fbpx
CALON yang masih dalam edah dilarang keluar berkempen kerana ia bukan satu keperluan hidup. – Gambar hiasan

Hukum calon PRU wanita dalam edah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bertalu-talu soalan daripada wartawan dan orang ramai yang bertanya kepada saya berhubung dengan calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di Perlis yang masih dalam edah akibat kematian suami. Dia pula tinggal di negeri lain dan datang ke Perlis untuk kempen PRU kali ini. Apakah pandangan hukum dalam hal ini? Bagi menjawab persoalan ini, sebutkan nota-nota berikut:-

Jawapan:

1) Wanita yang kematian suami, wajib berada dalam edah selama empat bulan 10 hari. Ini adalah titah perintah al-Quran dan al-Sunnah.
Hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika dia mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234: “Dan
orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan sepuluh hari.”

2) Adapun bagi yang mengandung dan melahirkan anak, firman Allah dalam Surah al-Talaq ayat 4: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh edahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” Kisah Subai’ah al-Aslamiyah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim menunjukkan wanita kematian suami yang melahirkan anak dikira tamat edahnya walaupun kurang dari tempoh empat bulan 10 hari.

3) Kewajipan berada dalam edah ini telah jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak (kesepakatan tanpa kecuali) para mujtahidin. Semua ulama telah ijmak bahawa larangan yang paling wajib dipatuhi dalam tempoh tersebut adalah tidak boleh bernikah. Dalam masa yang sama, majoriti ulama bersepakat bahawa larangan lain yang mesti dipatuhi adalah tidak boleh keluar rumah melainkan jika ada keperluan yang dibenarkan. Demikian juga, wanita dalam edah kematian dilarang bersolek atau memakai perhiasan yang tidak sesuai dengan sifat wanita kesedihan akibat kematian suami.

4) Adapun dalil wanita dalam edah kematian suami wajib berada di rumah dan tidak meninggalkannya tanpa alasan yang dibenarkan syarak ialah hadis Furai’ah binti Malik yang mana Rasulullah SAW memerintahkannya kekal di rumahnya hingga selesai tempoh edah. Sabda Nabi SAW kepadanya: “Kekal di rumah kamu sehingga habis tempoh edah.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Sahih).

5) Majoriti ulama menyebut wanita kematian suami hendaklah kekal tinggal di bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami isteri) dalam tempoh tersebut. Sementara ada yang menyatakan dia boleh memilih sesuatu rumah sebagai tempat tinggalnya semasa tempoh tersebut dan kekal di situ sehingga tamat edah. Ini terutama apabila suami tidak menyediakan rumah untuknya atau tidak meninggalkan rumah yang menjadi miliknya, atau disewa untuknya atau rumah yang ditinggalkan suami itu bahaya atau tidak selamat. Maka, dia memilih tempat tinggal yang sesuai untuk dirinya dalam tempoh berkenaan.

6) Wanita dalam edah kematian boleh keluar rumah untuk keperluan dirinya yang tidak dapat dilunaskan melainkan terpaksa keluar rumah. Ini khususnya untuk urusan kerja bagi yang jika dia tidak keluar akan menggugat pendapatannya meneruskan kehidupan. Begitu juga untuk perubatan dan keselamatan diri. Demikian juga urusan yang memerlukan hanya dia sahaja dan pihak lain tidak dapat uruskan. Jika dia tidak melakukannya ia akan memberikan kesusahan kepada pihak lain. Para fuqaha menyebut jika dia keluar, hendaklah dia pulang bermalam di rumahnya.

7) Larangan untuk wanita dalam edah kematian bersolek dan berhias diri yang tidak menunjukkan sikap dukacita di atas kematian suami. Ini seperti yang diriwayatkan oleh isteri Nabi SAW Umm Salamah bahawa Baginda bersabda: “Wanita yang kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang dicelup dengan ‘asfar (safflower) atau dicelup dengan masyq (warna merah), tidak boleh memakai perhiasan, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak.” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dll. Sahih)

Dalam riwayat lain, tidak boleh memakai wangian. Ini bukan bermaksud menyuruh wanita dalam edah serabut dan busuk. Namun, yang dimaksudkan ialah agar tidak menggambarkan kehendaknya untuk memikat pasangan baru atau untuk berkahwin. Dia memakai sekadar keperluan sahaja bukan persiapan untuk mendapatkan lelaki baru sebelum edah tamat. Dalam tempoh edah, dia hanya memakai biasa yang tidak menunjukkan hasrat untuk mendapat pasangan baharu. Ini sebagai menghormati perkahwinan yang lepas dan tanda dia wanita yang baik. Selepas tamat tempoh dia boleh melakukan hal itu.

8) Maka dengan itu seseorang calon wanita dalam edah kematian tidak boleh keluar bait al-zaujiyyah (rumah kehidupan suami isteri) atau rumah yang dia menetap dalam tempoh edah, jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya. Dia tidak boleh keluar daripadanya tanpa keperluan dalam meneruskan kehidupannya. Keluar kempen pilihan raya bukan keperluan hidup yang jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas.

Hidup seseorang tidak bergantung kepada hal tersebut kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya. Orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadiran dia berkempen. Dalam konteks semasa hari ini, pilihan raya hanyalah perebutan kuasa bukan survival kehidupan seseorang. Bahkan, banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung pada orang tertentu sahaja.

9) Pun begitu, seseorang calon wanita dalam edah kematian tetap boleh berkempen di rumahnya sama ada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada. Dalam masa sama, dia perlu ingat tentang larangan bersolek dan berhias yang disebutkan oleh Rasulullah. Maka kemunculannya dalam sosial media atau di talian atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal tersebut.

10) Adapun calon wanita di Perlis berkenaan telah pun menghubungi saya. Dia memaklumkan kepada saya yang dia akan mematuhi hukum syarak berkaitan. Alhamdulillah, harapnya benar-benar sedemikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN