fbpx
GRIL hadapan tanpa bingkai serta lampu siang (DRL) seperti taring singa antara pembaharuan yang dilakukan pada model 3008.

‘Anjakan’ rekaan lebih agresif model SUV 3008

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA bulan November tahun lalu, pengedar jenama Peugeot di Malaysia, Bermaz Auto Alliance Sdn. Bhd. telah melancarkan model 3008 yang telah dipertingkat.

Baru-baru ini penulis telah berpeluang untuk memandu uji model 3008 Allure iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Perancis tersebut selama beberapa hari.

Model pemasangan tempatan (CKD) di kilang di Gurun, Kedah itu telah mengalami perubahan yang besar terutama pada gril hadapan tanpa bingkainya selain lampu siang (DRL) seperti taring singa.

Lampu hadapan yang direka semula bagi kelihatan agresif itu menggunakan teknologi LED bersama lampu membelok. Pada bahagian belakang pula, lampunya telah dinaik taraf kepada LED penuh dan efek 3D.

Selain itu, model ini turut menawarkan pintu ruang kargo berkuasa elektrik. Pada bahagian sisi pula, 3008 Allure ini menggunakan rim Los Angeles berukuran 18 inci.

Masuk ke ruang kabin SUV ini, ia menawarkan ciri-ciri Peugeot i-Cockpit yang dilengkapi skrin 12.3 inci, stereng yang kompak dan skrin sentuh 10 inci.

Butang-butang kawalan dengan gaya piano tersedia untuk mengawal fungsi penghawa dingin, navigasi, telefon dan lampu kecemasan.

Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto juga hadir sebagai standard. Pengecas tanpa wayar juga terletak di konsol tengah.

Walaupun ruang dalaman SUV ini, kebanyakannya menggunakan warna gelap tetapi ia masih selesa dan memberikan rasa luas kerana wujudnya cermin suria dan panoramik.

Ciri-ciri menarik lain seperti lampu mood, paddle shifter, penghawa dingin dua zon, tempat duduk kulit dengan kawalan elektrik (untuk pemandu dan penumpang hadapan), brek parkir elektrik dan mod sport.

REKAAN sisi SUV ini yang tampak tersendiri.

Ruang kargo di belakangnya menawarkan ruang simpanan bersaiz 591 liter. Tidak cukup? Tempat duduk belakang boleh direbahkan dan ruang maksimum bersaiz 1,670 liter dapat diwujudkan.

Model ini menggunakan enjin 1.6 liter turbo dengan transmisi enam kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 165hp dan tork 240Nm.

Enjin ini menawarkan pemanduan yang selesa dan dalam masa yang sama memberikan kuasa secukupnya. Ia sesuai digunakan pada pemanduan bandar atau pun di lebuh raya.

Di atas kertas, kelajuan maksimum 3008 Allure ini boleh mencapai 205 kilometer sejam (km/j). Penggunaan bahan api yang dicatatkan ialah 7.9 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km). Sekadar makluman, model ini menggunakan tangki petrol bersaiz 53 liter.

Teknologi keselamatan yang hadir bersama 3008 ini terdiri daripada Visiopark 1 yang merupakan kamera belakang 180 darjah, kemudahan Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning,

Speed Limit Recognition, selain Advanced Grip Control yang membolehkan sistem kawalan traction mengawal lima grip mod seperti Normal, Snow, Mud, Sand dan ESP off.

Selain itu, ia juga mempunyai enam beg udara keselamatan, sistem Anti-lock Braking System, Electronic Stability Program, Electronic Brake-Force Distribution, Emergency Brake Assist, Dynamic

Stability Control dan Anti-Skid Regulation.

Kesimpulannya, selepas sekian lama berada di pasaran, jenama Peugeot masih mengekalkan tradisi dan kualitinya. Dalam masa sama, ia masih mengikut arus teknologi dengan memastikan kenderaan-kenderaan mereka tidak ketinggalan zaman.

Pengalaman pemanduan yang berbeza ditawarkan mampu untuk memikat golongan pembeli yang inginkan kelainan dari segi faktor pemanduan dan reka bentuk.

Dengan harga yang ditawarkan, penulis percaya model ini mampu bersaing dengan pesaing-pesaing lain dalam kategori sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN