Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Perubahan sikap seorang budak perempuan 12 tahun menjadi murung membongkar rahsia dia telah diperkosa lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini pada akhir bulan lalu.
Murid tahun enam sebuah sekolah di daerah ini tersebut mendakwa telah diperkosa kesemua suspek termasuk seorang pelajar tingkatan empat pada pukul 9 malam, 29 September lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kelima-lima suspek berusia 16 hingga 23 tahun telah ditahan di sekitar daerah ini pada pukul 5 pagi hingga 6.30 pagi tadi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal untuk mengambil ibunya yang berniaga di sebuah pasar malam.
“Motosikal ditunggangi mangsa didakwa telah dihimpit sebuah motosikal lain yang dinaiki dua daripada lima suspek berkenaan sebelum diarahkan berhenti di tepi jalan.
“Mangsa kemudiannya diarah membonceng motosikalnya yang ditunggangi salah seorang suspek yang dikenali sebelum di bawa ke sebuah ladang kelapa sawit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, budak perempuan itu mendakwa telah dirogol oleh kelima-lima lelaki berkenaan. – K! ONLINE














