PENGUNJUNG perlu mengimbangi badan sebelum dapat memukul bulu tangkis ketika bermain badminton di Shuttle At Sea.

Gelanggang badminton terapung pertama dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPENATAN membelah lautan samudera hampir 50 minit dengan menaiki bot laju dari Jeti Merang di Setiu bagaikan tidak terasa.

Pun begitu, perasaan takut, khuatir, teruja dan seronok mula menerobos jiwa wanita berusia 59 tahun itu saat menjejakkan kaki betul-betul di hadapan resort ternama, The Taaras Pulau Redang baru-baru ini.

Pelbagai perasaan hadir dan bercampur menjadi teruja usai melihat sebuah gelanggang badminton berwarna biru muda terbentang luas di atas laut berdekatan jeti kecil tempat dia diturunkan.

“Ini bukan kali pertama saya ke pulau dan bukan kali pertama juga saya menjejakkan kaki ke Pulau Redang.

“Namun kali ini, perasaan tersebut lain daripada yang lain. Gejolak perasaan seakan-akan tidak keruan. Tidak tahu bagaimana untuk saya ungkapkan,” ujar Dr. Kamarul ‘Ain Mustafa kepada K2 saat memulakan perbualan.

Jelas pensyarah di Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin itu, dia bersama seorang bekas anak didiknya ke Pulau Redang untuk mengikuti pakej percutian 4 hari 3 malam di pulau peranginan itu.

Menariknya, pakej percutiannya kali ini cukup berbeza daripada sebelumnya. Aktiviti kali ini bukan hanya tertumpu kepada sukan air, malah turut diselitkan satu aktiviti yang bakal menguji adrenalin semua.

“Pakej percutian saya di The Taaras kali ini turut diselitkan dengan aktiviti bermain badminton di atas gelanggang terapung yang dibina di atas laut berhadapan resort.

“Biasanya kita ke pulau pasti tidak terlepas dengan aktiviti air seperti senam snorkel, senam skuba, mandi-manda dan aktiviti air lain, namun kali ini dapat bermain badminton di atas laut juga,” katanya.

Berkongsi dan menceritakan pengalamannya, anak jati kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu hingga kini seakan-akan tidak percaya dan bagaikan mimpi bahawa dirinya pernah bermain badminton di atas laut.

KEINDAHAN pulau dan pantai di The Taaras, Pulau Redang memberi nilai tambah kepada resort terkemuka tersebut untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Katanya, sebanyak dua modul diberikan kepada setiap pengunjung dan ditunjuk ajar sepenuhnya oleh jurulatih profesional yang dilantik bermula dari hari pertama.

“Kumpulan saya pada ketika itu berjumlah kira-kira 20 orang. Jadi kami dilatih dan diberikan latihan mengikut modul yang ditetapkan. Sepanjang latihan memang ada saja gelak tawa yang terselit.

“Modul pertama lebih kepada asas kepada badminton dan bagaimana untuk mengimbangkan badan ketika berada di atas gelanggang terapung itu.

“Modul kedua pula kami diajar bagaimana cara untuk menerima serta membalas pukulan bola tangkis daripada pihak lawan dari pelbagai sudut seperti celah kelengkang, belakang badan, atas dan sebagainya,” ujarnya teruja.

Jelasnya lagi, setiap kali modul latihan diberikan, setiap kali itu jugalah peserta akan dipanggil seorang demi seorang untuk mempraktikkan di atas gelanggang dikenali Shuttle At Sea itu bersama jurulatih.

Perancangan teliti

Bercerita lanjut mengenai bagaimana tercetusnya idea untuk membina gelanggang badminton terapung pertama di dunia itu, pengasas dan bekas pemain badminton kebangsaan Rusia, Irina Inozemtseva ada butirannya.

Jelas Irina, dia dan pasukannya dari Malaysia Badminton Experience (MBE) sudah lama merancang untuk membina sebuah gelanggang badminton terapung pertama di dunia.

