorang lelaki apabila anak dalam kandungan isterinya meninggal dunia disebabkan kecuaian pemandu lori yang memandu laju hingga mengakibatkan muatan dibawanya terjatuh lalu menimpa kenderaan mereka.
Kejadian pada pukul 10.45 pagi di laluan Gerik-Jeli, Kelantan pada 29 Oktober lalu itu berlaku ketika pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas menziarahi saudara di Kuala Krai.
Mengimbau semula kejadian itu, lelaki yang dikenali sebagai Koh, 29, berkata, kemalangan itu mengakibatkan kenderaan utiliti sukan jenis Subaru Forester yang mereka naiki terbabas ke dalam parit akibat ditimpa muatan seperti simen.

“Kejadian itu telah meragut nyawa bayi sulung kami yang berusia 34 minggu di dalam kandungan. Isteri saya pula cedera parah apabila rahimnya pecah, tulang belakangnya terbelah, tiga tulang rusuk patah, otak dan hatinya cedera.
“Saya nampak lori itu dipandu laju dan senget ketika melalui selekoh. Saya kurangkan laju tetapi masih tidak dapat elak apabila lebihan muatannya jatuh lalu menimpa kereta kami,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Koh, tulang belakang dan giginya turut patah manakala empat lagi kenderaan turut rosak akibat kecuaian pemandu lori tersebut.
Tambahnya, dia dan isteri dihantar ke Hospital Jeli atas bantuan orang awam. Isterinya pula dirawat di Unit Rawatan Rapi selama tiga hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama 20 hari.
“Saya dan isteri dijangka menyambut kelahiran bayi pertama tidak lama lagi tetapi disebabkan kejadian itu dan pihak syarikat pengendali yang tidak mementingkan keselamatan, zuriat sulung kami tidak dapat dilahirkan.
“Saya tidak akan memaafkan mereka. Sehingga kini, tiada sesiapa pun daripada pihak berkaitan datang untuk meminta maaf atau tanya khabar,” luahnya.
Ujar Koh, kini dia dan isteri masih berada di rumah saudara mereka di Kelantan untuk berehat sementara selepas dibenarkan keluar dari hospital bulan lalu.
Bercerita lanjut, Koh berharap agar pemandu serta pihak syarikat pengendali bertanggungjawab dan segera tampil menjelaskan segalanya.
“Apa yang membuatkan saya marah apabila pemandu lori melarikan diri sebelum ditahan polis dalam sekatan jalan raya di sekitar Jeli,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap agar pemandu dan pihak berkaitan mendapat balasan setimpal dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya. – KOSMO! ONLINE
















