MUSIM membajak sawah ialah detik yang paling dinantikan bagi kaki serkap ikan di daerah Padang Terap, Kedah kerana pada waktu itulah spesies ikan air tawar seperti haruan, puyu, keli dan sepat mudah untuk ditangkap.
Pesta menangkap ikan dengan serkap itu diadakan dua kali setahun apabila sawah dibajak semula bagi musim penanaman padi yang baharu.
Suasana yang meriah tersebut masih boleh dilihat di Kampung Barokhas di Kuala Nerang, Padang Terap yang menjadi tradisi turun- temurun membabitkan pelbagai lapisan masyarakat di kampung berkenaan.
Menurut penduduk kampung itu, Mohd. Nasir Abu Bakar, 33, selepas hasil padi dituai, traktor akan membajak sawah dan ikan yang bersembunyi di bawah batang padi atau jerami akan timbul dan menggelupur di sebalik selut.
Katanya, ketika inilah kaki serkap tidak melepaskan peluang segera menyerkap ikan yang timbul sebelum ia menyusup masuk ke kawasan berair dalam.
“Gelagat ikan yang menggelupur di dalam sawah itu menyebabkan kaki serkap tidak melepaskan peluang dengan mengekori belakang traktor.
“Keadaan jadi bertambah meriah jika mereka berjaya menangkap ikan yang besar, seolah-olah meraih kemenangan pada hari itu.

“Pesta menangkap ikan dengan serkap turut dihadiri penduduk kampung berhampiran yang meminati teknik menangkap ikan menggunakan serkap,” katanya yang telah menangkap ikan dengan serkap sejak berusia 10 tahun lagi.
Ujar Mohd. Nasir, walaupun kepenatan ketika mengekori traktor di sawah dengan berjalan di dalam lumpur, namun keriuhan rakan-rakannya membuatkan diri terus bersemangat ‘memburu’ ikan.
“Selalunya setiap kali traktor membajak sawah, kira-kira 10 hingga 15 orang akan ikut di belakang kenderaan itu. Kepakaran mereka mengamati gerak-geri ikan selepas melalui mesin pembajak itu sangat penting bagi menangkap haiwan tersebut menggunakan serkap.
“Antara spesies ikan yang boleh didapati di sini ialah haruan, keli, puyu dan sepat. Hasil tangkapan ini ada yang dibawa pulang untuk dimasak dan ada yang dijual kepada peraih yang menunggu di tepi sawah,” katanya.
Rakannya, Shaimi Hamid, 42, dari kampung sama berkata, pesta tangkapan ikan menggunakan serkap itu selalunya dilakukan pada hari cuti sama ada hari minggu atau cuti umum, bermula dari pagi hingga ke petang.
Menurutnya, musim membajak sawah berlangsung dua kali setahun iaitu antara Januari dan Februari serta antara Ogos dan September.
“Kami di sini biasanya menggunakan serkap kampung dan serkap padang yang mana serkap padang lebih ringan kerana pemegangnya diperbuat daripada getah berbanding serkap kampung diperbuat daripada kayu.
“Serkap yang digunakan ini ada yang dibuat sendiri dan ada yang dibeli dari kedai berdekatan,” katanya.

Dua kumpulan
Selain itu, menurutnya, sebilangan penduduk kampung memiliki serkap sendiri kerana ini acara tradisi turun-temurun nenek moyang mereka.
Menurut Shaimi lagi, pengalaman sangat penting dalam menangkap ikan menggunakan serkap kerana hasilnya bergantung kepada kecekapan setiap individu yang terpupuk daripada pengalaman mereka menyerkap ikan sebelum ini.
Katanya, ketajaman mata penting bagi mengesan ikan yang timbul di permukaan air atau bersembunyi di sebalik selut.
“Sasaran utama pemburu ikan di sawah adalah apabila bendang menjadi kawasan berair selepas tanahnya dibajak. Keadaan itu memberi peluang kepada penduduk untuk menyerkap ikan dan banyak hasil tangkapan boleh diraih menerusi cara tersebut,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Bagi Mohd. Shafiq Zaini, 23, pula, sebagai anak kampung, detik seperti itu sangat dinanti-nantikan kerana bukan sahaja memberikan hasil tangkapan yang banyak tetapi juga kepuasan.
Katanya, di Kampung Barokhas terdapat kira-kira 25 hektar kawasan sawah dan menjadi ‘medan’ untuk mereka menangkap ikan air tawar di darat.

“Sebaik sahaja traktor mula membajak, kami sudah mula mengeluarkan serkap masing-masing. Saya lebih suka menggunakan serkap padang kerana lebih ringan. Ini memudahkan saya untuk bergerak dengan cepat bagi menangkap ikan.
“Selalunya setiap kali musim menyerkap ikan, terdapat dua kumpulan yang mana kumpulan pertama mengikut traktor dan kebanyakannya terdiri daripada anak muda, manakala kumpulan kedua pula hanya berdiri di atas batas bendang sambil memegang serkap, mereka ini kebanyakan terdiri daripada penduduk ‘senior’,” katanya.
Menurut Mohd. Shafiq, sebelum teknik menangkap ikan menggunakan serkap, penduduk di situ menggunakan kayu untuk memukul ikan supaya mudah untuk menangkapnya.
Bagaimanapun, teknik itu kurang sesuai kerana hasil tangkapan boleh mati dan sukar untuk menjualnya.
“Jika mendapat hasil yang lebih saya akan menjualnya dan sebahagiannya dibuat ikan kering atau pekasam oleh ibu.
“Bagi saya, ikan air tawar seperti sepat dan puyu lebih sedap dimasak asam pedas apatah lagi dengan sentuhan air tangan ibu saya,” katanya yang mula melakukan aktiviti tersebut sejak berusia tujuh tahun.