“Idea tersebut mula tercetus pada awal Januari tahun ini dan ia terus dibangunkan dengan menentukan rekaan, tempahan material gelanggang yang diimport dari Korea dan London. Ia siap sepenuhnya Ogos lalu dengan menelan belanja lebih daripada RM50,000 tidak termasuk kos buruh.

“Kami inginkan kelainan dan keunikan yang boleh menjadi tarikan baharu buat pengunjung. Bukan sahaja beriadah dan menikmati keindahan panorama semula jadi, mereka juga boleh mencabar adrenalin dengan bermain badminton di atas air,” katanya.

Menurutnya, gelanggang badminton seberat 300 kilogram dengan 8.8 meter panjang dan empat meter lebar itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan orang untuk diangkat sebelum dipasang di atas laut mengikut spesifikasi ditetapkan.

Jelasnya, idea untuk membuka sebuah gelanggang badminton terapung dan berkonsep terbuka di atas laut itu tidak akan berjaya dilaksanakan jika tidak mendapat kerjasama daripada resort tersebut.

“The Taaras amat mengalu-alukan dan menerima idea kami sejak dari awal perbincangan, proses pembinaan hinggalah perasmian dan pembukaan kepada pengunjung.

“Lokasi The Taaras itu sendiri sangat strategik dan mempunyai lagun yang begitu indah dan cantik serta selamat untuk semua daripada pelbagai aspek.

“Dalam erti kata lain, kami ingin menyampaikan mesej bahawa aktiviti badminton boleh dilakukan di mana sahaja tidak kira di daratan mahupun lautan sekali gus memupuk minat kesukanan dalam diri,” ujarnya.

Aspek keselamatan

Ditebak dan dicelah mengenai ciri-ciri keselamatan, Irina menyatakan gelanggang tersebut dibina dan dibangunkan dengan teknologi tertentu dan segala aspek keselamatan menjadi keutamaan serta telah diuji sebelum dibuka kepada umum.

IRINA (tengah) bersama pasukannya yang menjadi tunggak kepada penubuhan Shuttle At Sea di resort The Taaras, Pulau Redang. – KOLEKSI MBE

Menurutnya, keselamatan diambil kira daripada pelbagai sudut termasuk gelanggang itu sendiri dan juga faktor kelajuan angin serta ketinggian air selain tidak memusnahkan sebarang hidupan marin dan laut.

Bukan itu sahaja, Irina memberitahu, sebelum dibuka kepada umum, pihak MBE sendiri telah menguji semua aspek keselamatan selama berbulan-bulan lamanya bagi memastikan ia benar-benar selamat dan selesa digunakan.

Meneruskan perkongsian, Irina turut menyatakan aspek penyelenggaran gelanggang sentiasa dipantau dari semasa ke semasa oleh kumpulan yang ditugaskan.

Tambahnya, majlis pelancaran secara sederhana pembukaan gelanggang itu telah berlangsung pada Ogos lalu dan pada 1 hingga 4 Oktober merupakan program fasa pertama yang dibuka khas bagi orang awam untuk merasai sendiri pengalaman menerusi pakej yang disediakan.

“Bagi program pertama yang baru dilangsungkan baru-baru ini, kami menerima pelbagai respons dan maklum malas positif berkenaan gelanggang terapung tersebut.

“Rata-rata daripada pengunjung meluahkan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang bermain badminton di atas laut buat pertama kali, sekali gus memahat kenangan terindah yang tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Modul latihan

Bercerita mengenai modul dan latihan, salah seorang jurulatih profesional Muhammad Syawal Mohd. Ismail, 29, berkata, dia dan beberapa rakan sejawatnya di bawah MBE diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan buat pengunjung.

Katanya, sebagai jurulatih, dia perlu peka terhadap kualiti latihan di gelanggang terapung tersebut kerana ia sangat berbeza dari latihan di gelanggang sebenar.

“Kami perlu memastikan setiap peserta mendapat dan merasai pengalaman menyeronokkan daripada program ini.

“Objektif kami adalah untuk memastikan semua peserta mendapat ilmu yang terbaik dalam sukan badminton tanpa mengira lapisan umur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN