SETELAH melangkah masuk ke panggung persembahan, sekumpulan lelaki yang segak bertengkolok di kepala terus duduk bersila di tempat masing-masing.
Tidak lama selepas itu, alunan muzik dimainkan dan mereka kemudian menyanyi sambil menggerakkan lengan, tangan dan anggota badan seolah-olah menari mengikuti irama muzik dimainkan sambil diselang-selikan dengan tepukan secara seragam.
Kumpulan itu mempersembahkan seni dikir barat dengan penuh semangat bagi menghiburkan penonton Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’ Kisah Hang Tuah di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Berbeza dengan sebelum ini, persembahan dikir barat pada malam itu telah disuntik dengan sentuhan teknologi yang diarahkan oleh Mohd. Sulhie Yusuf iaitu pengasas akademi Arjunasukma.
Dia yang lebih dikenali sebagai Abe Yie berkata, dikir barat merupakan sebuah seni persembahan tradisional yang merangkumi nyanyian, berbalas pantun dan tepukan.
Menurutnya, sesebuah kumpulan dikir barat terdiri daripada Tok Jogho iaitu penyanyi, tukang karut iaitu penyampai pantun secara spontan, awak-awak dan pemuzik.
“Untuk memulakan persembahan, Tok Jogho akan melantunkan bait-bait kata yang mengajak penonton untuk terus memelihara tradisi budaya ini.
“Tukang karut menyahut seruan secara spontan dengan pelbagai melodi dan awak-awak akan mengulangi setiap patah perkataan yang dilagukan oleh tukang karut,” katanya.
Tambahnya, tepukan dan nyanyian awak-awak menyatukan persembahan melalui keseragaman suara.
Dalam pada itu, Abe Yie yang telah terlibat dengan dikir barat sejak berusia 10 tahun menjelaskan, dia sentiasa ingin membawa kelainan pada persembahan dikir barat.
Katanya, ia bertujuan untuk memberi kelainan, sekali gus membolehkan seni persembahan itu dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.
“Dari situ saya fikir, dikir barat ini perlu menerima suntikan teknologi bagi memberi satu bentuk persembahan lebih menarik.
“Jika ada unsur teknologi disuntik pada persembahan ini, saya percaya ia mampu menarik perhatian masyarakat luar,” jelasnya.
Abe Yie menambah, usahanya untuk menyuntik sentuhan teknologi terhadap persembahan dikir barat telah mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Persembahan tersebut telah menggabungkan tiga elemen teknologi iaitu projection mapping, holographic dan motion capture tanpa menjejaskan asas kesenian dikir barat itu sendiri.
Holographic adalah teknologi fotografi dan videografi yang merakam cahaya yang tersebar dari suatu objek, sebelum dipaparkan dalam bentuk dua atau tiga dimensi (3D).
Gambar atau video tersebut dapat dilihat dengan pergerakan animasi dan suara agar dapat menyampaikan persembahan secara realtime.

Sementara itu, projection mapping pada asasnya menggunakan projektor video yang sering digunakan ramai.
Apa yang membezakannya, projection mapping ditayangkan pada permukaan skrin rata, cahaya daripada projektor boleh diarahkan ke mana-mana permukaan dan menukar objek 3D menjadi paparan interaktif.
Sementara itu, motion capture merupakan kaedah moden yang digunakan untuk merakam dan mendeskripsikan gerakan dalam animasi komputer.
Biasanya, ia digunakan dalam pembuatan filem, permainan video, kesihatan, robot dan sebagainya.
Teknologi itu menggunakan sensor dan kinect yang akan menangkap gerakan.
Jadi, pengguna tidak perlu menyentuh secara langsung, sebaliknya hanya dengan melakukan gerakan.
Dalam pada itu, Abe Yie berkata, idea mengadakan persembahan dikir barat tersebut tercetus sejak awal tahun ini.
Katanya lagi, pihaknya telah melaksanakan kursus kepada para pendikir pada Julai lalu.
“Selepas membentangkan kertas kerja dan mendapat kelulusan JKKN, kami mengadakan kursus komputer serta teknologi kepada pendikir.
“Ini kerana jarang pendikir ada kemahiran komputer. Cuma ada sebahagian daripada mereka yang mempunyai asas.
“Jadi, kami telah mengadakan kursus selama tujuh hari untuk menambah ilmu berkaitan teknologi kepada pendikir,” jelasnya.
Tambahnya, biarpun berjaya menghasilkan gabungan persembahan seni dan teknologi, dia serta pasukan dikir barat tidak terlepas daripada berdepan cabaran.
Dengan bertemakan kisah legenda Hang Tuah, setiap pendikir juga memerlukan latihan persilatan.
Dia menjelaskan, dunia dikir barat dan silat adalah berbeza serta memerlukan teknik yang betul.
Justeru, ia sesuatu yang mencabar apabila ada pendikir tidak mempunyai asas dalam silat.
Hal ini kerana mustahil pendikir mampu bermain senjata tanpa ilmu seni mempertahankan diri itu.
Abe Yie berkata, pihaknya juga memberi fokus kepada jalan cerita dan latihan silat selama sebulan, sebelum membuat persembahan tersebut.
Menurutnya, kos bagi menjayakan persembahan dikir barat dengan sentuhan teknologi itu menelan belanja lebih RM100,000.
Sementara itu, Abe Yie berkata, pihaknya dan para penggiat seni dikir barat sedia mengangkat cerita lain terutama berkisar sejarah pada masa akan datang.
“Kami bersedia untuk mengangkat kisah lain pula mengikut kehendak para penonton dalam persembahan dikir barat pada masa akan datang.
“Walaupun kami menyuntik elemen teknologi dalam persembahan ini, namun keaslian dikir barat masih dikekalkan,” katanya.
Malah, sebelum melakukan sentuhan teknologi itu, Abe Yie sendiri telah berjumpa dengan ‘otai-otai’ dikir barat di Kelantan bagi mendapatkan pandangan mereka.
Katanya, mereka tidak kisah jika ingin menyelitkan elemen teknologi, asalkan keaslian dikir barat itu tidak hilang dan terjejas.
Dalam pada itu, Abe Yie berkata, persembahan tersebut telah memberi satu dimensi baharu kepada dikir barat.
“Penonton bukan hanya dapat melihat seni persembahan dikir barat, malah mereka berpeluang menonton kisah-kisah sejarah yang menjadi cerita utama dalam persembahan ini,” terangnya.














