WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan kelmarin bahawa hubungan Elon Musk dengan negara-negara asing ‘wajar’ disiasat, ketika timbul persoalan mengenai pegangan Arab Saudi dalam pengambilalihan laman sosial Twitter.
“Saya fikir kerjasama dan/atau hubungan teknikal Musk dengan negara-negara lain patut diteliti.
“(Ia bagi mengenal pasti) sama ada beliau ada melakukan sesuatu yang tidak wajar. Saya bukannya menuduh beliau melakukan perkara tersebut,” kata Biden ketika menjawab soalan wartawan.
Laporan bulan lalu menyatakan bahawa pentadbiran Biden menimbang untuk melakukan semakan keselamatan terhadap pengambilalihan Twitter sebanyak AS$44 bilion (RM207 bilion) oleh Musk. Kejayaan pengambilalihan itu dikatakan berikutan sokongan oleh sebuah kumpulan pelabur utama.
Para pelabur terbabit termasuk Putera Alwaleed bin Talal dari Arab Saudi dan dana kekayaan negara Qatar.
Dua Senator AS menyeru agar perjanjian pengambilalihan Twitter disemak semula bagi menghalang platform itu daripada mengakses maklumat pengguna yang boleh membahayakan aktivis-aktivis hak asasi manusia dan pengkritik kerajaan Arab Saudi.
“Kita harus bimbang kerana Arab Saudi yang cenderung menindas ucapan politik dan memberi kesan terhadap politik AS, kini merupakan pemilik kedua terbesar platform Twitter,” kata Senator Connecticut, Chris Murphy.
Musk juga memberikan ulasan positif mengenai Presiden Vladimir Putin di sebalik pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Beliau juga mengundang kontroversi apabila mencadangkan pulau pemerintahan sendiri, Taiwan menjadi sebahagian daripada China. Kenyataan itu dialu-alukan oleh Beijing tetapi yang sangat menimbulkan kemarahan Taipei.
Pengkritik-pengkritik mendakwa bahawa beliau mempunyai hubungan perindustrian dengan China. Syarikat kereta elektrik Tesla milik Musk telah meningkatkan pengeluaran ke tahap tertinggi di kilangnya di Shanghai. – AFP














