KELMARIN berakhirlah penantian selama lebih dua dekad Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui tampuk pemerintahan negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10 Malaysia.
Pelantikan figura berusia 75 tahun itu bukan saja meleraikan teka-teki individu yang bakal menduduki ‘kerusi panas’ tersebut selepas berlakunya fenomena Parlimen tergantung rentetan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November lalu menyaksikan tiada parti meraih majoriti mudah, tetapi turut menoktahkan perjalanan panjang Anwar selepas hilang gelaran Timbalan Perdana Menteri pada 1998, dengan kisah manis.
Campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membolehkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan dan seterusnya membawa kepada pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar sebagai PM.
Usai istiadat mengangkat sumpah sebagai PM di Istana Negara pada pukul 5 petang kelmarin, Anwar terus mengadakan satu sidang media pertamanya sejak bergelar PM di Sungai Long Club House, Kajang, Selangor.
Selaras dengan perjuangan untuk rakyat yang dilaung-laungkan sebelum ini, dalam sidang akhbar itu, Anwar tetap menyatakan pendiriannya tidak akan terima gaji PM. Kata beliau, langkah itu diambil bagi memulihkan keyakinan rakyat.
“Saya juga akan menghentikan penyalahgunaan kuasa dan membela nasib semua rakyat di negara ini terutamanya golongan yang masih mengharapkan ‘sesuatu’ daripada kerajaan,” ungkapnya.
Mengimbau kembali sejarah hidupnya, Anwar yang dilahirkan di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School.
Pengajian persekolahan menengahnya pula di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966.
Pada 1967, beliau melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Pengajian Melayu (Sastera).
Anwar menjadi Presiden Pelajar Persatuan Bahasa Melayu UM pada tahun 1968.
Sewaktu di UM, Anwar mula melibatkan diri secara aktif sebagai aktivis pelajar selepas dilantik menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1968 hingga 1971.
Beliau juga merupakan pengasas bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 serta dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Menurut penganalisis politik veteran, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain, sejak di zaman universiti, Anwar sebagai aktivis pelajar telah menunjukkan ketokohan dan bakat kepimpinannya.
Kebolehan Anwar berpidato di hadapan khalayak telah meningkatkan populariti dan pengaruh beliau dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu.
Ahmad Atory yang juga pengikut ABIM pada ketika itu memaklumkan, Anwar mampu berpidato dengan baik bukan sahaja dalam bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris sehingga membuatkan ramai pemimpin atasan terpesona.
“Saya melihat Anwar sebagai susuk yang sangat berketerampilan. Kebanyakan daripada kami pada ketika itu terpukau dengan kepetahannya berkata-kata ketika berada di atas pentas. Malah, dia pernah berhujah sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad terdiam.
“Gaya dan bahasa yang digunakan Anwar ketika berpidato tidak ubah seperti bekas Presiden Indonesia, Sukarno. Ucapannya cukup bersemangat dan ‘berapi-api’. Ketika itu lagi saya sudah merasakan Anwar bakal menjadi pemimpin negara pada satu hari nanti,” katanya.
Cerita Ahmad Atory lagi Anwar juga bijak memanfaatkan ‘tiket’ sebagai aktivis pelajar dan pengasas ABIM untuk ke luar negara menjalin persahabatan yang erat dengan beberapa pemimpin persatuan Islam di sana.

Antaranya termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdorgan dan bekas Presiden Libya, Allahyarham Muammar Gaddafi.
Anwar juga gemar membaca bahan bacaan ilmiah dari Asia Barat. Justeru, tidak hairanlah Anwar cukup popular di sana.
Sewaktu menjadi pemimpin pelajar, Anwar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tiga tahun (1974 hingga 1976) kerana demonstrasi jalanan di UM berhubung kemiskinan tragis di Baling, Kedah.
“Saya turut sama dalam demonstrasi berkenaan. Saya dapat melihat sendiri detik Anwar ditahan. Ketika itu, suasana cukup tegang. Mujur, saya sempat lari pulang ke kampung di Kampar, Perak,” ujarnya.
Selepas keluar dari tirai besi di Kemunting, Perak, Anwar mengambil keputusan mengejut menyertai UMNO yang diketuai oleh Tun Mahathir selaku PM sejak 1981.
Beliau tidak menunggu lama untuk melebarkan sayapnya dalam UMNO. Kerjaya politiknya menjadi cemerlang dan setahun selepas menyertai parti itu, Anwar dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.
Setahun selepas itu, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986. Ketika itu, Anwar berkemungkinan besar akan dilantik Timbalan
Perdana Menteri (TPM) setelah memegang portfolio Menteri Pendidikan.
Ternyata ramalan tersebut menjadi realiti, apabila Anwar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 selepas dipilih sebagai Naib Presiden UMNO menewaskan Tun Ghafar Baba.
Setelah menjadi orang kedua terpenting dalam negara, hubungan Anwar dan Tun Mahathir dilihat cukup akrab seperti isi dengan kuku dan ibarat hubungan anak dengan bapa sehingga berjaya memacu Malaysia menjadi negara Tiger Economy.
Beliau juga pernah dilantik sebagai PM sementara sewaktu Tun Mahathir memutuskan untuk mengambil cuti selama dua bulan pada tahun 1997.
Setelah itu, hubungan Anwar dan Tun Mahathir merosot akibat perbezaan pandangan semasa mentadbir negara.
Anwar juga semakin lantang bersuara mengkritik budaya nepotisme dan kronisme sebagai punca utama rasuah dan penyalahgunaan bajet negara.
Anwar dipecat daripada UMNO dan kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998. Peristiwa tersebut juga telah mendorong kelahiran gerakan Reformasi di ibu kota dan seluruh negara.
Beliau dipenjara pada tahun 1999, namun menjadi pengaruh besar kepada Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan DAP.
Selepas 10 tahun tidak menceburi bidang politik, Anwar kembali menjadi anggota Parlimen selepas memenangi pilihan raya di Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas peletakan jawatan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pada 2008, Anwar telah mencatat sejarah sebagai satu-satunya warga Malaysia tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time.
Bagaimanapun, pada 2015, Anwar sekali lagi ‘masuk ke dalam’ selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
Selepas kemenangan luar jangkaan PH dalam PRU14 , Anwar telah menerima pengampunan diraja daripada Sultan Muhammad V, sebelum dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018.
Sebaik dibebaskan, Anwar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson dan menang besar dengan majoriti 23,560 undi bagi membolehkannya kembali ke Parlimen.
Penantian penuh seksa Anwar sampai ke penghujungnya selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 kelmarin.
Pastinya, harapan seluruh rakyat terhadap Anwar cukup besar bagi mengembalikan Malaysia ke landasan tepat bagi memacu negara mendepani pelbagai permasalahan terutama berkait ekonomi dan kos sara hidup.
















